MY PORTFOLIO

Thursday, September 12, 2013

HUSAM MUSA DIGUGURKAN JAWATAN EXCO ADALAH RANCANGAN TERANCANG NIK AZIZ?

Selepas seminggu cadangannya supaya ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS cetuskan macam-macam spekulasi, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiba-tiba menyalahkan akhbar kononnya tidak menulis dengan betul apa dimaksudkannya itu.

“Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama."

“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun professional,” kata bekas Mursyidul Am PAS itu dalam reaksi terbarunya berhubung kenyataannya minggu lalu.

Ekoran pandangannya itu, ramai pemimpin dan ahli-ahli PAS berpendapat Nik Aziz seolah-olah memberi ‘signal’ supaya perwakilan dalam muktamar parti yang berlangsung 22 hingga 24 November memilih ulama mengisi jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Mohamad Sabu.

Malah, Pemuda PAS turut menyokong kenyataan Nik Aziz dan ambil kira mesej bekas Menteri Besar Kelantan itu, PAS Besut sudah mencalon Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah bertanding kerusi Timbalan Presiden.

Barangkali menyedari gerakan mahukan ulama mengisi jawatan nombor dua parti itu semakin kuat atau mungkin dinasihati oleh pihak lain, Nik Aziz tiba-tiba menyalahkan akhbar kononnya beliau cakap lain tetapi yang ditulis lain.

Memang tidak pelik Nik Aziz yang selalu ‘flip flop’ dengan kenyataannya sendiri sebelum ini sudah koner baring menerusi reaksi terbaru pada Rabu dengan alasan ‘profesional pun ulama dan ulama juga profesional’.

Namun, sudah terlambat untuk Nik Aziz membetulkan kesilapannya itu kerana dikalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS sudah ada yang melihat beliau ‘kurang bisa’ lagi setelah melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun menang pada PRU 13 lalu.

Mungkin kerana itu juga PAS Segamat mencalonkan Datuk Husam Musa bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan nanti.

Umum juga tahu Husam ibarat anak emas Nik Aziz tetapi bekas Exco Kelantan yang dipalitkan dengan macam-macam janji serta projek yang gagal ditunaikan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dilihat semakin hilang pengaruh dalam parti.

Maka tidak hairan tindakan Nik Aziz itu adalah untuk membuka peluang Husam bertanding kerana Husam lebih dilihat sebagai golongan professional bukannya ulama.

Nik Aziz mungkin tidak menyenangi lagi Muhamad atau Mat Sabu yang bukan sahaja tewas di kerusi Parlimen Pendang pada PRU 13 namun turut dikaitkan dengan amalan Syiah.

Setidak-tidaknya sudah pasti Husam akan berentap dengan Mat Sabu dan khabarnya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mungkin dicalonkan bagi kerusi nombor dua itu.

Seperkara lagi yang berlegar-legar dikalangan pemimpin serta ahli-ahli PAS selepas pemilihan lalu adalah teori Mat Sabu hanya memegang jawatan Timbalan Presiden sepenggal sahaja dan pemilihan kali ini tempat itu bakal diganti dengan Husam.

Ikutkan skrip tertentu, ini membolehkan Husam mencabar Datuk Seri Hadi Awang pada pemilihan tiga tahun lagi sekiranya ahli Parlimen Marang itu enggan melepaskan jawatan Presiden.

Ada pihak melihat inilah perancangan puak-puak Anwarinas yang mahu memastikan PAS dikuasai golongan profesional yang tegar menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa depan.

Justeru itu, pemimpin dan ahli-ahli PAS harus sedar dan faham kenapa Nik Aziz tiba-tiba salahkan akhbar kerana kenyataannya terdahulu yang menyokong ulama bagi jawatan timbalan presiden tanpa disedari‘membunuh’ peluang Husam.

Kini, Husam boleh senyum lebar kerana bukan sahaja mendapat pencalonan tetapi Nik Aziz masih tetap mempertahankannya. - Agenda Daily

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!