Friday, June 27, 2025

1MDB: NAJIB RAZAK TAK BERSALAH


Dipetik dari blog MIM yang bertajuk Tim Leissner, Najib Razak Dan 1MDB - Kenapa Peguam Negara Berdiam Diri?

KENYATAAN MEDIA PEGUAM DATO' SRI NAJIB RAZAK

Laporan media oleh The Wall Street Journal, The Star, Free Malaysia Today dan beberapa media lain mendakwa bahawa Kerajaan Malaysia telah menghantar permintaan ekstradisi kepada Kerajaan Amerika Syarikat untuk membawa pulang bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner, bagi peranannya dalam skandal 1MDB.


Orang ramai pasti masih ingat bahawa pada 27 Oktober 2021, Dato’ Sri Najib telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agar Tim Leissner diekstradisi ke Malaysia selepas dia mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai 1MDB dan pegawai kerajaan.


Pegawai penyiasat kes tersebut, Puan Nur Aida Ariffin, yang juga saksi pendakwaan ke-49 dalam perbicaraan 1MDB, mengakui semasa soal balas bahawa beliau tidak tahu apa terjadi dengan laporan SPRM itu.


Ketika Dato’ Sri Najib memberi keterangan pada 6 Disember 2024, beliau sekali lagi menegaskan ketiadaan tindakan susulan daripada agensi penguatkuasaan.


Lebih membimbangkan, Peguam Negara telah menghantar permohonan ekstradisi sembilan bulan lalu namun tidak memaklumkan perkara ini kepada mahkamah, pasukan pembelaan atau rakyat Malaysia - dan hanya muncul sehari selepas Dato’ Sri Najib menutup kes pembelaannya.


Keputusan untuk berdiam diri ini menimbulkan persoalan besar kerana maklumat tersebut mungkin penting untuk pembelaan, terutamanya jika ia dapat mendedahkan nama-nama pegawai yang menerima sogokan daripada Leissner, yang jelas boleh membantu membuktikan Dato’ Sri Najib tidak bersalah.

Seterusnya di blog MIM

Sunday, May 4, 2025

PEMILIHAN PKR: TAK PUAS HATI LEPAS KALAH, RAFIZI RAMLI NAK LETAK JAWATAN?


Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dilaporkan telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan susulan rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan parti yang dianggap bermasalah.

Menurut laporan MalaysiaGazette, Rafizi meluahkan hasrat tersebut dalam satu pertemuan tertutup bersama penyokongnya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu. Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat, beliau kemudiannya memohon cuti selama sebulan dan diluluskan oleh Perdana Menteri.

“Beliau mohon cuti, saya luluskan. Cuti sebulan biasa. Dia akan kembali pada 31 Mei,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulas perkembangan tersebut.

Langkah Rafizi bercuti dipercayai berkait rapat dengan ketegangan dalaman parti susulan pemilihan cabang PKR yang dikritik kerana didakwa tidak telus. Beberapa pemimpin utama parti, termasuk Rafizi sendiri, tewas dalam pemilihan tersebut, mencetuskan persoalan mengenai integriti sistem e-undi yang digunakan.

Sebagai usaha pembetulan, Rafizi mencadangkan agar sistem pemilihan parti diaudit oleh sebuah firma luar negara. Laporan audit itu dijangka siap awal Mei. Beberapa cabang turut mengadakan pemilihan semula termasuk di Selayang, Jempol, dan Pasir Salak yang menyaksikan perubahan keputusan.

Sementara itu, tarikh pencalonan untuk Majlis Pimpinan Pusat PKR telah ditunda daripada 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei bagi memberi ruang kepada semakan semula sistem dan pelaksanaan audit.

Walaupun Anwar menegaskan tiada isu berbangkit tentang kedudukan Rafizi dalam kerajaan, pemerhati politik melihat langkah ini sebagai isyarat kepada krisis keyakinan dalam kepimpinan parti. - Suara TV