Monday, August 4, 2014

AL-KISAH PASAR MALAM PANTAI JOHOR (PART II)


Kerajaan negeri terpaksa menghentikan operasi pasar malam di Pantai Johor, di sini, atas faktor keselamatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, pasar malam berkenaan ditutup dan dipindahkan ke Jalan Suka Menanti, mulai minggu hadapan.

“Saya memohon maaf di atas kesulitan yang dialami. Kita terpaksa menghentikan operasi pasar malam berkenaan kerana ia terlalu hampir dengan simpang tiga Jalan Gunung dan boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya serta pengunjung yang lain.

“Pada masa sama, peniaga-peniaga dan pengunjung juga dilihat meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sehingga mengakibatkan laluan menjadi sempit dan berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian semalam yang melaporkan, lebih 150 peniaga terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit setiap seorang apabila tidak dibenarkan berniaga di tapak pasar malam Pantai Johor, di sini.

Kebanyakan peniaga memaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan berniaga di situ mulai 1 Ogos oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa sebarang alasan dan notis bertulis.

Mereka hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui satu kain rentang yang dipasang dekat tapak pasar malam tersebut kira-kira dua hari sebelum Aidilfitri yang lalu.

Beliau berkata, terdapat juga segelintir peniaga yang berniaga di bahu jalan dan jelas boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

“Kita tidak halang mereka untuk berniaga, tetapi laluan ini sentiasa dilalui oleh orang kenamaan dan mencacat pemandangan mereka apabila berlaku kesesakan lalu lintas," katanya.

“Jalan masuk ke kawasan perumahan berdekatan juga terjejas kerana ada peniaga yang berniaga di laluan berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memindahkan operasi pasar malam berkenaan ke kawasan yang lebih selamat dan sesuai dekat Jalan Suka Menanti.

“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menerima bantahan dari pelbagai pihak yang mendesak supaya pasar malam ini dipindahkan ke kawasan lain sebab jemaah masjid juga sukar untuk keluar masuk ke kawasan berkenaan.

“Pasar malam ini bukanlah satu-satunya tempat orang Melayu berniaga. Sebenarnya terdapat lebih 10 pasar malam di Alor Setar. Tidak salah kalau kita pindahkan operasi pasar malam ini,” katanya.

Badrol Hisham berkata, peniaga berkenaan dibenarkan berniaga di Jalan Suka Menanti mulai minggu hadapan.

“Mereka juga dibenarkan berniaga di pasar-pasar malam yang berhampiran seperti di Taman Nuri dan Jabi,” katanya. - SINAR

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive