Monday, June 24, 2013

@PDRMsia AKAN PASTIKAN HARI ANGKAT SUMPAH DI DEWAN RAKYAT DIKAWAL KETAT.. JANGAN ADA PROVOKASI LAGI!!!!

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat kawalan ketat bagi memastikan proses mengangkat sumpah anggota Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin berjalan lancar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun Parlimen merupakan tempat bebas untuk orang awam, namun pihaknya tidak mahu sebarang keadaan yang boleh menyukarkan anggota Parlimen memasuki kawasan itu.
"Jadi sudah semestinya kita akan memastikan anggota Parlimen yang hendak mengangkat sumpah esok akan diperhatikan pergerakan mereka agar tidak diganggu oleh sesiapa," katanya kepada pemberita selepas kempen kesedaran jenayah di Petaling Jaya, Ahad.
Kesemua 222 anggota Parlimen akan mengangkat sumpah anggota Dewan Rakyat Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen esok.
Dewan Rakyat akan bersidang selama 16 hari mulai esok hingga 18 Julai, dan Dewan Negara selama sembilan hari mulai 25 Jun dan disambung pada 22 Julai hingga 1 Ogos.
Bernama melaporkan sementara itu, Khalid berkata selain Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan seorang bekas mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), tiada tangkapan lain berhubung kesalahan menghasut mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Beliau menasihatkan orang ramai agar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata yang berunsur hasutan serta boleh mengugat keselamatan dan keamanan negara.
"Sebelum inipun saya pernah bercakap janganlah mengeluarkan fatwa-fatwa yang mungkin merunsingkan orang ramai, yang boleh membuat rakyat keliru, jadi sudah semestinya akan ada tindakan yang akan diambil.
"Jadi mereka (Husam dan bekas mahasiswa Uitm itu) akan disyorkan dituduh di bawah Akta Hasutan. Tempoh tahanan (reman) ini untuk memudahkan kita menjalankan siasatan serta mengemaskinikan kertas siasatan sebelum kita kemukakannya kepada pihak Peguam Negara," katanya.
Semalam, Husam, 54, ditahan pada 4 petang di Kampung Pandan, Ampang, Selangor oleh polis Bukit Aman sebelum dibawa ke Kota Baharu berhubung kenyataan 'mati syahid' di Kelantan baru-baru ini.
Bekas mahasiswa Uitm yang berusia 23 tahun pula ditahan pada 5.30 petang di depan rumahnya di Klang, Selangor berhubung kenyataan di laman blog beliau yang cuba menghasut untuk menyerang pasukan keselamatan pada perhimpunan haram anjuran pembangkang di Padang Merbok. - AGENDA DAILY

Sunday, June 23, 2013

#MYHaze UPDATE: GILIRAN SELANGOR, KL DAN PAHANG HENTIKAN OPERASI.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan supaya semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup esok.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata tindakan ini diambil berikutan jerebu teruk yang dialami di kawasan-kawasan berkenaan.

"Seperti yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri, semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup besok (Isnin).

"Saya akan meminta Menteri Pelajaran kedua Datuk Seri Idris Jusoh untuk mengambil tindakan susulan mengenai perkara ini," katanya.

Palanivel berkata keadaan jerebu semakin buruk pada pukul 5 petang.

Beliau menasihatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berada di dalam bangunan.

Selain itu, semua sekolah di Kuantan, Melaka dan sebahagian Johor juga diarahkan untuk ditutup esok.

Thursday, June 20, 2013

#JohorHaze: IPU TAHAP BAHAYA. SEMUA SEKOLAH DAH DITUTUP!!!

Situasi jerebu terus menghantui rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada di negeri Johor dan Melaka yang menyaksikan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi berbanding semalam.

Kawasan yang paling teruk diselubungi jerebu adalah Muar yang mencatatkan bacaan IPU 157 setakat pukul 11 pagi semalam.

Hari ini angka itu mencecah 337 setakat pukul 7 pagi. Sementara itu, Kota Tinggi mencatatkan bacaan IPU 211.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Empat bandar jatuh dalam kategori tidak sihat iaitu Pasir Gudang dengan bacaan IPU 190, Larkin Lama 171, Bandaraya Melaka 134 dan Bukit Rambai 117.

Sejumlah 78 peratus daripada bandar-bandar di Malaysia mencatatkan bacaan IPU yang sederhana.

Sementara itu, sejumlah 13 peratus daripada Bandar-bandar lain mencatatkan bacaan IPU yang baik termasuk Alor Setar, Langkawi, Kangar dan Sandakan.

MY SLIDESHARE UPLOAD