Persepsi tersebut telah membawa mereka (belia) kepada sikap sambil lewa terhadap tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia iaitu mengundi. Kesedaran dikalangan belia pada hari ini mengenai pentingnya undi mereka kepada masa depan negara adalah masih ditahap yang masih rendah dan kebanyakkannya hanya mengambil sikap tidak mahu ambil tahu.
Belia di Malaysia ditakrifkan sebagai seorang yang berumur diantara 16 sehingga 40 tahun. Takrifan belia adalah berbeza di setiap negara. Bila disebut mengenai politik pula, penyertaan belia secara rasmi bermula pada umur 21 tahun yang mana pada umur tersebut, belia sudah pun boleh mengundi. Akan tetapi, ianya memerlukan pendaftaran bagi melayakkan diri seseorang itu menjadi seorang pengundi.
Apa itu politik? Takrifan politik yang pertama diberikan kepada saya oleh seorang guru lukisan kejuruteraan apabila mengulas mengenai perkataan 'poli'. Beliau mentafsirkan 'Politik' sebagai poly tactics yang bermaksud mempunyai pelbagai taktik dan kaedah. Mungkin ada benarnya. Bila melangkah ke alam universiti, saya mendalami sedikit takrifan politik.
Dari satu nota akademik di Universiti, saya terjumpa satu definisi Politik. Politik dari segi bahasa membawa maksud mengurus organisasi masyarakat dan mengambil berat terhadap urusannya manakala dari segi istilah pula mentadbir negara atau hal ehwal negara atau usaha mendapatkan kuasa untuk memerintah.
Tan Sri Harussani Zakaria di dalam artikelnya yang bertajuk 'Luaskan Makna Politik' juga ada menulis mengenai takrifan politik. Dari sudut bahasa, politik ditakrifkan sebagai melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Dari sudut masyarakat pula, politik bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara.
Politik pada hari ini pada pandangan masyarakat umum terutamanya sebagai belia sebagai kotor dan jijik. Persepsi negatif terhadap politik adalah disebabkan oleh sesetengah pihak yang menggunakan pendekatan dan fahaman barat dan sekular termasuklah aliran falsafah Machiavelli yang percaya bahawa matlamat menghalalkan sebarang cara (ends justify the means). Pada hari ini, pendekatan berasaskan ideologi ini, diamalkan oleh sesetengah pihak asalkan matlamat mereka untuk menjatuhkan pihak yang satu lagi tercapai walaupun dengan menggadaikan agama.
Machiavelli dalam bukunya La Prince menggariskan 5 teori dalam politik iaitu kekuatan, balas-membalas, kemenangan, kelemahan lawan dan Topeng. Menurut teori Machiavelli, mereka yang kuat akan menjadi pemerintah dan balas-membalas merujuk kepada penjelasan kepada sesuatu pertuduhan dan kemudiannya membalas kembali tuduhan tersebut. Sekiranya pihak yang dituduh berdiam diri, pihak tersebut akan dianggap lemah dan seterusnya tuduhan yang dibuat adalah betul.
Kemenangan pula adalah merupakan puncak kejayaan sesebuah pihak yang kemudiannya meluaskan kuasa dengan mengambil kesempatan ke atas kelemahan pihak lawan. Pengetahuan mengenai kelemahan pihak lawan adalah penting sekali bagi memastikan kemenangan dapat dicapai. Teori yang terakhir sekali iaitu topeng membawa maksud bahawa pelbagai taktik, tipu muslihat, kepura-puraan serta helah digunakan bagi mencapai kemenangan.
Pelbagai definisi politik oleh pihak sekular dan barat yang memberikan persepsi negatif kepada politik seterusnya membawa kemusnahan kepada organisasi politik itu sendiri. Lenin misalnya mentakrifkan politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ) manakala, Harold Lasswell seorang ahli sains politik pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).
Sumber : http://donfaiz.wordpress.com/2012/11/17/belia-dan-politik-1/
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone