Monday, September 2, 2013

MISTERI: KAMPUNG TANDUO DIDUDUKI OLEH ROH-ROH TENTERA SULU?


Bunyi aneh, jeritan, raungan kesakitan, terserempak kelibat manusia, antara perkara yang dilalui penduduk kampung berhampiran dan anggota keselamatan yang berkawal

Sejak awal menjejak kaki di Felda Sahabat, Lahad Datu, pelbagai kisah misteri yang berlaku selepas Op Daulat disuakan ke telinga kami.

Kisah Kampung Tanduo yang menjadi lokasi dan tempat berkumpulnya lebih 100 pengganas tidak lama dahulu, bukan setakat yang dilihat dengan mata kasar.

Kewujudan kampung itu sejak 50 tahun lalu, sebelum ini dikatakan sebagai perkampungan haram, sebenarnya menyimpan 1001 misteri yang masih belum terungkai.

Beberapa penduduk berhampiran, terutama dari Felda Sahabat 17 yang ditemui mendakwa pernah terserempak dengan kelibat aneh ketika sedang memandu kereta untuk keluar ke Pekan Lahad Datu.

Menurut Ali Hadi, 30, dia pernah 'bertemu' dengan 'lembaga' seperti manusia yang melintas di laluan utama kawasan Felda itu.

"Masa tu hujan renyai. Saya sedang memandu dan hampir melanggarnya. Tapi lembaga itu sempat mengelak. Bila saya menoleh ke sebelah kanan, lembaga itu menghilang.

"Saya beranikan diri turun dari kereta. Memeriksa kawasan sekitar takuk jika benar-benar terlanggar orang. Bila saya periksa di tepi belukar, memang tiada siapa yang saya langgar. Tiba-tiba muncul perasaan seram. Saya masuk ke dalam kenderaan dan terus memecut laju."

Menurut Ali, hingga hari ini dia masih belum menemui jawapan siapa atau apakah yang dilanggarnya ketika itu.

Seorang lagi penduduk Felda Sahabat 17, yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 47, juga menceritakan perasaan aneh yang sering dirasainya terutama bila senja bermula.

"Ada satu hari saya dengar bunyi seperti seorang lelaki sedang menjerit dekat kebun kelapa sawit berhampiran rumah saya.

“Mendayu-dayu. Nak kata bunyi anjing bukan, sebab bila saya jenguk di tingkap suara itu masih jelas didengari. Isteri saya pun mendengarnya. Kami buat keputusan cuba hubungi polis, tapi kemudian bunyi itu lenyap begitu sahaja."

Perkara itu turut diperkukuhkan lagi apabila ada anggota pasukan keselamatan yang turut mengalami perkara aneh ketika melakukan rondaan pada waktu malam.

“Kami beberapa kali terdengar bunyi suara orang minta tolong. Suara itu seperti dalam kesakitan.

"Bila diperiksa, tiada sesiapa. Perkara ini sering dialami oleh anggota keselamatan terutama pada waktu malam dan tengah hari,” katanya.

Malah ada juga yang mendakwa pernah terdengar seolah-olah bunyi tembakan.

Menurutnya pernah pada suatu ketika mereka terdengar seperti bunyi lolongan tetapi bila diperiksa di lokasi berkenaan yang betul-betul berhampiran Kampung Tanduo, tidak ada sesiapa di situ.

Peluang menjejak kaki ke Kampung Tanduo, kisah misteri yang disampai seperti sukar untuk dinafikan. Ditambah apabila gambar satu objek pelik yang dirakamkan oleh penduduk Felda Sahabat ditunjukkan kepada kami.

Melalui jalan-jalan sunyi dan menjengah beberapa tempat di sekitar Kampung Tanduo, ada sejenis aura yang dirasai.

Tidak pasti sama ada yang hadir itu 'angin' negatif atau sebaliknya, namun paling nyata ia menyuntik rasa berjaga-jaga sepanjang berada di sini.

Bertandang seketika di surau Kampung Tanduo, ada semilir hangat yang menampar kulit. Riak degup dada berubah rentak. Juga terasa seakan ada mata yang memerhati dan mengawasi kehadiran kami.

Tidak tahu kenapa. Namun rasa aneh itu terjawab apabila diberitahu surau itu sebelum ini menjadi lokasi pendaratan pengganas.

Di tanjung Sungai Tanduo, perasaan sama muncul kembali.

Ketika merakam beberapa keping foto perahu panjang dan perahu laju di tanjung sungai itu, perasaan sama muncul kembali.

Seakan ada suara yang menyeru supaya terus mara. Menghampiri, mendekati perahu perahu yang ditinggalkan itu. Namun 'sergahan' anggota keselamatan yang mengiringi, menasihatkan kami berpatah balik, mematikan langkah untuk terus ke hadapan.

Rupa-rupanya kawasan itu adalah tempat pengganas menyimpan bot dan perahu.

Memang...sepanjang berada di tebing sebarang tanjung sungai, kami merasakan ada mata yang dari arah semak, memerhati setiap gerak langkah kami.

Juga terasa seperti ada 'suara' yang memanggil-manggil agar melintas ke seberang menuju ke semak berkenaan.

Sebetulnya, kami tidak mahu berfikiran negatif atau diselubungi pengaruh mistik sepanjang bertugas di sini. Dan kerana itu, kebanyakan perkara yang dirasa, kami pujuk hati untuk menidakkannya.

Hari merangkak petang. Namun kami tidak mampu menipu perasaan sendiri.
Aura aneh kembali hadir 'mengacau' jiwa.

Semakin lama semakin kuat. Dan secara diam...hadir perasaan ingin menunggu di lokasi kejadian. Tapi kehendak hati terhalang kerana anggota keselamatan yang mengiring sudah memberi isyarat untuk keluar dari kawasan itu.

Kami bergerak ke arah kawasan rumah yang dikatakan menjadi tempat simpanan senjata kumpulan pengganas.

Kami lalui kawasan perkuburan pengganas yang ditemui pasukan keselamatan, juga menjadi lokasi rakan kami merakam foto objek pelik menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Kami tidak pasti apa objek berkenaan dan tidak pula mengatakan terdapat gangguan misteri di situ.

Dalam masa yang sama kami tidak mahu menafikan keanehan objek itu, serta mengakui memang ada sedikit rasa yang agak berbahang di kawasan berkenaan.

Boleh dikatakan rasa yang sama wujud di setiap lokasi dijejaki yang melibatkan pengganas. Dan mungkin juga 'bahang' yang dirasa merupakan kesan-kesan haba akibat pengeboman dilakukan semasa Ops Daulat dahulu.

Seterusnya kami menjejak ke kawasan rumah yang didakwa tempat simpanan senjata serta tempat berlindung sementara kumpulan pengganas.

Dari situ, langkah kami mencecah ke kawasan kolam udang yang dikatakan sebahagian taktik pengganas menyusup masuk ke Kampung Tanduo.

Entah benar atau sekadar mainan perasaan di remang senja, di situ terasa juga ada mata memerhati pergerakan kami.

Berbeza dari kawasan sebelum ini, rasa ini lebih mengarah ke dalam kawasan kolam dan ketika ini, terasa degup jantung lebih kencang berbanding biasa.

Kami akhiri kisah ini seketika, kerana ingin segera keluar menyiapkan tugasan.

Dalam perjalanan pulang, ketika melewati semak, telinga menangkap bunyi derapan orang berlari,

Namun tiada kelihatan apa-apa di sekeliling.
Mata terus liar memerhati untuk memastikan perjalanan kami selamat dan tiada yang menghidu pergerakan.

Alhamdulillah...kami dilindungiNya untuk sampai ke Felda Sahabat dengan selamat.

Terkenang kembali perjalanan semasa perjalanan... secara tidak sengaja kami ada mendengar perbualan antara anggota pasukan keselamatan yang mengatakan mereka pernah melihat terlihat kelibat manusia sewaktu berkawal.

Apabila dijejaki, tiada manusia yang ditemui.
Tetapi mereka terjumpa kesan tapak kaki di persisir sungai.

Sama ada ia manusia atau bukan tiada dapat dipastikan!

Apapun, telah diakui oleh orang ramai termasuk penduduk dan pasukan keselamatan bahawa, kebiasaannya kawasan peperangan pasti akan menyimpan selingkar kisah-kisah misteri. - Sumber

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive