Tuesday, September 24, 2013

#PemilihanUMNO: CALON FAVOURITES TELAH DIUMUMKAN SECARA 'PERSONAL'!!

Penganalisis Politik profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff telah membariskan beberapa nama yang beliau fikir harus diberi lebih perhatian dalam pemilihan Umno yang akan datang.

Antara nama yang beliau sebut ialah, Datuk Mukhriz Mahathir bagi jawatan Naib Presiden, Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda, Datuk Suraya Yaacob bagi jawatan Naib Ketua Wanita, dan Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Datuk Saifuddin Abdullah bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Saya melihat merekalah barisan pemimpin pelapis yang mempunyai keupayaan dan wawasan untuk membawa negara ke depan,” kata Prof Agus dalam Facebook rasminya hari ini.

PEMIMPIN PELAPIS PARTI

“Apakah yang baru yang boleh ditawarkan oleh UMNO tanpa adanya calon muka baru yang bertanding? Apakah perubahan yang boleh diharapkan dari UMNO jika sekadar muka lama sahaja yang bertanding?” tanya Prof Agus.

Beliau berkata, mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapatnya kerana melihat Datuk Mukhriz sebagai jelmaan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tegas menyatakan ini adalah tanggapan yang tidak adil pada Datuk Mukhriz. Jika pun beliau masih dibayangi oleh ayahnya, saya fikir beliau tetap memahami aspirasi rakyat terkini,” ujar Prof Agus dalam Facebooknya.

Oleh sebab itulah beliau mahu melihat ahli UMNO menerima pencalonan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis parti itu dan sekiranya UMNO terus berkuasa di negara ini, untuk melihat Mukhriz menjadi pemimpin negara seterusnya.

JAWATAN MAJLIS TERTINGGI

Tentang Datuk Nur Jazlan Mohamed, Prof Agus berkata, dalam pemilihan UMNO tahun 2008, beliau membuat kejutan apabila mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi kemudiannya terpaksa menarik diri kerana tidak cukup pencalonan.

“Apapun jawatan yang ditandingi Datuk Jazlan, saya beharap beliau dipilih oleh seramai 150,000 perwakilan kali ini. Sebagai seorang akauntan, beliau mempunyai idea baru untuk membawa perubahan kepada UMNO,” kata Prof Agus.

Rugi rasanya untuk negara jika pemimpin seperti Datuk Nur Jazlan diketepikan kerana untuk terus bertahan, UMNO perlukan pemimpin yang mempunyai jiwa dan roh pemimpin yang dapat memahami tuntutan dan keperluan semasa rakyat dan negara, tegas beliau.

Seorang lagi calon yang bertanding ialah Datuk Saifuddin Abdullah yang mempertahankan jawatannya di Majlis Tertinggi.

“Berkelulusan dari Universiti Malaya, saya melihat beliau berkeupayaan untuk meremajakan parti itu dengan menarik minat anak muda kepada UMNO,” ujar Prof Agus.

Tambah beliau lagi, “Gaya politiknya yang menerima perbezaan pendapat dan sederhana dalam banyak hal sepatutnya didokong oleh para perwakilan kerana sikap politik seperti inilah yang diperlukan oleh UMNO untuk kekal relevan dalam arus politik negara seterusnya.”

PEMUDA UMNO

Begitu juga dengan Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan kita. Berkelulusan Politik dan Falsafah dari Universiti Oxford, Prof Agus melihat beliau sebagai pemimpin muda yang dinamik, enegertik dan mempunyai idea yang segar.

Seorang kawan memberitahu Prof Agus, yang Khairy tidak sesuai menjadi pemimpin pelapis kerana semangat Melayunya yang kurang disebabkan sikapnya yang liberal.

“Tetapi saya berhujah sebaliknya, sikap liberal Khairy itulah kelebihan kerana ini menunjukkan beliau telah menonjolkan imejnya bukan sahaja sebagai pemimpin UMNO semata, tetapi juga sebagai pemimpin nasional,” jawab Prof Agus.

WANITA UMNO

Bagi Wanita pula, Prof Agus teruja dengan tindakan Datuk Suraya Yaacob menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Wanita.

Mengikuti perkembangan politik Wanita UMNO setakat ini, Suraya adalah seorang pemimpin yang mendekati rakyat. Berkelulusan dalam bidang undang-undang, Suraya dilihat sebagai seorang yang aktif melaporkan aktiviti hariannya bersama rakyat melalui facebook beliau.

Sikap beliau menunjukkan tahap kepekaannya yang tinggi kepada isu-isu masyarakat dan negara.

“Oleh itu saya lega apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita kerana beliau adalah antara pemimpin yang saya harap memainkan peranan untuk memacu Malaysia ke depan,” kata Prof Agus. - The Malaysian Times

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive