Kunjungan Anwar itu diiringi Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan dipercayai bagi memujuk Abdul Hadi mengubah pendiriannya yang mempertahankan Abdul Khalid agar pakatan pembangkang dapat diselamatkan selain membolehkan perubahan kepimpinan negeri yang diusahakan Anwar tidak terhenti.
Tindakan itu adalah langkah susulan selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Abdul Khalid yang telah dipecat daripada PKR untuk kekal sebagai Menteri Besar dan akan terus menjalankan tugas sehingga ada perkembangan baharu.
Mereka dikatakan menaiki pesawat FireFly kira-kira pukul 4.30 petang ini dari Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini manakala pertemuan Anwar dan Abdul Hadi dilakukan secara sulit.
Menurut sumber, kedua-dua pemimpin PKR itu juga dikatakan menukar kenderaan bagi mengelakkan mereka dikesan dalam usaha mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi.
Bagi memastikan pergerakan gagal dihidu wartawan, Anwar dan Saifuddin Nasution dipercayai mengatur strategi pulang semula ke Kuala Lumpur petang ini melalui jalan darat.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu dilihat berada di LTSM kira-kira pukul 7.30 petang ini sebelum menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dan sebaik sahaja diserbu kumpulan wartawan di situ, Anwar hanya berkata "Perbincangan baguslah,".
Dalam pada itu, kira-kira 20 wartawan dan jurugambar tertumpu di pekarangan Masjid Rusila, Marang bermula pukul 4 petang ini sejurus mengetahui kemungkinan pertemuan tersebut diadakan di kediaman Abdul Hadi yang terletak berdekatan.
Bagaimanapun, kelibat Anwar, Saifuddin Nasution serta Abdul Hadi langsung tidak kelihatan sebelum kesemua wartawan beredar kira-kira dua jam kemudian.
Dalam pada itu, difahamkan, Abdul Hadi telah keluar dari rumahnya kira-kira pukul 4 petang dengan menaiki kereta bersama pemandu peribadinya ke tempat yang tidak diketahui.
Kira-kira pukul 6.10 petang, kelihatan kenderaan tersebut memasuki semula kawasan kediaman Presiden Pas itu namun tanpa kelibat Abdul Hadi.
Menurut pemandu kereta berkenaan, dia telah menghantar Presiden Pas itu untuk menziarahi orang sakit tanpa memberitahu tempatnya.
Sementara itu, kumpulan wartawan kemudiannya bergegas ke Hotel Frinzpark di Kuala Ibai di sini setelah mendapat maklumat bahawa pertemuan Anwar dengan Abdul Hadi diadakan di situ.
Bagaimanapun, sejurus tiba di hotel itu kira-kira pukul 6.30 petang, mereka sudah pun beredar manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang dipercayai turut menyertai pertemuan tersebut enggan mengulas lanjut selain mengesahkan pertemuan tersebut memang berlaku. - My Massa