MY PORTFOLIO

Tuesday, November 27, 2012

TS @MuhyiddinYassin Hentam Pembangkang Kaw-Kaw Kat #PAU2012 !!

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas parti pembangkang yang mengamalkan politik ultra perkauman, fahaman songsang dan memecah belahkan masyarakat hanya kerana mahukan kuasa.

Timbalan Presiden Umno berkata sejak lima dekad lepas, PAS dan DAP dilihat membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman di negara ini.

"PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci Umno.

DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka.

"Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan serentak Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini Selasa malam.

Muhyiddin berkata PKR pula, menerusi kenyataan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) secara jelas mengenengahkan ideologi songsang yang kononnya atas nama kemunculan politik baharu, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral.

"Dalam kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun.

"Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuang ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama.

Misalnya, kumpulan yang memperjuang hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang tertindas," katanya.

Beliau berkata menerusi fahaman songsang itu juga, undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.

"Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan seorang naib presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain.

Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari'at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam," katanya. Timbalan Perdana Menteri menggesa anggota Umno supaya kemenangan berpihak kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang.

"Inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang. Kita di dalam Umno tidak boleh alpa. Ingatlah, Umno adalah parti yang berjuang untuk menegak dan mendaulatkan Islam.

Bangkitlah menjadi benteng mempertahan masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang," katanya.

Beliau berkata meskipun adakalanya diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan BN sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum dan kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.

"Kita yakin rakyat akan terus bersama Umno dan Barisan Nasional untuk mempertahan nilai- nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang", katanya. Muhyiddin turut menyelar tindakan ketua pembangkang yang meminta campur tangan kerajaan asing untuk memastikan pilihan raya negara bersih, bebas dan adil.

"Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihan raya kita kotor. Inilah satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta campur tangan asing dalam hal ehwal politik negara kita," katanya.

Beliau berkata itulah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan Putrajaya dengan awal-awal lagi membuat dakwaan pilihan raya di negara ini tidak adil.

Muhyiddin secara sinis meminta ketua pembangkang menjemput wakil negara asing untuk memerhati pemilihan dalam PKR agar rakyat dapat melihat komen pemerhati asing mengenai PKR.

"Demokratikkah PKR apabila ketua pembangkang mengangkat dirinya sendiri menjadi ketua umum parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti.

Perkara ini hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang dikuasai oleh seorang diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Daripada ketua umum, presiden, timbalan presiden, naib presiden, parti itu ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR)," katanya.

Beliau berkata berbeza dengan Umno di bawah kepimpinan yang sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara dan menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan Umno sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. - BERNAMA
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!