MY PORTFOLIO

Tuesday, December 24, 2013

#TanyaIbdil: ENTRI KHAS BUAT PENGERUSI BIRO MEDIA BARU PEMUDA UMNO, @ibdil



Pada Rabu dan Khamis, Jawatankuasa Siber Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) selesai menganjurkan program Retreat Cyber untuk pegawai-pegawai penyelidiknya, langkah yang dilihat tepat dan kena pada masanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang lalu, Presiden parti itu yang juga Pengurusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar beliau menekankan betapa pentingnya menjuarai teknologi maklumat. 

Ini kerana komputer, laptop, notebook, netbook, malah instrument teknologi maklumat sekecil telefon pintar sekalipun berupaya menjadi penentu kalah menang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang, katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri dalam ucapan dasarnya pada PAU-2013 itu mahu jentera informatif parti menguasai media baharu bagi menyampaikan mesej-mesej, mempertahankan dasar-dasar parti dan kerajaan serta melawan atau menjawap segala tohmahan dan fitnah pembangkang.

Najib sendiri seorang yang “IT savy” atau mesra IT.

Beliau dikatakan pemilik akaun Twitter kedua paling aktif di Asia, dan sering mengemas kini statusnya, berkongsi pandangan serta menghantar ‘tweet’ bila sahaja ada kesempatan.

Hakikatnya jaringan laman sosial dan laman sembang kini memberi impak besar dalam menghebah maklumat dan perkembangan mutakhir.

Boleh dikatakan majoriti masyarakat, terutama golongan muda kini beralih kepada media baharu sebagai bahan pembacaan utama berbanding media konvensional atau media arus perdana kerana capaiannya lebih mudah, efisien, tidak banyak karenah dan bersifat interaktif.

Penganalisis politik juga berpendapat penggunaan media baharu atau media sosial lebih mudah, efisyen dan signifikan kerana capaiannya boleh sampai ke merata pelosok negara, malah kalau label “media arus perdana” boleh ditukar milik, jolokan ini boleh disifatkan milik media baharu.

Walaupun pendekatan konvensional bersemuka tidak kurang pentingnya tetapi capaian ruang lingkupnya agak terhad.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, keupayaan media sosial harus digunakan secara optimum di kalangan ahli BN dan UMNO.

Hujah Dr Ismail, ini kerana pendekatan secara maya itu akan memberi manfaat politik, jika digunakan sepenuhnya untuk memberitahu, mempengaruhi dan meraih sokongan rakyat dalam semua hal termasuk ekonomi, sosial dan politik.

Media sosial kini bukan hanya untuk jaringan sosial, sebaliknya menjadi alat komunikasi pelbagai hala mendapatkan serta menyalurkan pelbagai maklumat, tegasnya.

Prof Madya Dr Ismail Sualman

Hasil kajian yang dilakukan Ismail, hanya 30 peratus sahaja anggota masyarakat menggunakan media tradisional seperti surat khabar, televisyen dan radio bagi mendapatkan maklumat politik.

Kajian Ismail juga mendapati hampir 80 peratus pengguna menggunakan media sosial sebagai sumber media utama dalam PRU13 dan pembangkang menggunakan peluang itu sebaiknya mewujudkan “perang persepsi” dalam kalangan rakyat untuk meraih sokongan.

“Rujukan utama mereka ialah media sosial, blog dan portal berita. Sebab itu kita lihat segala polisi di bawah pemerintahan BN tidak dapat diserap ke akar umbi dan akhirnya ia tidak menjadi kekuatan kepada BN sendiri.

“Perkara ini juga berlaku kepada UMNO yang walaupun melakukan pelbagai pendekatan tetapi selalunya tidak sampai kepada pokok persoalan sendiri…itu yang perlu diamati,” katanya.

Melihat pengaruh besar yang dimainkan media sosial terutama pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas, mahu tidak mahu, UMNO dan BN perlu lebih agresif, bukan sahaja bersaing malah mendahului penggunaannya secara optimum.


Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, BN perlu mengubah pendekatan dengan tidak terus menjadi defensif, tetapi lebih agresif mematahkan serangan siber pembangkang, juga melalui dunia maya.

“UMNO dan BN perlu menyerang, bukan bertahan jika mereka mahu memastikan kejayaan pilihan raya terus berada dalam tangan. Mereka perlu bangkit dan lawan untuk menjelaskan dan membetulkan apa jua tuduhan yang dilemparkan.

“Saya percaya ini satu langkah penting untuk menarik sokongan pengundi agar masyarakat memihak kepada BN. Justeru, UMNO khasnya perlu sentiasa peka dan pandai memanipulasi persekitaran serta peredaran teknologi semasa,” kata Dr Sivamurugan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu berkata, parti perlu menambah baik dan memperkuatkan “jentera media baharunya” termasuk menambah bilangan “soldadu maya” bagi menangkis tuduhan pihak lawan di alam siber.

“UMNO dan BN memerlukan blogger-blogger yang agresi, mempunyai pemikiran kreatif dan kritis, berupaya mematahkan serangan serta berhujah dengan fakta, bukti dan penyelidikan kukuh mengenai sesuatu isu.

“Ini penting kerana penggunaan media sosial itu boleh digunakan untuk menjawab segala tohmahan dan fitnah yang dilempar kepada parti selain menjelaskan segala kekeliruan rakyat dan juga menyaingi pasukan siber pihak lawan,” katanya.

Keterbatasan ahli BN dan UMNO menggunakan media sosial mungkin kerana kurang berkemahiran dan tiada pendedahan terhadap kemodenan teknologi maklumat.

Aktivis media sosial Pemuda UMNO, Azrinizam Ibrahim mengakui kurangnya kemahiran melihat teknik-teknik pemasaran politik, menimbulkan kesukaran untuk menyebarluaskan maklumat-maklumat yang ingin dikongsi.

Azrinizam Ibrahim

Sebagai contoh, Azrinizam berkata, isu-isu yang dibangkitkan lazimnya mempunyai hashtag (symbol #), yang menandai kata kunci atau topik.

Tetapi, kata beliau, sejauh manakah hashtag tersebut boleh dipromosikan secara meluas hingga sampai ke akar umbi.

Menurut beliau berkata strategi tersusun dan pendekatan berbeza juga diperlukan mengikut kesesuaian applikasi media sosial yang digunakan.

“Facebook perlu menggunakan strategi lain, YouTube pendekatan lain dan Twitter ada kaedah lain yang sesuai dengan kempen di dalamnya manakala blog perlu disusun dengan baik untuk menarik golongan muda.

“Semua ini perlu dikoordinasi dengan kemas, barulah UMNO dan BN boleh menangani persepsi yang cuba ditimbulkan pihak lawan,” katanya.-bnbbc.my

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!