Timbalan Perdana Menteri berkata ketiga-tiga sayap itu yang merupakan tonggak kekuatan parti, memiliki kekuatan masing-masing untuk menggalas harapan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO.
Bagaimanapun, katanya, mereka mesti kembali memahami idealisme dan matlamat perjuangan UMNO yang berjuang bukan sahaja untuk parti tetapi demi orang Melayu dan Bumiputera.
“Kita mesti ingat harapan orang Melayu dan Bumiputera yang amat tinggi kepada UMNO. Orang Melayu dan Bumiputera telah memberikan sokongan padu kepada UMNO dan mereka amat berharap kita dapat membela nasib mereka.
“Bila kita diberi mandat, kita melakukan yang terbaik untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, serta menjamin kaum-kaum lain juga mendapat pembelaan yang adil, ” katanya ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Perhimpunan kali ini yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas dan pemilihan parti pada Oktober.
Muhyiddin dalam ucapannya mengingatkan sayap parti mengenai komitmen, kerjasama dan perpaduan yang harus diperkukuhkan untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14 yang disifatkan lebih mencabar.
“Jangan kita ulangi kesalahan, kesilapan dan kelemahan lampau. Bina kekuatan baharu. Selesaikan sebarang masalah dengan segera supaya Wanita, Pemuda dan Puteri benar-benar wujud sebagai pergerakan yang dihormati,” katanya yang juga mahu ketiga-tiga sayap parti itu untuk berusaha menangani kempen membenci UMNO dengan segera.
Lebih penting, menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO, ketiga-tiga sayap parti perlu menterjemahkan konsep transformasi politik sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik.
“Generasi lama di dalam UMNO telah menyumbang, yang penting ialah sumbangan generasi hari ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya yang menambah UMNO perlu sentiasa mencari pendekatan baharu untuk kekal relevan.
Beliau berkata sebagai pewaris perjuangan UMNO yang memahami aspirasi golongan muda, Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bijak mendekati generasi itu dan mengajak mereka menyertai perjuangan UMNO.
“Pemuda perlu berinteraksi dengan generasi muda termasuk di kampus dan kampung. Mereka juga wajib menjadi jurubicara umat mewakili suara orang muda.
“Lantanglah bersuara, beranilah membuat pendirian, muncullah di semua pentas menjuarai isu rakyat. Biarlah kehadiran Pemuda dan Puteri benar-benar dirasai dan dihargai oleh rakyat,” katanya.
Sementara Pergerakan Wanita sebagai obor perjuangan parti perlu terus cekal dan kental dengan tradisi menawan hati dan budi wanita-wanita termasuk golongan profesional dan agamawan wanita, katanya.
“Kalau Wanita hendak menjadi tulang belakang UMNO, teruskanlah semangat itu. Yang penting Wanita mampu menyahut apa jua cabaran,” kata Muhyiddin yang turut mengiktiraf sumbangan pergerakan itu yang disifatkan sebagai tulang belakang parti. - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.
Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.
THANKS!