MY PORTFOLIO

Sunday, April 22, 2012

#Bersih3 Dibenarkan. Kepada Para Demonstran, Sila Jaga Tatasusila Anda!

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini membenarkan sebarang perhimpunan aman pada masa akan datang termasuk Bersih 3.0 yang akan dianjurkan di ibu negara pada 28 April ini kerana ia dianggap sebagai tidak menggugat keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hasil pemantauan awal kementerian menunjukkan perhimpunan aman tersebut tidak memerlukan kehadiran secara keterlaluan pihak polis seperti menggerakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kerana ia tidak menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan.

"Sungguhpun begitu, FRU dan polis akan sentiasa dalam keadaan siap siaga 24 jam, tujuh hari seminggu... kita akan mengadakan perbincangan dan meminta persetujuan daripada kedua-dua belah pihak, dari segi apa yang nak dilakukan di lokasi perhimpunan yang sesuai dalam jangka masa yang realistik dan untuk perkara-perkara yang selamat.

"Kalau ada kehadiran polis pun hanya untuk mengalu-alukan peserta perhimpunan ke kawasan yang akan ditetapkan kelak," katanya pada sidang media di Program Ceria Gagasan Anak-anak Sembrong di Perantauan (GAASP) di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai isu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan sebagai lokasi perhimpunan Bersih 3.0, Hishamuddin berkata, masyarakat perlu memandang rasional keputusan tersebut.

"Jadi saya harap semua pihak perlu bersikap positif mengenai pemilihan lokasi kerana kementerian sentiasa bersikap terbuka namun penganjur perlu pastikan perhimpunan dibuat mengikut setiap prosedur yang ditetapkan dan bertanggungjawab ke atasnya," katanya.

Hishammuddin berkata, pihaknya juga tidak menghalang penganjur perhimpunan aman untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil atau Stadium Merdeka sebagai kawasan untuk berhimpun namun mereka perlu membuat permohonan kepada pihak pentadbiran stadium berkenaan terlebih dahulu.

"Saya yakin dengan cara kerajaan kini yang bersikap lebih terbuka terhadap isu dan bantahan yang ingin disuarakan oleh pihak tertentu dan saya harap perhimpunan aman tersebut dapat dibuat dalam keadaan yang rasional dan realistik dan bukan untuk mempolitikkan atau memecah belahkan rakyat. - utusan
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!