MY PORTFOLIO

Wednesday, October 2, 2013

RM320K UNTUK KEMPEN DI #FB DAN #TWITTER? KESIAN MENTERI KENA KENCING


Beberapa kelemahan dikesan dalam aktiviti pendidikan kesihatan termasuk kos pembangunan laman sosial Facebook dan Twitter bernilai RM320,000 yang tidak wajar, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Menurut laporan itu, kos kempen 'Tak Nak Merokok' dibuat oleh sebuah syarikat melibatkan akaun Facebook bernilai RM199,068 bagi tempoh Julai hingga Disember 2011 dengan bilangan 100,000 'like/fans'.

Bagi kempen 'Intervensi Penyakit Tidak Berjangkit', ia dilakukan melalui akaun Facebook dan Twitter oleh syarikat lain berjumlah RM120,500.

Skop kerja kedua-dua kontrak hampir sama namun harga yang ditawarkan berbeza.

"Selepas kontrak tamat didapati kandungan dalam laman sosial tidak dikemas kini KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," menurut laporan itu.

Ketua Audit Negara berkata KKM seharusnya menimbangkan kewajaran kedua-dua sebut harga bagi kempen melalui Facebook dan Twitter kerana terdapat persamaan maklumat dalam sebut harga dan memastikan laman sosial berkenaan sentiasa relevan dan kemas kini.

Ketua Audit Negara turut menegur kempen KKM menerusi pengagihan barangan dalam bentuk cenderahati seperti beg galas dan penanda nota bermesej yang tidak diagihkan kepada golongan sasar disebabkan penggunaan perkataan tidak sesuai.

"Beg galas dan pelekat penanda yang memaparkan slogan 'Smoking, A Stupid Habit for Stupid People' tidak sesuai diagihkan kepada golongan sasar," menurut laporan itu.

Jabatan Audit Negara turut mendapati poster dan risalah di mana karya seni yang siap disediakan secara dalaman dan cetakan dibuat syarikat percetakan mengandungi beberapa kesilapan laras bahasa dan ejaan melibatkan kos melebihi RM31,200.

Pada satu kempen, penggunaan bait perkataan 'KE ARAH ELIMINASI TRANSMISI VERTIKAL' pada papan iklan kempen HIV/AIDS di sebuah klinik kesihatan di Kelantan memaparkan mesej yang sukar difahami masyarakat setempat.

"Pada pendapat audit, KKM hendaklah menekankan penggunaan laras bahasa, ejaan yang betul dan penyampaian mesej yang mudah difahami," menurut laporan itu. - awani

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!