Sunday, August 11, 2013

TOK PA TEGASKAN SEMUA CALON MT UMNO KENA AMANAH!


Ahli-ahli UMNO perlu memilih pemimpin yang berwibawa untuk terus menerajui parti itu mendepani cabaran akan datang dalam pemilihan Oktober ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kegagalan dan kejayaan parti keramat orang Melayu itu pada masa depan bergantung kepada barisan pemimpin yang dipilih ahli-ahlinya dalam pemilihan tersebut.

"Mereka seharusnya memilih pemimpin yang berwibawa kerana gagal dan berjayanya parti bergantung kepada pemimpin yang dipilih oleh ahli," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Darul Falah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Kamarzan Ahmad Meah, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derasyid dan ADUN Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kechik.

Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap proses pemilihan parti yang akan berlangsung Oktober ini tidak merosakkan atau menggugat UMNO sebagai sebuah parti terkuat di negara ini.

Sehubungan itu, beliau amat berharap UMNO mendahului parti-parti politik lain dari segi kaedah pemilihannya yang berjalan begitu baik dan bersih serta mencerminkan tahap kematangan yang lebih tinggi daripada mana-mana parti politik lain.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, insiden keganasan senjata api yang berlaku kebelakangan ini tidak memberi kesan kepada imej negara dalam kalangan pelabur asing.

Walau bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dibendung segera bagi mengelak gambaran negatif jenayah terbabit tidak dapat dikawal sehingga akhirnya menjejaskan imej negara.

Mengulas jenayah sama yang berlaku di negeri itu, Mustapa tidak menolak kemungkinan kes-kes itu mempunyai hubung kait dengan kedudukan ekonomi Kelantan yang disifatkan masih terkebelakang.

"Selain faktor ekonomi, terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada kejadian tersebut termasuk penyeludupan senjata api, pemansuhan undang-undang, bersifat peribadi dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Mengenai isu royalti minyak yang terus dipolitikkan pihak tertentu, Mustapa berkata, beliau dimaklumkan jawatankuasa khas yang dibentuk kerajaan untuk meneliti perkara tersebut kini di peringkat akhir menyiapkan laporan mereka dan akan dibentangkan kepada kerajaan sebaik sahaja dimuktamadkan.

"Saya minta rakyat bersabar kerana jawatankuasa ini turut dianggotai Tengku Mahkota (Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra) selaku wakil Kelantan. Kita serahkan kepada jawatankuasa itu, apa yang pasti kerajaan akan hebahkan penemuannya kelak," katanya. - UTUSAN

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive