Sunday, September 29, 2013

#1 INI CERITA BUKAN KEMPEN TAU: KENAPA MP LENGGONG BERHENTI JADI GURU? #ShamsulAnuar4MT


PART I: INI CERITA BUKAN KEMPEN TAU

Bukan mudah untuk memilih jalan berhenti sekiranya anda sedang menjawat jawatan sebagai guru, tambah-tambah jika sudah 15 tahun berkhidmat. Tapi itulah jalan yang dipilih oleh 'Tokoh Belia Lelaki 2007' dan kini menjadi Ahli Parlimen Lenggong (Barisan Nasional) dan Pengerusi PTPTN. 

Bukan nak kempen, tapi nak cerita sahaja bagaimana YB Shamsul mula-mula mengorak langkah dalam kencah politik negara. Mari kita baca wawancara yang dipetik dari laman SINAR HARIAN. Baca dibawah:


SINAR HARIAN ONLINE: Walaupun ramai sudah kenal YB, boleh, secara ringkas YB memperkenalkan siapa sebenarnya insan bernama Shamsul Anuar Nasarah ini? 
SHAMSUL ANUAR: Saya sebenarnya seorang guru tetapi tidak lama berkhidmat sebagai seorang guru apabila saya dipinjamkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz, waktu itu beliau sebagai menteri awam untuk menjadi setiausaha sulit, itu sekitar tahun 1998, jika tidak silap saya pada tahun 1998.
Dan bermula daripada situ saya memang sebahagian besar daripada hidup saya berkhidmat kepada rakyat atas kapasiti saya sebagai pegawai kepada menteri dan banyak tanggungjawab dan tugas saya diberi untuk menjaga kawasan beliau di Chenderoh ketika itu kerana beliau adalah Ahli Parlimen Chenderoh ketika itu. 
Selepas pilihan raya 2004, Yang Berhormat Datuk Seri Nazri Aziz berpindah ke Jabatan Perdana Menteri dan saya dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Sulit Kanan dan ketika itu juga saya adalah exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. 
Dan latar belakang saya dengan masyarakat, saya sebenarnya lebih lama menjadi pemimpin organisasi belia dan waktu saya sebagai Setiausaha Sulit Kanan, saya Presiden Majlis Belia Malaysia ketika itu. Dan oleh kerana jiwa dan diri saya memang begitu dekat dengan rakyat sebab memang sebahagian hidup saya memberi sumbangan bakti kepada rakyat kerana ketika saya berumur 15 tahun, saya sudah memegang jawatan dalam organisasi belia, sudah berkhidmat dengan rakyat. 
Dan seawal usia 18 tahun saya sudah menjadi Ketua Pemuda di peringkat cawangan dan oleh kerana ingin memberi fokus dan tumpuan kepada politik dan organisasi belia, saya meminta untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Nazri Aziz waktu itu. 
Dan bermula akhir 2007, saya memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja parti sebagai Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan juga sebagai pemimpin kepada sebuah organisasi belia terbesar di negara ini kerana ketika itu saya bertanggungjawab memimpin ketika itu 3.9 juta belia yang mewakili 40 pertubuhan belia di seluruh negara. 
Jadi oleh kerana saya seorang guru dan ibu saya juga adalah pemimpin politik ketika itu, oleh kerana itu mungkin darah politik itu mengalir ke tubuh saya menyebabkan sebahagian besar hidup saya memberi tumpuan kepada politik dan pada waktu sama isteri saya juga ketika itu ialah pemimpin Puteri Umno.
Tetapi beliau memilih untuk meletakkan jawatan untuk memberikan fokus kepada keluarga dan saya terlibat dengan politik. 
SINAR HARIAN ONLINE: Datuk memang datang dari keluarga dan bekerja dengan orang politik sudah lama. Adakah ia memudahkan Datuk untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen? 
SHAMSUL ANUAR: Memang membantu kerana waktu saya bertugas sebagai Setiausaha Sulit Menteri, memang saya diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas di kawasan Parlimen Datuk Seri Nazri Aziz. Menghadiri mesyuarat, menyelesaikan isu dan masalah rakyat, menyelesaikan isu-isu pembangunan, dan ini secara tidak langsung memang memberi latihan dan memberi pengalaman kepada saya dan ia memang memudahkan apabila saya sendiri menjadi wakil rakyat. 
Jadi keadaan itu memang benar dan saya tidak menafikannya dan saya fikir ini satu pengalaman yang tak ramai orang dapat dan yang lebih istimewanya saya dilatih, diberi peluang dan diberi tangggungjawab yang baik sewaktu bertugas dengan menteri. Diberi pengalaman banyak termasuk bagaimana berhadapan dengan parti lawan dan sebagainya. 
Saya pernah duduk atas pentas dan berdebat dengan Salahuddin Ayub. Saya yang mengatur, dengan Lim Kit Siang dan dengan Ahli Parlimen Kota Bharu. Ini pengalaman-pengalaman yang tidak boleh diperolehi di mana-mana institusi, dan ini yang membantu saya. 
Dan ketika saya menjadi wakil rakyat pada 2008, bukan sedikit sebanyak tetapi ia memang banyak membantu kerana apa yang saya laksanakan, ia hanya berbeza ketika itu saya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil kepada wakil rakyat tetapi selepas 2008, saya sendiri menjadi wakil rakyat dan menjadi kebetulan pula sebahagian daripada kawasan yang saya wakili sekarang ini sebenarnya sebahagian kawasan yang dulu saya bekhidmat. Jadi hubungan saya dengan rakyat dan parti politik memang telah terjalin.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk tak menyesal melepaskan kerjaya mulia seorang guru dan beralih arah ke bidang politik? 
SHAMSUL ANUAR: Saya minta menjadi seorang guru, itu juga sebahagian daripada kerjaya yang berkhidmat kepada rakyat tetapi hanya memberi fokus kepada soal pendidikan. 
Dan, apabila saya menjadi wakil rakyat membuka ruang dan peluang saya untuk berkhidmat dengan lebih besar termasuk boleh membantu dalam aspek pendidikan tapi mungkin lagi bukan dengan mengajar anak-anak di sekolah tetapi menyediakan kelas tuisyen untuk mereka. Menyediakan prasarana yang baik-baik untuk budak sekolah, jadi sudah tentu saya menyambung peranan saya sebagai seorang pendidik tetapi dalam keadaan yang lain. 
SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, adakah Datuk berpuas hati dengan pencapaian Datuk sekarang? 
SHAMSUL ANUAR: Kalau hendak kata saya puas hati, saya masih belum berpuas hati kerana banyak lagi perkara-perkara yang hendak dilaksanakan tidak dapat saya laksanakan. Apabila pilihan raya 8 Mac 2008, di Perak sebenarnya 11 bulan diperintah oleh Pakatan Rakyat dan kita menjadi pembangkang. 
Dalam tempoh itu kita banyak memberi fokus kepada meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti, memulihkan imej parti, dan banyak juga perkara yang hendak saya lakukan. Soal pembangunan, pembangunan tanah tidak dapat dilakukan kerana waktu itu Perak ditadbir oleh parti yang lain. 
Sudah tentu banyak juga masa terbuang begitu sahaja walaupun banyak perkara juga boleh dilakukan tetapi agak terbatas bagi kita waktu itu. Tetapi selepas Perak diambil alih oleh kerajaan Barisan Nasional, maka kita boleh juga memberi fokus kepada soal-soal menyelesaikan isu dan masalah rakyat, soal meningkatkan kualiti hidup, pembangunan prasarana, meningkatkan sosioekonomi rakyat. 
Alhamdulillah dari beberapa sudut saya berpuas hati kerana saya menyelesaikan beberapa isu utama di kawasan saya terutamanya, saya tahu bahawa antara isu dan perkara yang dikehendaki oleh rakyat ialah soal kemudahan kesihatan misalnya. 
Di Lenggong, hanya ada klinik kesihatan. Wad bersalin tidak ada, kalau ada di kalangan rakyat yang ingin melahirkan anak terpaksa ke Grik, perjalanan pergi balik yang lebih dari 100 kilomete,r jika menghadapi masalah komplikasi, dihantar ke Kuala Kangsar atau ke Taping. Ini adalah isu di kalangan rakyat. 
Tetapi alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya mengetahui jalan bagaimana hendak mendapatkan bantuan kerana pengalaman ada, kita tahu macam caranya dengan menteri, bagaimana kita hendak cari peruntukan. 
Alhamdulillah Perdana Menteri membantu dan kerajaan meluluskan pembinaan sebuah pusat kesihatan dan wad bersalin dan nilainya lebih daripada RM28 juta dan Insya-ALLAH tahun ini akan siap dan ini secara langsung memberi 
penyelesaian kepada isu dan masalah rakyat. Walaupun penduduk masih belum dapat mengguna pakai tetapi pembinaan ini sebenarnya menyelesaikan.
Itu satu, ia termasuk juga menyediakan bekalan air bersih dan sebagainya. 
Antara isu besar yang lain ialah bekalan air sebenarnya. Saya tidak malu untuk mengakui bahawa Lenggong walaupun bukan kawasan bandar tetapi tidaklah jauh ke pedalaman, tetapi masih lagi ada isu di kawasan kampung-kampung penempatan yang tidak ada bekalan air bersih. 
Saya ada lebih kurang tujuh kampung yang di Seberang Sungai Perak, sepenuhnya sumber air mereka ialah air sungai. Kalau kita kira dari segi pengundi, lebih 2,500 pengundi saya terlibat.

Tetapi alhamdulillah, apabila kita berjumpa dengan Perdana Menteri dan apabila kita mengemukakan isu dan masalah rakyat, beliau meluluskan projek bekalan air bersih sebanyak lebih RM6.2 juta. 
Sekarang dalam proses menyiapkan kerja-kerja kontraktor, Insya-ALLAH, awal tahun hadapan bekalan air bersih akan masuk ke kawasan itu dan banyak isu lain. Kemudahan asas, jalan dan sebagainya. 
Maknanya dalam peringkat awal ini, kita banyak sudah menyelesaikan isu-isu rakyat. Saya berpuas hati kerana isu utama, kemudahan infrastruktur utama rakyat air elektrik itu selesai dalam tempoh penggal pertama saya menjadi wakil rakyat walaupun saya akui saya perlu tingkatkan lagi tetapi asasnya, alhamdulillah. 
Tetapi kalau nak kata berpuas hati atau tidak, saya tidak berpuas hati 100 peratuslah kerana saya percaya, keperluan rakyat ini dia semakin hari semakin bertambah. 
Untuk akan datang ini, tumpuan ialah untuk meningkatkan kualiti hidup dan juga pembangunan sosioekonomi rakyat. 
SINAR HARIAN ONLINE: Sekiranya Datuk diberikan peluang untuk menjadi calon sekali lagi, apa agaknya tawaran Datuk kepada penduduk di Lenggong untuk terus memberikan Datuk peluang berkhidmat di kawasan tersebut bagi mewakili mereka? 
SHAMSUL ANUAR: Yang penting sekali saya akan memberi tumpuan kepada soal pembangunan sosioekonomi rakyat. Apatah lagi di Lenggong berjaya kita iktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco dan sudah tentu rakyat mengharapkan sesuatu yang akan mereka perolehi manfaatnya daripada pengiktirafan tersebut. 
Saya percaya dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang, Insya-ALLAH Lenggong akan membangun. Apatah lagi kita telah diberikan peruntukan awal sebanyak RM36 juta untuk pembangunan infrastruktur, pembangunan prasarana, sektor pelancongan dan sebagainya bagi membolehkan Lenggong ini benar-benar terkenal dalam pelbagai aspek terutama sekali aspek pelancongan. 
Antara fokus utama yang akan kita beri akan datang jika diberi peluang terutama soal pembangunan ekonomi dan prospek yang dapat kita lihat pertama dari segi sektor pelancongan, sesuai dengan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia, kemudian saya masih lagi belum berpuas hati kerana kita telah pun berjaya sebenarnya bersama dengan Kementerian Industri dan Asas Tani untuk membangunkan Lenggong sebagai Lenggong Agro Valley. Di mana dalam pembangunan ini kita memberi fokus kepada lima aspek utama. 
Apa yang saya buat ini sebenarnya sesuai dengan keadaan persekitaran. Agak sukar kita hendak membawa kilang elektronik misalnya di kawasan Lenggong kerana prasarananya, iklim persekitarannya tidak sesuai dengan kawasan tersebut. 
Tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah membawa pembangunan yang sesuai dengan penempatan dan sudah tentu aspek pembangunan dari segi sektor pelancongan sesuai dengan penempatan tersebut, yang kedua ialah Agro Valley, industri asas tani. 
Alhamdulillah kita telah pun diluluskan oleh kerajaan setelah kita mengambil alih negeri Perak seluas 4,000 hektar tapak kekal pengeluaran makanan Bukit Sapi, di mana Kementerian Pertanian telah pun membuat kajian untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat pengeluaran belimbing, rock melon dan betik. 
Satu lagi ialah pembangunan aspek penternakan di mana Lenggong memang begitu sesuai untuk pembangunan sektor ini di mana kita boleh menjadi pembekal antara yang utama di negara ini dalam aspek pengeluaran rusa. Kita berhasrat membangunkan 13 kawasan penternakan kerana sekarang ini kita sudah bangunkan enam dan kita ada lagi lebih kurang tujuh kawasan.

Termasuk dengan industri asas tani berasaskan makanan ringan seperti kerepek, pekasam, kita tidak akan memberikan tumpuan kepada banyak produk, mungkin satu atau dua produk yang dapat kita tonjolkan di peringkat agro market dan sebagainya. 
Satu lagi saya hendak maklumkan, kawasan saya ini selain daripada hutan yang boleh dijadikan kawasan pertanian, kita dikelilingi tasik-tasik dan sungai. Maka di bawah projek Agro Valley juga tumpuan kepada zon eksklusif Agriculture, ternakan udang, ikan air tawar dan sebagainya dan akhir sekali ialah Agro pelancongan. 
Jadi saya harap jika peluang diberikan lagi, kita akan memberi tumpuan kepada aspek ini kerana banyak lagi perancangan-perancangan lain yang memang sedang kita lakukan dan ia tak mungkin selesai dalam tempoh setahun ini. Memang mustahil. Ia memerlukan beberapa tahun lagi. 
Agak mustahil kita nak lihat apa yang kita rancang ini terhasil dalam masa setahun ini. Ia memang mengambil masa termasuklah kita dari segi meningkatkan sosioekonomi. 
Pertama yang sedang kita buat sekarang ialah memberi peluang pemilikan tanah kepada rakyat terutama sekali kepada generasi kedua. Sebab itu kita sedang buat projek Agro Politan Bandar, kita buat bersama Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan kerajaan negeri Perak, di mana Risda yang menjadi teras kepada projek tersebut membangunkan lebih daripada 3,000 hektar tanah di mana kita menempatkan 400 keluarga miskin terutama di kalangan generasi muda di situ termasuk pembukaan Ladang Rakyat 1Malaysia, tanah rancangan berkelompok, perumahan generasi muda yang kita buat. 
Ini semua memang dalam proses. Ada sebahagiannya telah pun kita kemukakan surat tawaran, telah dipanggil untuk sesi temu bual, ada yang dalam proses dan berada di peringkat kerajaan negeri, kerana selepas 11 bulan kita hanya ada masa tidak sampai tiga tahun.
Amat sukar kita hendak buat kerana kita mengejar masa. Selain daripada memberi tumpuan memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada parti, memulihkan imej parti, dalam masa yang sama memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Jadi dalam tempoh penggal pertama ini, nak kata menarik pun ada, tetapi lebih kepada cabaran.

Saturday, September 28, 2013

#PemilihanUMNO: 30 CALON DARI KELATE TARIK DIRI?


Seramai 30 daripada 2,595 calon yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan sayap UMNO menarik diri sebelum pemilihan parti itu bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, senarai penuh calon yang akan bertanding akan diumumkan pada 7 Oktober ini selepas ibu pejabat membuat keputusan terakhir.

Beliau berkata, badan perhubungan negeri menerima semua borang yang dihantar oleh ahli termasuk mereka yang muflis atau dikenakan tindakan disiplin.

"Semakan akhir akan dibuat oleh ibu pejabat, mereka yang menghadapi tindakan disiplin atau muflis akan digugur oleh ibu pejabat selepas ini.

"Sebanyak 30 orang menarik diri termasuk tiga daripada calon Ketua Bahagian UMNO. Penarikan diri ini dibuat dalam tempoh bertenang iaitu 72 jam selepas proses penamaan calon," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di sini hari ini.

Mereka yang menarik diri ialah lima orang di Machang, Ketereh (dua), Tanah Merah (tiga), Bachok (lima), Pengkalan Chepa (tiga), Gua Musang (lima), Pasir Mas (tiga), Tanah Merah (satu), Kota Baharu (dua) dan Kuala Krai (satu).

Sementara itu, Mustapa berkata, mesyuarat tersebut sebulat setuju bersetuju untuk menyokong semua calon dari negeri ini yang menawarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat termasuk sayap parti - UTUSAN

MY SLIDESHARE UPLOAD