Monday, December 18, 2017

ISU TANAH DBKL: KU NAN SEDIA BERDEPAN SPRM, TERIMA KASIH TAN KOK WAI


“Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Cheras, YB Tan Kok Wai yang memaklumkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau terhadap saya dan Kementerian Wilayah Persekutuan berkaitan penjualan tanah kerajaan di Kuala Lumpur,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yakin, dengan laporan yang bakal dibuat oleh wakil rakyat Dap itu tentunya akan menyerlahkan antara yang mana benar atau tidak termasuklah fitnah serta tohmahan yang dilakukan terhadap beliau dan kerajaan.
“Saya juga difahamkan bahawa terdapat kumpulan-kumpulan yang telah ditubuhkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membantah terhadap pembangunan-pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan mereka dan/atau di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, di sini.
Jelas beliau, bantahan-bantahan tersebut adalah untuk mendapatkan imbuhan tertentu daripada pihak pemaju.
“Sehubungan itu, saya telah memohon kepada pihak pemaju untuk melaporkan kepada pihak polis dan pihak SPRM berhubung dengan tindakan pihak tertentu tersebut.
“Saya tidak akan berkompromi dengan tindakan pihak-pihak tertentu tersebut yang bertentangan dengan undang-undang dan adalah untuk kepentingan peribadi.”
Tegas beliau, perkara sebegini tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan pentadbiran BN yang telus dan mementingkan kesejahteraan rakyat.
“Saya tidak pasti bagaimanakah di negeri-negeri lain yang tidak ditadbir oleh BN yang gagal mematuhi syarat-syarat pembangunan dapat meneruskan pembangunan tersebut tanpa sebarang bantahan dari mana-mana pihak.”
Baru-baru ini, Kok Wai memberitahu akan membuat laporan kepada SPRM terhadap Tengku Adnan berhubung penjualan 45 bahagian tanah kerajaan di Kuala Lumpur dengan dakwaan menggunakan ‘perumahan untuk penduduk miskin bandar’  sebagai alasan penjualan tanah utama milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - TV14




Post a Comment

MY SLIDESHARE UPLOAD