MELAKA – Lima anggota Dewan Undangan Negeri wakil DAP, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Melaka, selama enam bulan kerana mengingkari dan menimbulkan kekecohan pada persidangan dewan pada Rabu.
Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Muhamad membuat keputusan penggantungan itu terhadap Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Goh Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang) berkuatkuasa hari ini.
Ia berikutan kekecohan yang ditimbulkan pada persidangan hari ini yang bermula dengan Betty Chew, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, meminta Adun Duyung yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Gan Tian Loo untuk menarik balik kenyataan yang disifatkan peribadi oleh Gan terhadapnya.
Sejurus persidangan bermula pada kira-kira pukul 9.30 pagi, selepas doa, ucapan aluan dan agenda persidangan yang memasuki hari ketiga hari ini, Betty Chew bangun menyatakan bahawa tohmahan telah dibuat oleh Gan berhubung isu seorang wanita yang dikaitkan dengan suaminya.
“Atas kenyataan Adun Duyung pada persidangan dewan pada Isnin lepas, saya rasa beliau (Gan) melakukan fitnah dan tuduhan peribadi ke atas saya dan suami saya. Saya meminta beliau (Gan) menarik balik tuduhan itu,” katanya. – BERNAMA