Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tindakan segelintir bekas pegawai kerajaan dan selebriti menyertai Pas konon untuk berdakwah, sebenarnya hanya untuk berpolitik.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata banyak saluran yang boleh digunakan jika benar mereka ingin berdakwah, termasuk menerusi badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkim atau badan agama yang lain.
"Kalau nak berdakwah tidak semestinya melalui Pas ...boleh pergi ke masjid-masjid, menyertai Perkim atau sebagainya dan tidak perlu kepada parti politik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Penjawat Awam dan Pemimpin Tempatan Negeri Kelantan, di sini malam tadi.
Mustapa berkata penjawat awam yang menyertai pembangkang selepas mereka berpencen, perlu menyedari jasa kerajaan selama ini yang mereka tidak pernah diabaikan.
"Bukan sahaja mereka dibela ketika bekerja malah ketika pencen hidup mereka jauh lebih selesa kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) pada hari ini tidak pernah mengabaikan mereka," katanya.
Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan menghormati pendirian mereka untuk menyertai pembangkang kerana negara mengamalkan konsep demokrasi.
"Ini negara demokrasi dan kita menghargai pendirian. Bagi saya penjawat awam itu janganlah lupa jasa kerajaan sehingga pencen pun tetap mendapat perhatian," katanya.
Mustapa berkata tidak ada negara lain seperti Malaysia yang melakukan segala yang terbaik agar penjawat awamnya hidup selesa sehingga mereka pencen. -
utusan