MY PORTFOLIO

Wednesday, September 4, 2013

SEDIH... DETIK-DETIK AKHIR SEBELUM BANDUAN KE TALI GANTUNG


Mati, bukan semua orang mahu bercerita tentangnya. Kalau berceritakan tentangnya, ramai pula mahu melarikan diri. Ada sesetengahnya sanggup menafikan perihal mati dan mengelak daripada menerima hakikat tentang kematian.

Tidak kurang pula sesetengah dari kita berlagak seolah-olah sudah cukup sedia dengan kematian. Mereka bolehlah bersikap angkuh, selagi mana ajal belum menyapa, sebelum malaikat datang menjemput untuk kembali.

Banduan Akhir

Penjara Kajang, mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman gantung akan ditempatkan di dalam sel kurungan seorang diri. Bangunan yang menempatkan mereka dipanggil Blok Abadi. Mereka akan dipakaikan pakaian bertanda BA yang membawa maksud Banduan Akhir.

Banduan Akhir ini akan ditempatkan di dalam sel kurungan di Blok Abadi selama 23 jam sehari. Sekiranya ada hal yang lain dan perlu meninggalkan sel atau blok tersebut, mereka hanya boleh keluar dari situ dengan kebenaran Pegawai Penjara dan diiringi Pengawal Penjara dengan ketat.

Tinggallah mereka di situ sehingga hari perlaksanaan hukuman tiba. Di sini mereka akan mengira setiap hari, detik, jam dan saat yang berlalu hinggalah ke akhirnya. Tinggallah mereka sendirian tanpa berteman di dalam sel yang berasingan itu.

Sekali sekala mereka akan dibenarkan bergaul dengan Banduan Akhir yang lain. Itu pun dalam waktu yang terhad dan singkat. Selebihnya hanya terus bersendirian; menanti dan terus menanti.

Menunggu Keputusan

Sebaik dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi, mereka akan ditempatkan di sel tersebut sehinggalah segala proses rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.Proses ini akan memakan masa yang lama. Biasanya bertahun-tahun. Di sini mereka mempertaruhkan untung nasibnya.

Banduan Akhir akan ditempatkan di suatu tempat yang berasingan daripada penghuni penjara yang lain.

Blok Abadi itu sunyi dan terpisah. Tiada apa yang istimewa di situ. Tiada radio, tiada tv. Hanya sehelai sejadah, kupiah dan beberapa keping kitab sebagai peneman diri.

Adakalanya mereka akan diberikan kuliah agama. Hari demi hari kebanyakan daripada mereka akan hanyut di dalam doa. Berendam air mata meminta kasihan dan ehsan daripada Tuhan Rabul Alamin.

Ibu, ayah, isteri dan anak tidak terlepas daripada padangan mata. Sunyi, gelap dan dingin di dalam sel itu sukar hendak digambarkan. Hati adakalanya cukup gusar, cukup takut, cukup insaf tapi apa kan daya... tangan dan kaki terpasung, terpenjara!

Di rumah, kaum keluarga tidak terlepas daripada terus-menerus mengharapkan sesuatu yang ajaib agar berlaku. Sesuatu keramat yang dapat mengubah nasib si anak lalu terselamat daripada tali gantung. Ibu yang tua dan ayah sudah uzur tidak putus-putus memohon dan berusaha agar si anak dapat peluang hidup untuk kali kedua.

Kini Mahkamah Persekutuan menjadi kata pemutus. Kata-kata Mahkamah Persekutuan menjadi kata muktamad sama ada akan hidup atau pergi buat ‘selama-lamanya’.

“DAMM!!! Damm!!! Dammm!!!” Bunyi tukul penjatuh hukum Yang Arif, Hakim Mahkamah Persekutuan memecah bisikan rusuh.

“Dengan ini, kami Mahkamah Persekutuan mendapati kamu bersalah dan mengekalkan hukuman; gantung mandatori ... Damm!!! Damm!!! Dammm!!” sekali lagi tukul muktamad itu diketuk menandakan dunia sudah menjadi gelap.

Malang tidak berbau, dosa yang pernah dilakukan tidak dapat diampun melainkan hukuman ke tali gantung menjadi penebus dosa. Itulah neraca yang telah ditentukan di dunia ini.

Tiada peluang lagi buat si Banduan Akhir untuk meneruskan hidup lebih lama.

Tiada lagi masa senggang hendak menyedut udara segar di luar sana. Mahupun memandang alam saujana mata memandang.

Harapan menjadi punah. Tiada lagi peluang hendak menikmati bunga-bungaan indah, kehangatan sinar matahari memancar terbit atau tenggelam. Jam randik terus berdetik menanda masa sengka sudah terbatas. Maka tiada lagi kesempatan mahu meninjau-ninjau lautan luas terbentang, atau langit kebiru-biruan.

Segala-galanya sudah diputuskan. Akan terpisahlah dunia ini dari pandangan mata zahir oleh dinding-dinding tebal merana jiwa bungkam sebal; penanda yang nyawa akan disembat bergayut-gayutan tergantung pada tali gantung!.

Saat penantian sudah kabur. Telah sahihlah hayatnya akan menjadi singkat! Saat ini menantikan bilakah riwayat ini akan diakhiri.

Monolog

Langkah terus menjadi longlai. Tiada lagi kata yang mampu mengungkapkan segala yang terasa. Takut, resah, bersalah, kasihan, cinta segalanya berbalam, berkecamuk, merusuh setiap inci dinding hati. Dada menjadi sempit. Nafas tersekat-sekat. Mata hanya berkerdip dan sekali-sekala memandang ke langit bersama harapan tinggi. Ampunkanlah!

Di dada syiling di dalam sel sempit itu tiba-tiba seraut wajah ibu datang menjengah.
Oh Ibu!.. di manakah ibuku ... Aku mahu sembah sujud kepadamu ... Ampunkanlah dosa-dosa anakmu ini yang telah mempersiakan hidupnya...

Di balik geriji itu dia memegang baris-baris besi lalu melintas bayangan isteri.

Ya isteriku! dimanakah dikau sayang. Ampunkan dosa abang sayang... abang gagal dalam hidup ini..

Sambil berteleku kaki bersimpuh kaku, wajah riang anak-anak datang satu-persatu mengocak kotak ingatan.

Ya! Anak ku.... ayah gagal.. dan jadikanlah peristiwa ini sebagai pengajaran buatmu. Janganlah kau memperlakukan kesilapan dan mempersiakan hidupmu...

Akhirnya, berderailah air mata. Bercampur baur rasa kesal, salah, taubat, sesal, sebal di lubuk hati terpendam, Aduhai...! Apalah yang aku perbuatkan untuk diriku. Sesungguhnya aku sudah menzalimi diriku. Ya! Allah... bersihkanlah dosa ku... bersihkanlah jiawaku... ampunkanlah dosa-dosa ku... Kini dunia yang luas ku rasa sempit. Dada yang bidang terasak begitu sesak sekali. Tanpa belas-Mu hinalah aku di dunia dan akhirat. Sesungguhnya aku bertaubat. Aku takut dan aku pohon belas ehsan-Mu. Sesungguhnya Kau Maha Belas Kasihan dan Maha Pengampun Dosa-dosa besar!"

Persiapan

Para pegawai akan menyiapkan tali gantung yang akan menjerut bantang leher Banduan Akhir itu.

Tali ini diimport khas dan diperbuat daripada jenis jut yang paling bagus. Ia dibaluti dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan apabila digunakan nanti.

Setiap satu tali itu berharga RM4,000 hingga RM5,000 seutas (harga benar pada tarikh kajian).

Sebaik menerima tali maut, para pegawai akan menguji ketahanannya terlebih dahulu dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilogram selama 72 jam.

Setiap tali itu ada nombor siri dan diklasifikasikan sebagai senjata. Ia disimpan di dalam peti besi.

Hanya tali gantung yang sesuai akan digunakan ke atas Banduan Akhir mengikut saiz badan, tinggi dan berat mereka.

Faktor utama tali gantung ini ialah pada tembaga pembunuh. Ia berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan, lalu mematikan mangsanya dengan segera.

Hukuman dijalankan

Setelah Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman yang mana di dalam waran tersebut disebutkan nama banduan, nombor kad pengenalan, serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Para pegawai penjara diberikan satu jam untuk melaksanakan hukuman tersebut. Bagi mereka yang Muslim, mereka akan digantung pada pagi Jumaat selepas solat Subuh. Bukan Muslim pula masa dijalankan hukuman adalah lebih kurang sama cuma harinya boleh berbeza.

Selepas waran dikeluarkan, Banduan Akhir akan dibawa berjumpa dengan Pegarah Penjara yang akan memaklumkan tentang perlaksanaan hukuman gantung itu.

Kebiasaannya Banduan Akhir akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat. Dia dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atasnya pada keesokkan harinya.

Ketika Banduan Akhir berada di bilik Pengarah Penjara, kaum keluarga yang lazimnya sudah dimaklumkan seminggu awal sudah menunggu di luar untuk “Perjumpaan Terakhir".

Suasana pilu, sedih, sayu dan tidak kurang juga pasrah memenuhi ruang suasana. Tatkala inilah segala bayangan perasaan, kasih, cinta, sayang seorang ibu, ayah, isteri akan jelas nyata kelihatan. Lebih-lebih lagi sebaik terpandangkan anak-anak yang masih kecil dan mogel itu. Aduhaiiiiii... mereka akan kehilangan ayah/suami/anak tidak berapa jam lagi.

Pada hari yang sama juga, Banduan Akhir ini diberikan pilihan untuk “hidangan terakhir" bernilai RM7.50.

Hmm ... apalah yang akan tersuap ke dalam mulut, kalau tahu esok akan mati! Mampukah usus di dalam perut mencerna dan menghadam lumat segala makana lazat itu nanti?!

Bicara hati

Pada saat-saat yang hampir ini ia acapkali meruntun jiwa. Ujian amat hebat. Di sinilah menguji kita sama ada ‘pergi’ dengan rela menemui Tuhan atau sebaliknya.

Terdapat juga banduan yang berasa puas hati dan memberitahu nasib mereka lebih baik dari kita yang bebas ini. Ini kerana mereka sudah tahu bila masanya mereka akan mati.Ada antara mereka menyatakan, mereka tidak tahan lagi menunggu detik-detik untuk mati.

Banduan Akhir akan ditempatkan di sebuah sel yang berhampiran dengan tempat hukuman dijalankan. Bilik menanti ini dipanggil “Bilik Akhir”.

Di Bilik Akhir itu sekali lagi Banduan Akhir akan tinggal bersendirian; semalaman.

Di hari Banduan Akhir diberitahu hukuman akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk wasiat dan nasihat terakhir.

Pelbagai nasihat yang dilontarkan tetapi tidak menjadi. Kalam selalunya berakhir dengan kata-kata: "Wahai anak, jangan turuti jejak ayah."

Di sinilah, pada malam hari sebelum digantung, ketika inilah barangkali Banduan Akhir ini benar-benar memahami nilai sabda Rasulullah saw:-

“Bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup selama 1,000 tahun lagi. Dan beramal ibadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati pada keesokan harinya”.

Ketika ajal semakin menghimpit, tiada siapa yang mampu melelapkan mata. Masa yang sekelumit akandipergunakan sepenuhnya. Setiap saat yang berbaki betul-betul dihargai.

Mengigil, mengeletar, gelisah, perit, sebak, sebal, ngeri, insaf, resah, takut, menjadi sapaan. Terjahan demi terjahan hebat terus-terusan mengganas di mata, hati, fikiran, jiwa. Jasad menggigil tanpa diundang. Menggeletar dengan bayangan yang meracau.

"Sudah bersediakah aku? Benarkah aku sudah bersedia? Taubat aku diterimakah? Ya Allahhhhh", pekik hati menerebusi segenap pelusuk penjara. Malangnya pekikan jiwa itu tidak kedengaran oleh manusia lainnya. Kalau mereka dengar sekalipun, mereka memekakkan telinga, tidak mempedulikannya. Tinggallah ia mengadap nasibnya sendirian!

Masih lagi terjelepuk di atas tikar sejadah. Masih mengharapkan keampunan, keredhaan dan kematian yang singkat. Di sudut hati itu mengharapkan agar rohnya terpilih mendapat tempat di sisi Tuhan. Lantas menerima rahmat dan ehsanTuhan. Pengakhiran hayat di dunia ini dalam keadaan bersih, pulus dan putih.

Sebaik azan subuh dilaungkan di corong-corong pembesar suara bergema. Semakin kemaruk rasa di jiwa. Hati menjati semakin kalut. Meronta-ronta; antara melepaskan atau dilepaskan!

Namun diri harus kuat. Mesti tabah. Hati mesti tegap untuk menggagahi menganggkat takbiratul ihram yang terakhir. Takbir terakhir!

Lutut mula rasai longgar. Dirinya pun terasa goyah. Subuh terakhir dirasakan cukup hening, bening dan dingin sekali.

Selesai salam diberikan. Kini menanti salam daripada petugas untuk datang. Tinggal berbaki hanya beberapa detik sahaja lagi.

Sambil masa terus berlalu, hati terus berdebar-debar. Jantung masih berdegup tetapi diluar kebiasaan. Kaki mulai semakin seram sejuk. Jiwa terasa kosong. Gelap. Lompang. Sunyi. Saat-saat yang berbaki ini tidak dipersiakan. Kedua belah tapak tangan masih utuh ditadahkan. Mohon ketenangan yang abadi. Mohon dipermudahkan roh bercerai dari jasad nanti!

Tiba-tiba terdengar derapan kaki semakin menghampiri. Langkah mereka dirasakan sekejap begitu pantas, sekejap begitu perlahan. Namun tapak kaki itu semakin jelas dan kian jelas menghampiri geriji besi yang menjadi pemisah antara dunia fana dan dunia hakiki.

Saat akhir

“Assalamualaikum... masa sudah sampai... dan maafkan saya,” kata petugas itu.

Berderau darah tersirap, mengalir tanpa karuan. Jantung seolah-olah terhenti. Walhal dari tadi, saat inilah yang dinanti-nantikan.

Sebaik tersedar dari terpana, jiwa mula sedar dan berkata "Oh! aku masih bernyawa lagi. Jantungku masih berdegup dan berfungsi. MASYA-ALLAH... bagaimana harusku hadapi detik ini. Tabahkanlah hati dan jiwaku. Ya! Allah semadikanlah roh aku nanti dalam kalangan roh-roh yang mendapat rahmat-Mu..."

Sebaik pagar di buka, Banduan Akhir menghulurkan tangan untuk bersalam dengan petugas yang ada sebelum digari ke belakang.

“Banyakkan bersabar dan bertaubat. Sekarang mengucaplah di sepanjang perjalanan ini,” pesan imam yang selalu datang memberikan kuliah. Sejak akhir-akhir ini dan di sebelah siang tadi kerap pula imam menjenguk. Kata-kata nasihatnya dijadikan tanda ingatan.

Sekarang terserah kepada Allah.

“Assahadualla ila hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah” sebaik hendak habis mengucap terus sahaja kepala diserkup dengan kain karung hitam.

Masa itu juga kaki menjadi longlai, lutut menjadi begitu longgar. Badan menggigil, bergoncangan kuat. Menggeletar menantikan saat untuk digantung; nyawa bakal direntap mati. Setiap detik berlalu dirasakan terlalu menekan - terasa lama dan kadang-kadang terlalu kejap.

Bukan tidak tahu atau bersedia lagi. Tetapi segala kekuatan itu hilang begitu sahaja; tidak berdaya, lemah dan luluh segalanya.

Banduan Akhir yang gagah, berbadan tegap sudah tidak ampuh untuk berdiri lagi. Namun ada Banduan Akhir kuat semangat, cekal hati; cukup gagah, berani dan segak melangkah.

Namun sebaik diserkup dengan kain hitam keramat itu, kakinya agak sedikit kekok. Tetapi tetap juga tidak mahu mengalah dan terus melangkah ke bilik hukuman; begitu cekal.

Bagi mereka yang longlai itu akan diangkat ke bilik hukuman dengan segera.

Jarak Bilik Akhir dan bilik hukuman tidak jauh. Hanya dipisahkan sedikit ruang dan sudut sahaja.

Semua pihak termasuk Pengarah Penjara, Doktor dan beberapa orang saksi yang lain sudah siap sedia menunggu di dalam bilik hukuman. Hukuman akan hanya dijalankan setelah Pengarah Penjara dan Doktor berpuas hati keadaan banduan pada hari hukuman dijalankan dan segala prosedur dipatuhi dengan ketat.

Banduan Akhir akan dibawa terus memasuki ke bilik hukuman. Banduan Akhir akan terus ditempatkan di bawah tali gantung. Banduan Akhir akan memijak Pintu Perangkap Renggang dan berdiri di situ.

Sepanjang proses kendalian hukuman itu dilakukan oleh dua orang tukang gantung.

Seorang petugas akan memasukkan tali gantung ke leher Banduan Akhir. Manakala seorang lagi akan mengikat kaki Banduan Akhir dengan kemas.

Sebaik semuanya sudah bersedia, kini petugas yang mengikat tali di kaki itu akan pergi ke picu untuk menarikPintu Perangkap Renggang terbuka. Dia menanti isyarat daripada Pengarah Penjara.

Sejurus Pengarah Penjara berpuas hati dan memberi isyarat pelaksanaan hukuman, picu itu akan ditarik serta merta dan Pintu Perangkap Renggang akan terbuka. Ketika ini tiada siapa yang berdaya berbuat apa-apa. Hanya berserah kepada Takdir Allah SWT.

Sebaik Pintu Perangkap Renggang dibuka, Banduan Akhir akan langsung tergantung. Tubuhnya akan terjun menjunam di ruang kosong di bawah tapak kakinya sedalam 5.8 meter. Tengkoknya akan patah dan leher akan tercekik. Lantaran itu berakhirlah hayat seorang manusia di situ.

Prosess ini berlaku selama kira-kira 15 saat, bermula dari banduan itu keluar selnya hinggalah hukuman dijalankan.

Banduan akan mati dalam masa 30 saat hingga 1 minit. Banduan tadi akan diturunkan, kemudian diletakkan di atas troli selepas setengah jam dibiarkan tergantung di situ.

Kemudian doktor akan datang dan memeriksa sekali lagi bagi pegesahan. Setelah yakin segalanya beres, mayat akan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Troli mayat akan ditolak terus masuk ke dalam ambulan yang sudah sedia menanti di situ sejak dari tadi. Setelah mayat dimasukkan ke dalam perut ambulan itu, ia mula bergerak ke pintu keluar penjara.

Di saat ini pintu keluar akan dibuka bersama mayat tadi untuk dibawa ke hospital. Sanak saudara yang menanti di luar pagar hanya sempat berteriak dan menitiskan airmata tanda kasih, tanda sayang, tanda rindu yang tidak terperi bakal menjelma.

Setelah beberapa meter dari pintu itu, siren ambulan akan berbunyi memecah pagi hari. Manusia di sekeliling yang faham akan mengetahui, seorang lagi hamba Allah telah kembali ke Rahmatullah. Manakala yang lain hanya terus khusyuk dengan kerja sendiri, tidak menghiraukan keriuhan ambulan yang sarat membawa mayat insan. 

Bayangkan jika kita hadapi suasana seperti itu. Bayangkan saat-saat kesakitan sakaratul maut dalam masa 30 saat ke 1 minit itu. Bayangkan yang tergantung-gantung di situ adalah kita! Masyallah Allahhhhh!..

Bayangkan jika malaikat maut datang menyapa kita sebentar lagi. Sudahkah kita bersedia sabagaimana si Banduan Akhir ini? Sempatkah kita bertaubat dan mengingati Tuhan? Sempatkah kita meninggalkan wasiat dan nasihat?!

Oh ...di manakah ibu kita sekarang berada? Di manakah Ayah kita berada? Sempatkah kita menjenguk mereka di saat Malaikat Izrael datang memanggil? Sempatkah kita meminta ampun pada isteri dan suami? Apakah yang telah kita tinggalkan di dunia ini?

Tetapi kenapa hati ini begitu degil. Masih merapu dan tidak mahu redha denganTuhan Rabul Alamin. Acapkali pula berjanji dan kerap kali juga mungkiri kepada-Nya?!

“Ya! Allah aku bermohon perlindungan dari-Mu. Limpahkalah rahmatmu ke atas ku. Dan janganlah kau pisahkan aku daripada orang-orang yang kau cintai”

wallahu`alam...

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!