MY PORTFOLIO

Friday, April 18, 2014

PEMILIHAN PKR 2014: [ULASAN] KENAPA ANWAR & WAN AZIZAH LAWAN SAMA SENDIRI?


Sesiapa pun akan merasa pelik jika sepasang suami isteri melawan sesama sendiri untuk merebut jawatan dalam parti politik. Ini semua sebab GILA KUASA!


Kenapa Anwar tetap bertanding walaupun sudah dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara atas kesalahan meliwat? Adakah ini kerana dia sudah tidak layak memegang jawatan Ketua Umum, dan kemudiannya menggunakan isterinya untuk kekal berjawatan?

INI JAWAPANNYA


ULASAN

Alasan sudah luas terbentang jika Anwar Ibrahim mahu menarik diri daripada persaingan merebut kerusi presiden PKR menentang isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, sebelum 11 Mei nanti.

Di peringkat ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, sudahpun membayangkan bahawa peguam-peguam Anwar sedang mengkaji apakah kesan perundangannya jika beliau meneruskan hasrat mahu bertanding.

Alasan yang paling kukuh ialah, jika tindakan Anwar untuk bertanding itu didapati bercanggah dengan undang-undang dan peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS), ada kemungkinan pendaftaran PKR sendiri mungkin digantung atau dibatalkan sama sekali.

Sudah pasti itu adalah satu keadaan yang tidak diingini oleh setiap ahli PKR. Lantas jika Anwar menarik diri dari pertandingan, ia menjadi sesuatu yang amat diredhai oleh ahli dan penyokong parti.

Ini juga bermakna Wan Azizah akan terus menjadi Presiden PKR sementara Anwar pula akan terus memainkan peranan Ketua Umum dan menjadi penasihat ulung bagi PKR.

Lantaran itu juga kesan kemungkinan Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun akan dapat ditangani dengan baik. Isu benar atau tepatkah hukuman itu tidak lagi menjadi persoalan. Yang penting Anwar sudah “menyelamatkan parti”.

Kenapa Anwar terus menggelicik dalam pemilihan PKR?

Walhal, soal mahu memastikan sama ada jika Anwar terus bertanding akan meninggalkan risiko perundangan serius kepada PKR atau tidak, bukanlah sukar sangat untuk diputuskan oleh pihak peguam Anwar. Ia boleh diputuskan hari ini juga.

Yang menjadi persoalannya, mengapa Anwar terlalu “liat” untuk menarik diri daripada pertandingan itu?

Ada pihak yang percaya ini memang salah satu cara Anwar mahu menyelia perkembangan parti yang mempunyai agenda reformasi. Anwar mahu menilai dahulu siapakah yang paling “layak dan berpeluang” menang jawatan Timbalan Presiden.

Jika bacaannya menunjukkan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Azmin akan tumpas dalam pertandingan itu, Anwar perlu menilai siapa di antara Khalid Ibrahim dan Saifuddin Nasution yang akan menang.

Sudah tentu Anwar akan lebih tenteram jika anak-didiknya, Saifuddin Nasution dapat menundukkan Khalid. Ini bermakna kedua-dua pihak yang bertikai –Azmin dan Khalid — dalam PKR diketepikan.

Sudah tentu harapan Anwar tanpa diselubungi pergeseran yang meruncing di antara kedua personaliti itu, PKR akan lebih aman dan agenda “Langkah Kajang” akan dapat digerakkan semula.

Anwar masih berharap ‘Langkah Kajang/Kajang Move' diteruskan


Apabila Khalid kalah, kemungkinan besar kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor akan terancam. Seluruh jentera PKR boleh digerakkan untuk menurunkan Khalid dan menaikkan Wan Azizah sebagai menteri besar.

Jika Azmin juga tewas, ini bermakna beliau tiada kedudukan politik besar dalam parti. Ini akan memudahkan Saifuddin Nasution untuk memimpin PKR dengan diapit oleh leftenannya, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli. Sekaligus ini dapat meringankan beban Wan Azizah yang perlu mentadbir Selangor.

Pembahagian kerja dan kuasa pun dapat dibahagi sama di antara Presiden dan Timbalan Presiden PKR. Wan Azizah jaga negeri Selangor, Saifuddin jaga PKR! Anwar boleh berihat dengan aman di sebalik tirai besi!

Mungkin sebagai saguhati dan mengelak jurang hubungan dengan anak didik utamanya, Azmin Ali daripada melebar, Anwar mungkin boleh sahaja membisikkan supaya Wan Azizah melantik Azmin sebagai ahli exco kerajaan negeri.

Senario itu mungkin berlaku jika Anwar puas hati bahawa Saifuddin akan dapat menewaskan Azmin dan Khalid. Jika penilaiannya menunjukkan Khalid atau Azmin yang bakal menang jawatan Timbalan Presiden, maka ini bermakna Anwar akan teruskan pencalonannya sebagai presiden.

Ketika itu, Wan Azizah pula yang akan menarik diri sebagai calon presiden dan terus berfungsi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang sahaja. Mungkin juga Wan Azizah pula ditawarkan jawatan Exco.

Ini bermakna Anwar akan menjadi presiden. Dengan cara ini beliau boleh “memantau dan mengawal” gelagat politik Azmin ataupun Khalid. Kedua-duanya amat “segan” pada Anwar. Sudah tentu mereka akan akur dan taat pada pimpinan Anwar walaupun beliau mungkin berada dalam penjara.

Ketika itu persoalan apakah implikasi perundangan jika beliau menjadi presiden tetapi terpaksa menjalani hukuman penjara sudah jadi tidak penting lagi.

Anwar yang memang terkenal dengan “kedegilannya” menentang dan mencabar pihak lawan akan menggunakan isu perang dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai agenda utama perjuangan politiknya dari dalam penjara.

Anwar mahu terus jadi relevan dalam arena politik negara

Jika itu berlaku, Anwar masih berpeluang untuk mengekalkan dirinya sebagai terus relevan dengan pergolakan politik Malaysia dan dunia antarabangsa. Walaupun dipenjarakan rekod Anwar menunjukkan beliau tidak pernah lelah menentang salahguna kuasa Barisan Nasional.

Justeru akan lebih mudah mengulang kempen di seluruh dunia bahawa beliau adalah seorang tahanan yang teraniaya (prisoner of conscience).

Lantas, walaupun tempoh menarik diri dari menjadi calon sudah berlalu sejak 10 April lalu, Anwar masih belum mahu berbuat demikian. Mungkin Anwar mula gusar kemungkinan beliau dipenjara akan menjadi kenyataan.

Apapun Anwar pasti tidak mahu dalam tempoh pemenjaraanya itu, rakyat umumnya dan khususnya pemimpin-pemimpin PKR yang ditinggalkannya akan berikhtiar sendiri meranduk onar politik dan beliau tiada lagi saham dalam pergolakan siasah tanah air.

SOURCE: AIDC

No comments:

Post a Comment

Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.

Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.

THANKS!