Monday, July 7, 2014

SERBUAN PREMIS PERJUDIAN: SIAPA BOCOR MAKLUMAT, LU SAKIT!!

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penguatkuasa yang sengaja membocorkan maklumat sehingga menyebabkan operasi atau serbuan pusat-pusat mesin judi haram gagal dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya sedar terhadap kebocoran maklumat yang mengakibatkan pusat judi gagal diserbu dan percaya perkara itu berpunca akibat ‘faktor manusia’.

Oleh demikian, katanya, PDRM tidak akan berkompromi jika mendapat bukti bahawa anggota atau pegawai polis yang menjadi punca terhadap kegagalan serbuan yang dilakukan.

"Ada polis yang ditangkap ekoran membocorkan maklumat dan mereka itu telah dikenakan tindakan sewajarnya oleh PDRM dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

"Beliau memberitahu, pihak yang bertanggungjawab menggagalkan usaha polis akan berdepan dengan tindakan tatatertib kerana perkara itu jelas melanggar integriti yang perlu dipatuhi setiap pegawai dan anggota polis," katanya ketika ditemui dalam satu pertemuan eksklusif di Bukit Aman, di sini hari ini.

Mengulas tentang ‘faktor manusia’ yang mengakibatkan kegagalan serbuan terhadap premis mesin judi, Mohmad menjelaskan, pihaknya tidak menolak dakwaan bahawa penguatkuasa sendiri mungkin menjadi penyebab perkara itu berlaku.

"Kita bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan operasi ini dan setakat ini kerjasama yang diberikan semua pihak adalah baik sekali.

"Bagaimanapun terdapat halangan timbul dalam soal kerjasama ini iaitu perlu membuat perancangan yang lebih awal. Perkara ini mungkin menyumbang kepada risiko kebocoran maklumat.

"Banyak yang kita serbu tetapi tidak berhasil dan apa yang saya boleh beritahu, itu berlaku akibat faktor manusia, yang tidak perlulah saya huraikan lebih lanjut... saya tidak tahu sama ada polis sendiri atau pihak penguat kuasa lain yang bertanggungjawab," katanya.

Tambah Mohmad, bagi mengelakkan kejadian itu tidak berlarutan, beliau akan membuat perancangan untuk melakukan pusingan tugas melibatkan pegawai JSJ yang telah lama bertugas di satu-satu tempat,

"Ini juga membolehkan mereka tidak terlampau selesa dengan apa yang ada ketika ini," katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia dalam laporannya mendedahkan tentang kegiatan judi haram yang semakin berleluasa dengan hampir semua daerah mempunyai premis mesin judi dan setiap satu premis mempunyai tidak kurang 30 mesin.

Sementara itu, menerusi statistik yang diberikan Bukit Aman, pada tempoh Januari dan Julai tahun ini, sebanyak 30,715 serbuan mesin judi dilakukan dan jumlah itu meningkat 38 peratus berbanding tahun lepas.

Pada tempoh sama juga, sebanyak 4,494 serbuan berjaya dilaksanakan PDRM, iaitu 34 peratus meningkat dari tahun sebelumnya. - SUMBER

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive