Showing posts with label Ambang Merdeka 2013. Show all posts
Showing posts with label Ambang Merdeka 2013. Show all posts

Saturday, August 31, 2013

SAMBUTAN #AmbangMerdeka2013 DI #Putrajaya LUAR BIASA!! TARIKAN DARIPADA PERCIKAN BUNGA API NON-STOP!! #Merdeka56



PUTRAJAYA – Percikan bunga api membawa kilauan beribu warna indah menerangi langit Putrajaya menghidupkan Ambang Merdeka 2013 malam tadi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 Malaysia.

Selain dentuman dan percikan bunga api, ketibaan detik 12 malam menandakan tibanya 31 Ogos, tanggal keramat Malaysia merdeka pada 1957, tentunya disambut rakyat dengan penuh kesyukuran kerana mampu menjalani kehidupan di sebuah negara yang aman dan makmur.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan warga Putrajaya dan penduduk kawasan sekitar yang megah mengibarkan Jalur Gemilang, dalam acara utama Ambang Merdeka 2013 di Marina Putrajaya, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Maritim Putrajaya, di Presint 5.

Beliau disertai isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-56, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan menteri-menteri kabinet.

Laungan “merdeka” penuh bersemangat oleh pengunjung yang hadir bergema membingitkan persekitaran kota pentadbiran negara menjelang detik 12 malam.

Pada majlis itu, Najib melancarkan Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013.

Selain pasukan Malaysia yang membuka tirai dengan persembahan bunga api memukau malam ini, lima negara peserta lain ialah Korea Selatan, Perancis, China, Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu.

Pertandingan itu berlangsung secara berperingkat mulai malam ini dan esok (Sabtu), disusuli 13, 14 dan 15 September dan 2 Oktober.

Sambutan di Marina Putrajaya itu juga dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Ambang Merdeka yang membariskan artis tempatan.

Di KUALA LUMPUR, sambutan di sekitar Suria KLCC yang berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas meriah dengan pertunjukan air pancut berirama dan bunga api.

Di Dataran Merdeka, meskipun sambutan ambang merdeka kali ini tidak diadakan secara rasmi di situ, ia tidak menghalang orang ramai berkumpul bagi menantikan detik 12 malam.

Ada yang memperagakan kenderaan dengan Jalur Gemilang dan membunyikan hon bagi merai ketibaan 31 Ogos.

Di kawasan Bukit Bintang, pelancong asing menyertai warga Malaysia menyambut ambang merdeka.

Lebih menarik, sekumpulan pelajar Kolej Komuniti Selayang dilihat mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan suasana di sekitar Jalan Bukit Bintang. - ABN News

MY SLIDESHARE UPLOAD