MY PORTFOLIO

Monday, September 16, 2013

KRITERIA PENTING UNTUK MENJADI KETUA PEMUDA UMNO. BUKAN HANYA POPULARITI DI FACEBOOK SAHAJA!!

SALAH satu tumpuan utama dalam pemilihan UMNO kali ini ialah pemilihan di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO. Sudah menjadi kebiasaan, perebutan jawatan dalam sayap UMNO itu sering mendapat perhatian.


Pemilihan kepimpinan Pemuda di pelbagai peringkat kali ini akan menjadi satu yang menarik dan dinamik. Yang nyata, Pemuda mesti menjadi ‘nadi’ kepada usaha transformasi kerajaan.

Kita mengharapkan pemilihan kali ini dapat dilaksanakan dalam keadaan yang tenang, penuh semangat setiakawan dan tidak saling menjatuh dan mengaibkan kawan-kawan yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Jangan kita anggap pemilihan ini sebagai perlawanan ‘kalah mati’, yang akan membenam nasib politik kawan-kawan dalam Pemuda.

Selepas pemilihan, kita kembali kepada saf yang sama. Bernakhodakan ketua dan naib yang sama. Kalau prinsip ini dapat kita hargai, insya-Allah Pemuda akan tampil lebih utuh dan kuat.

Ahli-ahli Pemuda di pelbagai peringkat, perlu mencari kalangan pemimpin yang efektif, setia, istiqamah, berpengalaman dan mempunyai ‘modal sosial’ untuk mendekati golongan muda. Apa yang dimaksudkan dengan ‘modal sosial’ ini – pemimpin yang kita cari mestilah serba boleh. Holistik.


Dia bukan sahaja sebagai ‘Ketua Pemuda Cawangan’, malah mungkin aktif di dalam Persatuan Ibubapa & Guru (PIBG), aktif dengan persatuan belia, menjadi jawatankuasa masjid dan surau dan sebagainya.

Jika kita punya kayu ukur ini, kita akan mempunyai pemimpin Pemuda yang bukan sahaja ada pengaruh dalam parti, tapi akrab dengan rakyat.

Sama juga keadaannya di peringkat bahagian dan pusat. Kita mesti memilih pemimpin yang mencapai KPI yang jelas. Jika beliau seorang Ketua Pemuda Negeri apakah beliau seorang pemimpin yang efektif.

Apa pencapaian dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu? Yang penting bukan ‘jumlah program’ yang dilaksanakan; tetapi apakah ‘keberhasilan politik’, dividen politik yang diperolehi daripada program itu..

Itu lebih perlu dinilai oleh ahli Pemuda. Sudah tentu, dalam konteks politik, keputusan PRU lalu perlu menjadi tunjang kepada sistem nilaian kepada kriteria kepimpinan.

Kita melihat kedudukan Pemuda UMNO hari ini yang dianggap perlu memainkan peranan paling penting bagi menarik perhatian pengundi muda menyokong BN.

Jujur juga saya katakan, PRU13 memberikan kita semangat baru untuk mendekati pengundi, khususnya pengundi muda Melayu. Berdasarkan keputusan PRU yang lepas, Pemuda mencatatkan peratusan sokongan pengundi muda Melayu yang sangat baik.

Johor misalnya, mencatatkan peratusan sokongan pengundi muda Melayu hampir 72 %. Melaka (64%), Negeri Sembilan (62.6%), Pahang (56.7%), Perak (56.2%) dan Pulau Pinang (52.6%).

Secara purata, di peringkat nasional, kita mencatatkan peratusan sokongan 54.3%. Asas pendekatan politik kita terbukti betul dan mampu menarik minat dan sokongan pengundi muda Melayu.

Ini semua berlaku dalam suasana politik yang sangat menduga. Pembangkang benar-benar fokus kepada pengundi muda. Malahan pendekatan ‘populis’ mereka memang ditujukan untuk menarik sokongan pengundi muda. Mansuh PTPTN.

Turun harga kereta. Mansuh tol. Ini semua cubaan menarik minat pengundi muda. Namun, pengundi muda Melayu – masih setia bersama UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam konteks BN, kita terpaksa mengakui bahawa dugaan sebenar adalah kepada rakan-rakan Pemuda dalam komponen. Mereka berhadapan dengan tugas yang amat sukar.

Keperluan membuat political turnaround dengan peratusan sokongan pengundi muda berbangsa Cina serendah 5% (Kuala Lumpur) dan 7.5 % (Selangor), sebagai misal, memerlukan pendekatan drastik. Ini bentuk cabaran yang perlu dipikul sama oleh barisan kepimpinan Pemuda nanti.

Secara kebetulan, parti komponen juga akan melakukan pemilihan dan kita harap pasca pemilihan nanti kita mampu membariskan kalangan pemimpin terbaik di dalam Pemuda BN. Set kepimpinan Pemuda BN yang baru, sangat penting dalam berhadapan dengan ranjau dan cabaran pada PRU14 nanti.

Kita bertemu ramai rakan-rakan di seluruh negara sepanjang meraikan Aidilfitri ini dan maklum balas umum yang diterima, kebanyakan mereka berpendapat Khairy Jamaludin wajar diberikan mandat penuh menerajui Pemuda untuk penggal yang akan datang ini.

Kebanyakan mereka membangkitkan soal ‘prestasi kepimpinan’ yang baik, keberhasilan politik (political outcomes) yang dijelmakan oleh kepimpinan beliau sepanjang penggal lalu.

Kelebihan Khairy adalah kemampuannya menarik ‘minat dan kecenderungan’ kumpulan neutral untuk memahami agenda besar UMNO dan BN. Hujahnya jelas dan appealing kepada generasi muda, bukan sahaja dalam UMNO, tetapi mereka yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.

Ini dibuktikan dengan kemampuan beliau memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan majoriti yang jauh meningkat. Malahan, ketika mana kita berhadapan dengan tsunami di tempat-tempat lain, Parlimen Rembau mencatatkan peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu. ‘Model Politik Parlimen Rembau’ ini perlu kita teliti dan perhalusi.

Pemuda memerlukan seorang Naib Ketua yang mampu berfikir, bergerak dan bertindak seiring dengan ‘kelajuan’ Ketua Pemuda yang ada.

Jika Khairy diberikan mandat sebagai Ketua Pemuda, sudah barang tentu beliau memerlukan seorang naib yang mampu menggalas amanah untuk memastikan Pemuda berada di dalam keadaan yang terbaik.

Seluruh kesungguhan tenaga, kekuatan pemikiran, kudrat kepimpinan diperlukan untuk membantu Ketua Pemuda memimpin jentera yang kuat ini.

Seorang Naib Ketua, pada pandangan saya, mestilah juga berada di dalam lingkungan umur yang ‘dekat’ kepada generasi muda. Jangan ukur pada umur sekarang.

Ukur umur mereka sewaktu PRU14 dilangsungkan nanti. Jika pada ketika ini mereka berumur 40 tahun; menjelang PRU14, mereka sudah menjangkau umur 45 tahun.

Apakah mereka masih mampu memahami pandangan dan perspektif mereka yang berumur lingkungan 20-29 tahun misalnya? Apakah mereka bercakap dalam ‘bahasa’ yang sama dengan pengundi muda pada waktu itu?

Selain itu, ahli juga perlu menilai pencapaian KPI politik mereka yang menawarkan diri. Saya bangkitkan tadi, bukan ‘jumlah program’ yang dilaksana namun kesan dan impak politik itulah yang lebih perlu dinilai sebaiknya.

Saya fikir, daripada sudut pengalaman, mereka yang menawarkan diri, pastinya mempunyai pengalaman politik yang tersendiri. Pencapaian dan prestasi politik itulah yang perlu lebih dinilai.

Tidak dapat tidak, pelbagai isu, keinginan, aspirasi generasi muda mesti disantuni dengan bersungguh-sungguh. Pemuda perlu lihat pelbagai ‘segmen’ dan rencam kumpulan generasi muda yang ada di luar sana.

Pendekatan mesti menyeluruh. Dalam masa yang sama, isu-isu seperti kos sara hidup, perumahan, latihan, pendidikan, peluang kerjaya, usahaniaga, kemiskinan bandar – perlu juga dilihat secara teliti.

Jika ada satu bidang tumpuan ‘dalaman’ yang mampu saya cadangkan, lihat semula ‘proses perkaderan dan latihan kepimpinan’ di dalam Pemuda. Aspek ini mesti diberikan pengukuhan.

Akademi Pemuda mesti diberikan nafas dan kesungguhan baru. Khairy pernah mengumumkan tentang penubuhan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) – dan pada saya ini langkah yang sangat tepat.

Najib dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO 2011, bercakap mengenai membina jatidiri ‘orang UMNO’. Tiga perwatakan yang Presiden jelaskan iaitu taat setia, cinta dan kasih kepada perjuangan parti dan sanggup berkorban.

Pada saya, ciri-ciri dan karakter ini mesti disemai benihkan di kalangan ahli Pemuda pelbagai peringkat. Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang kesetiaannya kita ragui, kasihnya kepada parti kita khuatiri dan pengorbanannya belum terbukti.

Pemuda UMNO perlu bergerak dengan penuh rasa yakin – tetapi bukan sombong. Kerja dan tugas kita tidak berakhir dengan PRU13. Gelombang PRU14 mungkin lebih menduga. Saf mesti diperkemas. Jatidiri mesti diperkukuh. Istiqamah perlu ada. - Sumber

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!