Dalam kejadian tembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Anson, Georgetown pada jam 11.50 pagi kelmarin, Veerappan Kanapathi, 37, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Gan Kong Meng, berkata mangsa meninggal dunia dalam kereta BMW warna hitam yang memiliki plat pendaftaran Kuala Lumpur selepas ditembak oleh dua suspek lelaki bermotosikal yang salah seorang daripadanya berasal dari Ayer Itam.
Bercakap kepada pemberita di sini, Kong Meng berkata polis menjumpai 14 kelongsong peluru 9mm di sebelah tempat duduk pemandu.
Tiga rekod jenayah
Katanya, mangsa dipercayai mati ditembak di bahagian leher dan kepala.
Kong Meng berkata, mangsa yang tinggal di Ayer Itam mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan Akta Dadah Berbahaya.
Dalam kejadian jam 12.50 pagi semalam pula, mangsa, Chong Peng Meng, 43, dari Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim dikatakan berada di parkir kelab malam terbabit sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh yang melepaskan tembakan dan mengenai paha kiri mangsa.
Kong Meng berkata, mangsa yang baru keluar dari kereta BMW miliknya, terkejut dan cuba menyelamatkan diri apabila suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa tembakan.
"Mangsa berjaya mengelakkan diri tetapi satu tembakan mengenai paha kirinya sebelum suspek melarikan diri menggunakan motosikal yang diletakkan berhampiran kawasan itu.
"Siasatan menemui tujuh kelongsong peluru jenis 9mm dan satu tembakan mengenai kereta jenis PERODUA Myvi. Kita tidak menolak serangan terbabit ada kaitan dengan pergaduhan kumpulan kongsi gelap dan mangsa kini stabil selepas dirawat di Hospital Pulau Pinang," katanya.
Di Ipoh pula, seorang lelaki yang sedang memandu kereta parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra, dekat Chemor di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong, berkata dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak cedera.
Katanya, mangsa yang bukan berasal dari daerah ini, sedang dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.
Di Kuala Lumpur, seorang pemandu teksi cedera di tangan kiri selepas dikatakan tertembak dirinya sendiri di depan sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun dikatakan menemui sebuah beg sandang berwarna hitam berisi sepucuk pistol di bahagian tempat duduk belakang teksinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, berkata mangsa cuba mengeluarkan pistol itu dari beg berkenaan, namun satu das tembakan terlepas secara tiba-tiba dan terkena tapak tangan kirinya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Empatkestembakandalam24jam/Article/index_html
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.