MY PORTFOLIO

Saturday, May 4, 2013

#PRU13: "@anwaribrahim PEMUFLIS NEGARA" - Bekas S/U Sulit DSAI #GE13 #BetterNation

Gara-gara tidak begitu memahami soal pengurusan ekonomi negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir-hampir menyebabkan Malaysia menjadi muflis ekoran tindakannya memohon pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika krisis ekonomi pada 1997 lalu.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, jika tidak kerana tindakan pantas Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengambil semula pengurusan ekonomi negara, sudah pasti keadaan itu boleh berlaku.

Ini kerana, menurut beliau, Anwar yang pada masa itu menjawat Menteri Kewangan mahu menunjukkan kuasanya dengan memohon pinjaman IMF bagi mengatasi kegawatan ekonomi negara pada masa itu.

"Anwar tidak pernah berfikir kesan daripada pinjaman tersebut boleh menjadikan negara menjadi muflis apabila pinjaman itu boleh menyebabkan kenaikan kadar faedah, pendekkan tempoh pembayaran hutang serta potong bajet kerajaan.

"Nasib baik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada ketika itu menghalang keras dan menarik balik serta mengambil semula pengurusan ekonomi negara," katanya ketika berucap dalam ceramah umum pendedahan konspirasi di Kelana Jaya, malam tadi.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kelana Jaya, Loh Seng Kok dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Datuk Abdul Halim Samad.

Dalam pada itu, Anuar turut menuntut penjelasan daripada Anwar berhubung pertemuan bekas majikannya itu dengan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari pada 16 Julai 2012 di Hotel Crown Plaza, Jakarta.

Katanya, bukti-bukti rakaman video, audio serta gambar yang didedahkan oleh kerajaan Indonesia membuktikan ada perancangan tertentu oleh kedua-dua pemimpin itu di sebalik pertemuan tersebut.

Anuar berkata, beliau tidak hairan jika pertemuan Anwar dan Nur Misuari itu berkisar tentang usaha untuk mencetuskan huru-hara dalam negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ini kerana katanya, Anwar sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadai maruah dan negara semata-mata memenuhi cita-citanya menjadi seorang Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!