Hijrah dan berubah yang dimaksudkan pastilah merujuk kepada sesuatu yang lebih baik. Namun, tanpa sebarang kupasan, tentu sukar bagi masyarakat Sungai Limau untuk memahaminya secara mendalam.
Mungkin ramai yang melihat perkataan ‘ubah’, ‘perubahan’, ‘transformasi’, ‘reformasi’ atau ‘hijrah’ adalah sekadar bermakna bertukar dari satu parti ke parti lain atau satu individu ke individu lain. Mungkin ada yang berfikir lebih sedikit dan melihatnya sebagai satu usaha untuk menambahbaik atau menukar sistem atau cara pentadbiran.
Namun, ‘hijrah’ yang dimaksudkan oleh Dato’ Mukhriz adalah melangkaui apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Bagi memahaminya, kita perlu melihat dari keperibadian Dato’ Mukhriz sendiri yang terkenal sebagai lelaki budiman. Ini satu hakikat yang tidak dapat dinafikan walaupun oleh musuh-musuhnya sepertimana musuh-musuh bapanya tidak boleh menafikan kebijaksanaan Negarawan Ulung itu.
Dato’ Mukhriz tidak pernah ‘terlepas laku’ sepertimana beberapa pemimpin kita hari ini. Kita tidak dapat membayangkan beliau berkasar, apatah lagi memaki hamun atau menjerit melompat dalam apa jua keadaan atas alasan ‘berjuang’.
Beliau pernah diherdik secara berhadapan oleh ahli PAS, tetapi beliau hanya tersenyum. Beliau sering menjawab sindiran dengan lembut. Apabila beliau menyerang, beliau menyerang dengan fakta, itu pun dengan lembut juga iaitu kualiti yang pastinya diwarisi dari Tun Mahathir yang dikasihi.
Namun, dalam kelembutan Tun Mahathir terdapat senjata yang tajam untuk membalas serangan manakala Mukhriz belum ada keperluan untuk berbuat demikian ataupun belum masanya lagi. Oleh itu, sifat itu belum dapat dilihat dalam dirinya atau kemungkinannya tidak ada. Tidak mungkin beliau mewarisi bapanya seratus peratus.
Dalam masyarakat British, lelaki budiman seringkali dirujuk kepada golongan bangsawan iaitu yang lahir dari keturunan yang dihormati, selalunya berdarah diRaja. Golongan ini perlu menjaga tuturkata dan adab sopan serta tidak akan sekali-kali menggunakan kata-kata kesat kerana ia akan menjatuhkan maruah mereka.
Mungkin kerana sifat Dato’ Mukhriz yang budiman, maka beliau turut dirujuk sebagai golongan bangsawan.
Masyarakat kita seringkali tersalah mentafsirkan perkataan ‘bangsawan’ atau ada juga yang merujuknya sebagai ‘elit’. Ada yang menyangka ia merujuk kepada ‘orang-orang kaya’ tak kira apa latarbelakangnya dan bagaimanapun sikapnya. Hakikatnya, seorang bangsawan sebenar pastinya seorang yang budiman. Manakala, seorang kaya tidak semestinya seorang budiman dan seorang budiman tidak semestinya seorang bangsawan dan tidak semestinya kaya.
Hari ini, sukar sekali untuk kita mencari lelaki budiman tidak kira dari golongan bawahan mahupun atasan. Hari ini kita melihat anak-anak pemimpin yang kaya raya juga terjerit-jerit, menyombong atau mengherdik orang sesuka hati. Di kalangan remaja biasa juga, adab sopan sudah semakin terhakis terus. Malah, pemandu teksi di Malaysia telah ‘dinobatkan’ oleh majalah antarabangsa sebagai paling biadab di dunia!
Di dalam politik juga sama saja, yang samseng, yang ‘taiko’ dihormati manakala yang dedikasi, bijak dan kurang bercakap dipandang sepi. Maki hamun dan cakap-cakap lucah sudah menjadi perkara biasa di mana-mana saja. Mungkin ada yang menganggap ini sesuatu yang elok kerana tiada lagi ‘kasta’ antara bangsawan dengan tidak.
Justeru, Malaysia semakin hari semakin hilang kehormatannya. Sedikit demi sedikit kita mengundur ke belakang dari segi ketamadunan dan kemanusiaan. Sedangkan di dalam Islam, manusia yang tinggi darjatnya adalah manusia yang beradab.
Maka inilah ‘Hijrah’ yang perlu dilakukan iaitu ke arah menjadi manusia yang lebih baik. Tidak guna ‘berebut’ perkataan Islam atau mempertahankan Kalimah Allah jika diri sendiri bersikap bagai manusia di zaman jahiliah. Apa ada pada jubah, serban dan tudung kepala jika tutur kata bersalut najis?
Kita percaya, masyarakat Sungai Limau mampu melakukan hijrah ini bersama Dato’ Mukhriz. Tolaklah mereka-mereka yang gemar memaki-hamun. Ingatlah bagaimana mereka memaki Almarhum Tan Sri Azizan ketika sihat sehinggalah ketika beliau terlantar sakit dan seterusnya tenat, hanya kerana mereka tidak dapat merebut jawatannya.
Walaupun beliau merupakan musuh politik, tetapi Dato’ Mukhriz tidak sanggup membiarkan nama beliau diaibkan, dan Dato’ Mukhrizlah yang tampil membela beliau di dalam Dewan. Ini boleh dirujuk sendiri dalam hansard DUN Kedah.
Inilah keperibadian pemimpin Islam sebenar iaitu menolak mengaibkan musuh, menolak kempen dengan cara memfitnah dan maki hamun serta enggan menjawab serangan peribadi kerana ia tidak membawa kebaikan kepada sesiapa pun jua.
InsyaAllah, Allah SWT akan memberkati masyarakat yang beradab. Ingatlah bahawa adab adalah dakwah yang pertama dan paling terkesan kepada manusia berbanding ceramah.
Sumber: UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.
Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.
THANKS!