Maxis Berhad melalui jenama Hotlink, mensasarkan kira-kira 30,000 unit telefon pintar eksklusif edisi The Red Warriors, dijual pada tahun ini bagi pasaran Kelantan.
Ketua Wilayah Pantai Timur Maxis Berhad, Mazlan Mokhtar berkata syarikat bekerjasama dengan Ninetology Marketing Sdn Bhd bagi menghasilkan telefon itu dan yakin akan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat pasukan bola sepak Kelantan yang lebih dikenali The Red Warriors.
"Pelanggan mempunyai dua pilihan bagi telefon itu iaitu Palette i5300 dan Black Pearl II i9400 dan bagi yang berumur di bawah 30 tahun, boleh mendapatkannya melalui skim Pakej Komunikasi Belia dengan rebat sebanyak RM200.
"Dengan rebat itu, pelanggan hanya perlu membayar RM99 bagi model Palette i5300, manakala RM299 bagi model Black Pearl II i9400," katanya kepada pemberita selepas pelancaran telefon pintar tersebut oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Ninetology Marketing Sdn Bhd Sean Ng dan beberapa pemain Kelantan, antaranya Indra Putra Mahyuddin, Obinna Nwaneri, Farisham Ismail, Nor Farhan Mohammad dan Zairol Fitree Ishak.
Mazlan berkata telefon pintar itu yang beroperasi menggunakan sistem operasi Android 4.0, turut ditawarkan bersama kad sim Hotlink yang dipramuat dengan kredit bernilai RM30 dan beberapa kandungan eksklusif The Red Warriors.
"Selain itu, pengguna yang menambah nilai RM30, akan turut menerima rebat kredit bernilai RM30 berserta pas data 300mb secara percuma dan sah untuk digunakan selama 30 hari. Bagaimanapun, pakej tersebut hanya boleh digunakan untuk negeri ini sahaja," katanya.
Sementara itu, Sean berkata kerjasama tersebut akan mengubah landskap penggunaan teknologi di kalangan belia di kawasan pantai timur, terutama Kelantan. - AWANI