Monday, February 18, 2013

PM @NajibRazak Janji Akan Senangkan Rakyat Kelate, Tapi Nik Aziz??? #TukarKelantan !!!


Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji setiap inci tanah di Kelantan akan dikembalikan kepada rakyatnya sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pas Kelantan telah melakukan kesalahan kepada rakyat apabila menyerahkan tanah seluas 4,259.9 hektar di negeri tersebut kepada pemimpin-pemimpin DAP Perak.

"Kerajaan Pas sudah buat banyak angkara dan dosa kepada rakyat Kelantan, sebab itu kita kata kepada mereka 'bo la wei' (sudah-sudahlah tu) dan tukar!

"Kita akan perbetulkan semua ini dan di bawah BN kita akan pastikan setiap inci tanah di Kelantan hak orang Kelantan," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perdana Anak-anak Kelantan 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Perhimpunan Perdana Anak-anak Kelantan 2013, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Perhimpunan itu dihadiri hampir 20,000 anak-anak Kelantan dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain termasuk Negeri Sembilan dan Melaka.

Najib turut mempersoalkan kegagalan Pas bersikap tegas dalam isu kalimah Allah apabila berhadapan dengan DAP yang juga sekutu parti itu dalam pakatan pembangkang.

''Janji bulan, janji bintang, janji syurga. Bila kalimah Allah dipersoalkan di mana maruah mereka? Bila akidah Islam dicabar di mana pendirian Pas?" soalnya.

Tambah beliau, BN berhasrat ingin menampilkan imej Islam sebagai agama kemajuan, progresif dan berpaksikan kepada kejayaan dalam usaha membawa perubahan besar di Kelantan.

Menurutnya, BN akan memperlihatkan Islam dari segi kemuliaan akidah bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran umat Islam dan rakyat Kelantan menjadi kenyataan berdasarkan prinsip maqasid syariah.

''Inilah kewajipan kita, sebab kita akan berdiri di atas dua prinsip penting. Yang pertama Islam dan kedua, kita hendak kejayaan," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi BN mengakui kecekapan ramai tokoh kelahiran Kelantan yang telah menempa kejayaan dalam bidang yang diceburi seperti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Presiden Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

''Mereka inilah tokoh-tokoh yang saya percaya boleh membantu BN membangunkan Kelantan dan membawa perubahan besar di negeri itu sekiranya mendapat mandat rakyat," katanya.

Najib turut memberikan jaminan tujuh perkara yang diumumkan beliau pada Program Jelajah Janji Ditepati di Kelantan bulan lalu akan dimasukkan ke dalam manifesto BN, malah ada di antara janji-janji itu akan dilaksanakan lebih awal.

Tujuh janji yang diumumkan beliau itu ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar, perumahan rakyat, sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menyelesaikan masalah air. - UTUSAN

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive