PM Najib Razak berkata Menteri Wilayah Persekutuan DSTengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) akan mengadakan perbincangan dengan pengendali 'Soup Kitchen' yang memberi sumbangan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Perbincangan itu bertujuan mencari penyelesaian bersama yang boleh diterima semua pihak, kata Najib menerusi tweet terkini beliau.
Katanya kerajaan amat prihatin terhadap nasib golongan miskin dan gelandangan serta menghargai peranan yang dilaksanakan sukarelawan seperti pengendali Soup Kitchen ini.
Pada Khamis, Tengku Adnan berkata aktiviti Soup Kitchen tidak lagi dibenarkan beroperasi di sekitar 2km radius dari pusat beli-belah terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, yang meliputi sebahagian besar pusat bandar, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata langkah itu adalah usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk membersihkan ibu kota daripada golongan peminta sedekah serta gelandangan dan aktiviti Soup Kitchen yang memberi makanan kepada mereka mencemarkan imej bandar raya, terutamanya dari segi kebersihan.
Bagaimanapun, pengendali Soup Kitchen menyangkal dakwaan itu. - Bernama