PAS Kelantan senada dengan beberapa pemimpin parti itu menolak usaha pihak tertentu yang 'cuba' menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan cara keganasan dan demonstrasi jalanan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata hari ini usaha untuk menjatuhkan kerajaan secara "Arab Spring" itu sebenarnya tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya membawa banyak keburukan kepada negara.
"Kita di Kelantan sendiri pun tidak pernah membincangkan sama ada perlu untuk kita berhimpun seperti yang diadakan di negeri lain dan bagi PAS Kelantan adalah lebih baik untuk apa sekali pun ia dilakukan mengikut kaedah demokrasi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.
Nik Mohd Amar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan itu, berkata jika perhimpunan itu dilakukan secara aman untuk mengkritik kerajaan ia tidaklah menjadi kesalahan bagi pengikut parti itu berkumpul menzahirkan bantahan itu.
"Ada dua perkara yang berbeza sama ada kita berkumpul untuk mengkritik kerajaan dan ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak mengapa tetapi kita sudah sepakat termasuk dalam DAP yang tidak setuju untuk kita jatuhkan kerajaan dengan cara kegananasan," katanya.
Baru-baru ini Pas Pusat juga berpendirian tegas tidak akan menyokong sebarang usaha oleh mana-mana pihak termasuklah oleh kumpulan pro pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata PAS berpendirian begitu kerana di negara ini masih terdapat prosedur lain terutamanya melalui mahkamah atau petisyen untuk mencabar keputusan PRU-13 itu.
Sementara itu Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz turut menolak usaha seumpama itu dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai gopoh. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.
Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.
THANKS!