Sebaliknya terdapat beberapa fakta yang salah dan tidak tepat berhubung laporan penggunaan pesawat khas kerajaan untuk Perdana Menteri dalam laporan blog-blog berkenaan, tegas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat.
Dalam kenyataan itu, PMO menjelaskan kerajaan sebelum ini memiliki lima buah pesawat khas iaitu ACJ A319, BBJ, Fokker F28, Global Express dan Falcon 900.
Semua lima pesawat khas kerajaan itu diperuntukkan untuk kegunaan Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, pesawat berkenaan juga boleh diluluskan untuk kegunaan Sultan-sultan, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, tetamu-tetamu kerajaan Persekutuan dari negara asing, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang-orang kenamaan.
"Pada Ogos 2012, pesawat Fokker F28 telah dilupuskan kerana telah berusia lebih 30 tahun dan tiada pesawat gantian dicadangkan," jelas PMO dalam kenyataan itu, sekaligus bermakna tinggal empat buah sahaja pesawat khas yang dimilki oleh kerajaan.
Bagaimanapun pada tahun lepas, dua buah pesawat telah dijadualkan untuk menjalani proses penyelenggaraan wajib.
Pesawat BBJ dihantar untuk penyelenggaraan di antara Januari hingga Julai 2013.
Manakala pesawat ACJ319 yang menggunakan nombor pengenalan (call sign) 9M-NAA diekornya pula diselenggara, termasuk dicat semula di antara 15 Jun hingga 8 Oktober tahun yang sama.
Untuk rekod, ACJ319 adalah pesawat rasmi yang sering dilihat digunakan oleh Najib dan beroperasi menggunakan nama "NR1" atau "Perdana 1".
Sejajar dengan perkara itu, bagi menampung kekurangan pesawat khas, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas urusan pesawat khas Kerajaan mengambil keputusan menyewa sebuah pesawat lain iaitu ACJ A320.
Pesawat ACJ320 yang disewa inilah yang dilaporkan oleh beberapa laman blog beroperasi menggunakan nama "Perdana 2″ atau "NR2″ dan disertakan ulasan huruf berkenaan "kebetulan sama dengan singkatan nama Najib" -- sekaligus mencetuskan persepsi kononnya ia pesawat peribadi yang baru dibeli Najib.
Kenyataan PMO itu bagaimanapun tidak menyebut semua empat pesawat khas kerajaan atau sebuah yang disewa itu boleh diluluskan untuk kegunaan mana-mana individu bagi tujuan peribadi, termasuk oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. - BNBBC
No comments:
Post a Comment
Saya tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang komen yang boleh mengguris perasaan pihak lain dan komen yang berunsur provokasi dan yang boleh mencetuskan kontroversi. Terima kasih.
Sebarang kemusykilan emailkan kepada muhamadhafizzudin@gmail.com.
THANKS!