MY PORTFOLIO

Friday, April 26, 2013

Keputusan Mahkamah Tentang Kes Gantung U Adam Adli Mahasewel.

Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes semakan kehakiman pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, hari ini mengingatkan pelajar itu supaya menghormati pemimpin walaupun pegangan politik berbeza.

Hakim Datuk Zaleha Yusuf berkata demikian dalam penghakimannya selepas menolak permohonan Adam Adli untuk mencabar keputusan UPSI yang menggantungnya kerana melanggar peraturan universiti.

Beliau tidak menetapkan sebarang kos setelah mengambil kira pemohon (Adam Adli) adalah seorang pelajar.

Hakim Zaleha berkata perbuatan Adam Adli di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Disember 2011, telah mendapat publisiti meluas dan sebagai pelajar UPSI, nama UPSI turut tercalit dan pihak universiti berhak mengambil tindakan disiplin terhadapnya.

"UPSI memberitahu mahkamah bahawa Adam Adli telah diberi peluang untuk mengemukakan kesnya dan beliau boleh menghantar wakil. Tetapi pemohon menolak untuk menghantar wakil dalam prosiding jawatankuasa tatatertib UPSI dan tidak memberi sebarang bantahan semasa prosiding dijalankan.

"Beliau tidak hadir walaupun telah dimaklumkan sebelum itu dan Adam Adli hanya menghantar wakil untuk mengetahui keputusan pihak jawatankuasa sahaja," katanya.

Tambahnya, afidavit jawapan Adam Adli juga tidak mempertikai dakwaan responden berhubung alasan kenapa keputusan penggantungan dibuat.

Hakim Zaleha berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 yang dipinda turut memberi hak kepada jawatankuasa tatatertib UPSI mengendalikan prosiding terhadap pelajar dan ianya sah.

Pada 17 April 2012, Adam Adli, 24, pelajar semester kelima Pengajian Inggeris sebagai Bahasa Kedua, memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan UPSI, jawatankuasa rayuan tatatertib dan kerajaan sebagai respondan.

Beliau memohon supaya Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan jawatankuasa rayuan pada 8 Mac 2012 yang menolak rayuannya terhadap perintah jawatankuasa tatatertib UPSI yang menggantungnya.

Pada 9 Jan 2012, jawatankuasa tatatertib memerintahkan penggantungan selama tiga semester ke atas Adam Adli yang akan berakhir penghujung September tahun depan.

Dalam permohonannya itu, Adam Adli berkata dia didapati bersalah oleh jawatankuasa tatatertib kerana memburukkan nama universiti itu dan mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam.

Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Adam Adli memberitahu pemberita, pihaknya akan mengemukakan rayuan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!