Friday, August 16, 2013

#SaveEgypt: RAKYAT MALAYSIA DALAM PROSES PEMINDAHAN - @HishammuddinH2O#PrayForMesir


Malaysia akan melaksanakan proses pemindahan 3,300 rakyatnya dalam tempoh tiga hari dari Mesir jika keadaan di negara itu bertukar menjadi kritikal.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat hari ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Malaysia Airline System (MAS) dan AirAsia.

"Sehingga kini 3,300 rakyat Malaysia di Mesir adalah selamat. Kita akan lakukan apa saja untuk pindahkan mereka jika keadaan semakin panas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.

Krisis di Mesir semakin memuncak apabila 464 orang terbunuh sehingga sekarang selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan ke atas penyokong bekas presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda semalam.

Hishammuddin berkata jika lapangan terbang di Mesir boleh digunakan, pesawat MAS dan AirAsia akan digunakan untuk membawa rakyat Malaysia pulang secara penerbangan terus ke Kuala Lumpur.

"Jika lapangan terbang di sana ditutup, maka logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan untuk membawa mereka pulang melalui laluan perjalanan penerbangan yang telah dirancang," katanya.

Hishammuddin berkata pihaknya telah memantau keadaan di Mesir sebelum Ramadan iaitu sejak Julai lalu dan telah menempatkan beberapa pegawai MKN, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar untuk menilai situasi di sana.

"Mereka juga akan memutuskan bila kita akan laksanakan proses pemindahan itu jika beberapa kawasan selamat bertukar menjadi panas," katanya sambil menegaskan prosedur pemindahan akan dilaksanakan berdasarkan operasi pemindahan rakyat Malaysia dari negara itu, yang dilanda demonstrasi jalanan rakyat bagi menjatuhkan presiden Hosni Mubarak, dalam Ops Piramid pada 2011.

Beliau juga kesal dengan beberapa pihak penganjur swasta yang berdegil dan menghantar 200 daripada 2,346 pelajar Malaysia, yang ditawarkan untuk belajar di universiti-universiti di Mesir pada tahun ini, ke negara itu.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan pihak universiti di Mesir agar menangguhkan peperiksaan ulangan dan pengambilan pelajar baharu dari Malaysia, terutama bidang perubatan, sehingga keadaan di negara itu reda.

Pemangku Duta Malaysia di Mesir Shaiful Anuar Mohammad ketika dihubungi Bernama berkata sehingga kini tiada sebarang laporan melibatkan rakyat Malaysia dalam insiden semalam.

"Bilik gerakan aduan Kedutaan Malaysia di Mesir telah dibuka berikutan insiden itu.

"Kami bersedia untuk proses menghantar rakyat kita pulang jika arahan dikeluarkan dari Wisma Putra pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata Wisma Putra juga menempatkan pegawai di beberapa lapangan terbang di Mesir untuk membantu pelajar Malaysia yang baru tiba di negara itu. - AWANI

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive