Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga calon BN P125, Parlimen Putrajaya, menjawab pertuduhan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Kenyataan Media:
Saya ingin menjawab pertuduhan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap saya di ceramahnya malam tadi di Putrajaya:
Tun, tolong ingat kembali apa yang telah berlaku dengan apa yang Tun ucapan malam tadi.
Jika Tun menuduh saya pencuri, apakah yang telah saya curi sedangkan saya banyak menggunakan harta yang saya ada bagi membantu rakyat. Melalui kontrak mana yang saya ambil sedangkan saya telah diisytiharkan sebagai antara orang yang terkaya di Malaysia pada tahun 1992. Ketika itu saya adalah ahli perniagaan yang kemudiannya terlibat dalam politik aktif.
Sudahkah Tun lupa, waktu Tun susah saya menyumbang tenaga mempertahankan Tun dari serangan reformasi. Tun lupakah jasa saya ketika itu? Saya telah berpihak kepada Tun walhal antara Tun dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Anwar lebih banyak sumbangannya dalam perniagaan saya.
Satu lagi fakta yang dituduh Tun mudah lupa, saya digugurkan menjadi menteri sewaktu zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan dilantik terus menjadi menteri sewaktu zaman pentadbiran Datuk Seri Najib. Bila masa pula saya tidak menjadi Ahli Parlimen dan tidak terpilih menjadi menteri?
Hakikatnya saya telah digugurkan menjadi menteri oleh Tun Abdullah. Saya telah menjawat jawatan menteri ini pada zaman Datuk Seri Najib. Ini adalah satu pembohongan yang besar. Biarlah jawapan saya ini memberikan pertimbangan kepada mereka yang cintakan kebenaran tentang apa yang sebenarnya berlaku dan saya dapat membuktikan bahawa Tun telah berbohong. Tun cuba menipu rakyat dengan andaian-andaian sebagaimana serangannya kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dan YABhg Datin Seri Rosmah Mansor.
Tun, saya bukan pencuri… malahan dengan harta yang saya ada ini saya bersyukur kerana dapat membantu rakyat. Biarpun nilai harta saya semakin berkurangan saban tahun, namun saya gembira dapat membantu rakyat dengan duit yang saya ada. Menceburi politik tidak menambahkan harta saya sebagaimana dakwaan Tun sebaliknya ia semakin berkurangan. Saya gunakan harta saya untuk membantu rakyat dan juga warga saya di Putrajaya. Tun lihatlah sendiri pembangunan dan kemajuan yang ada di sini. Itu tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat.
Tun, saya sedia maklum berkaitan program Tun malam tadi lebih awal lagi, dan saya telah minta kepada warga Putrajaya khususnya anak-anak muda agar tidak mengganggu atau melakukan sebarang kekacauan terhadap majlis Tun. Kami tahu bahawa orang luar ramai yang membanjiri sesi ceramah Tun, tetapi jangan lakukan fitnah.
Tun, janganlah berpolitik dengan melakukan pembohongan cuba mengelirukan rakyat dan warga Putrajaya sedangkan penduduk Putrajaya telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya selama ini. Saya juga sedia maklum bahawa jumlah penyokong yang hadir dalam ceramah Tun semalam bukanlah warga tempatan, semuanya sudah dirancang serapi yang mungkin bagi mengaburi masyarakat.
Tun, jika Tun yakin dengan perjuangan Tun ketika ini, lakukanlah dengan berpaksikan kepada kebenaran tanpa melakukan fitnah demi fitnah terhadap pihak lain. Jika Tun yakin untuk menang, apa perlunya Tun membuat surat terbuka kepada orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dengan merayu untuk menyokong Tun sedangkan sebelum ini Tun sendiri yang mengkhianati perjuangan UMNO malah membuat pelbagai tuduhan kepada ahli-ahli UMNO. Bukankah lebih elok jika Tun membuat surat terbuka kepada anggota PKR yang Tun tandingi bagi memohon maaf atas reformasi yang dilakukan berpunca dari keputusan Tun dahulu.
Tun, sudah-sudahlah. Zaman Tun sudah berlalu. Era pentadbiran, kepimpinan dan perjuangan Tun sudah tidak relevan lagi.
Saya yakin, rakyat termasuklah para pengundi saya di Putrajaya akan bijak melakukan penilaian. Tun menggunakan saya sebagai bahan propaganda namun sesungguhnya apa yang Tun lakukan hanya membuka aib Tun sendiri. Sudah-sudahlah Tun, jangan mudah lupa, jangan perguna rakyat, jangan rosakkan bangsa, jangan binasakan negara.
Sekian, terima kasih
Tengku Adnan Bin Tengku Mansor
Sumber dari MyKMU - #TsunamiPHitnah: Tengku Adnan Jawab Tuduhan Jahat, Tun Mahathir Fitnah dan Manipulasi Fakta