APA yang berlaku pada pagi Khamis, 4 Julai, di Mesir mengulangi drama mendebarkan ketika Februari 2011 apabila pemerintahan 30 tahun Hosni Mubarak sampai ke penghujungnya . Latar ceritanya sama _ atas nama kebangkitan rakyat, bagaimana kuat sekali pun cengkaman politik seseorang pemimpin itu, ia tidak setanding suara lautan manusia berhimpun mencetuskan gelora menjatuhkan kuasa. Mohamed Morsi, yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi dipanggil pilihan raya, digulingkan dan kini dikenakan tahanan rumah oleh tentera. Tidak penting lagi, jika rampasan kuasa itu dibantu tentera atau sebaliknya, kuasa rakyat, ada nilai harga yang tinggi untuk dibayar.
Mesir kini di era baru. Itulah juga tajuk utama semasa Hosni dijatuhkan, diikuti Mohamed yang menyambung jalan politik tinggalan Hosni dan rejimnya. Kini era baru pasca penggulingan Mohamed itu merujuk kepada Adly Mansour, Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Mesir yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden kerajaan sementara di negara itu. Kepada penentang Mohamed, Adly dan tentera merupakan pihak yang terbaik menyelesaikan masalah Mesir, yang dihimpit pelbagai isu sejak sekian lama. Namun kepada penyokong Mohamed, Mesir bukan memasuki lembaran baru, sebaliknya mundur beberapa tahun ke belakang. Lebih buruk, perkembangan itu kepada penyokong Mohamed, seolah-olah menguburkan obor demokrasi yang mula memutik dengan baik sejak dua tahun lalu _ semasa Mohamed ambil alih kuasa.
Di lapis lain, apa yang berlaku di Mesir, menghantar mesej dan melontar satu pertanyaan, apa lagi rakyat Mesir mahu? Soalan itu barangkali perlu dijawab dan jawapannya ada di kalangan rakyat Mesir sendiri.
Ramai kalangan penganalisis yang mengikuti rapat debar politik Mesir bimbang dengan perkembangan terbarupasca kejatuhan Mohamed. Seorang penganalisis Asia Barat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melahirkan rasa khuatir jika apa yang berlaku di Algeria akan berulang di Mesir. Katanya, detik gembira sesetengah penyokong tentera meraikan kejatuhan Mohamed mungkin sementara memandangkan apa yang berlaku selepas ini masih lagi kabur. “Ya, satu pilihan raya Parlimen dan Presiden akan diadakan, tetapi persoalannya bila? Ya, penyokong tentera gembira, namun apa yang berlaku kepada kumpulan pro-Mohamed yang bersedih dengan perkembangan yang terjadi?,” kata beliau sebelum seterusnya menambah, kelompok yang kecewa berupaya bertindak di luar fikiran logik.
Penganalisis yang beberapa kali melawat Mesir itu seterusnya menarik perhatian bahawa, sehingga menunggu tarikh pilihan raya baru diadakan, ia dibimbangi berlaku lebih banyak keganasan atau protes dalam skala yang lebih besar. “Adalah tidak berbaloi, jika rakyat Mesir membayar untuk membuat pilihan mengundi nanti tetapi terpaksa diganti dengan menempuhi keganasan terlebih dahulu.” Contohnya sudah ada _ di Algeria. Pada 1991, Parti Islamis, FIS menang pusingan pertama pilihan raya tetapi Presiden yang dipilih, bertindak di bawah tekanan tentera terpaksa membubarkan Parlimen sekali gus membatalkan pilihan raya. Keadaan itu mengakibatkan pihak yang tidak berpuas hati _ sudah pasti pergerakan Islam Algeria, secara diam-diam berjuang cuba mengembalikan amalan yang bebas daripada cengkaman tentera. Lihatlah warisan di Algeria sekarang, berpuluh-puluh tahun gerakan pemisah berakar, hampir 300,000 nyawa terkorban. Saki baki kumpulan pemberontak pula hidup dengan aktiviti seludup, menculik, memeras ugut, meminta wang tebusan dan membunuh tawanan.
Mesir tidak mustahil boleh menjadi seperti Algeria. Antaranya kerana Mesir adalah tempat lahir dan berkembangnya pengaruh Islam serta politik. Kalau ada yang membaca dan mengikuti rapat sejarah Mesir, sebagai agama, Islam di negara itu dijadikan senjata melawan penjajahan dan sebarang bentuk kekejaman. Pada awal kurun ke-20, kalau ada yang belum lupa, ketika itu, dapat dilihat bahawa intelektual seperti Sayyid Qutb didera semasa dipenjara oleh kerajaan tentera pimpinan Presiden Kolonel Gamal Abdul Nasser, yang berfahaman sekular.
Semasa “Arab Spring” yang menjatuhkan kerajaan Hosni pada 2011, disusuli pilihan raya yang berpihak kepada Ikhwanul Muslimin, penganalisis melihat ia satu tamparan kepada Al-Qaeda dan kumpulan beraliran agama atau jihad. Keadaan itu mencerminkan bahawa ada ruang dan untuk politik berasaskan Islam menerusi pendekatan aman atau jalan demokrasi, iaitu pilihan raya. Ia perkembangan cukup mengecewakan bukan sahaja buat Al-Qaeda, malahan pergerakan Islam ekstremis lain.
Kini dilaporkan banyak cabang-cabang pergerakan yang ada di Mesir beralih arah ke Syria dan Turki _ berjuang atas nama agama dan mempertahankan hak. Jangan dilupakan juga, Ayman Al-Zawahiri, orang nombor dua dalam Al-Qaeda berasal dari Mesir. Menurut laporan, beliau yang berjaya menukarkan Osama Laden menjadi radikal sehingga sifat Al-Qaeda terbentuk sedemikian rupa. Dengan ada markas-markas pergerakan jihad ini khususnya di Mesir, penggulingan Mohamed satu perkembangan cukup meresahkan. Ia sangat bergelora untuk politik Mesir. Kalaupun masih jauh daripada menjadi seperti Algeria, tidak salah untuk dikatakan ia makin hampir memasuki era menjadi “Algeria kedua”. - AWANI
No comments:
Post a Comment