Tuesday, July 21, 2015

#LowYat: PENDEDAHAN FAKTA KES SEBENAR OLEH BLOGGER @YuseriYusoff

LOW YATT : RAKAMAN CCTV TIDAK DISAHKAN PDRM, NGO AKUI FAKTA KEJADIAN, BOIKOT & PERKAUMAN.

1. Genap seminggu insiden pergaduhan di Plaza Low Yatt, masih ada suara sumbang yang tampil berhujah bersandarkan maklumat yang dikutip di media sosial.

2. Hujah paling popular penganalisis FB adalah mengenai tarikh rakaman CCTV yang disebarkan dan menjadi viral di media sosial.

3. Bersandarkan rakaman CCTV entah dari mana dan kononnya itu adalah rakaman kecurian yang berlaku di Plaza Low Yatt.

4. Rekod PDRM menyatakan tangkapan ke atas OKT dilakukan orang awam pada 11 Julai 2015, jam 1650, di Kedai Tech Asia Sdn Bhd (UG Floor), Plaza Low Yatt.

5. PDRM tidak membuat pengesahan bahawa rakaman CCTV bertarikh 6 Julai 2015 adalah kes kecurian yang dilakukan OKT di Plaza Low Yatt.

7. Bermakna, itu bukanlah rakaman CCTV yang dirujuk oleh IO semasa menjalankan soal siasat ke atas OKT.

8. Perkara ini disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, SAC Dato Zainuddin Bin Ahmad.

9. Kejadian OKT dibelasah orang ramai berlaku selepas mereka menyerang pekerja dan premis OPPO pada 11 Julai 2015. jam 1940.

10. Dalam masa yang sama laporan NTV7 telah memberi gambaran kononnya serangan berlaku kerana pembeli telah ditipu oleh peniaga HP.

11. Memandangkan kes dalam perbicaraan, dan OKT mengubah pengakuan, rakaman CCTV 11 Julai 2015 adalah bukti kes dan PDRM tidak boleh keluarkan kepada umum.

12. Fakta mengenai kes kecurian HP juga diakui, diterima serta dipersetujui Ketua-Ketua NGO selepas DSP Gunalan memberi penjelasan.

13. Selepas penjelasan DSP Gunalan, seramai 20 orang dari wakil NGO telah diberi kebenaran meninjau premis dan memasuki Plaza Low Yatt.

14. Semasa membuat tinjauan ke dalam Plaza Low Yatt, ada pihak tidak membaling HP (display set) ke arah ahli kumpulan NGO.

15. Tindakan itu mencetuskan kekecohan namun berjaya ditenteramkan PDRM dan semua ahli dan Ketua kumpulan NGO bersurai jam 2230.

16. Rusuhan berlaku selepas pihak NGO-NGO bersurai, di mana datang sekumpulan lelaki bermotor seramai 70 orang lalu berkumpul di hadapan Plaza Low Yatt.

17. Kumpulan engkar arahan bersurai PDRM dan bertindak mencederakan empat lelaki Cina yang berada di sekitar serta merosakkan sebuah kenderaan milik orang awam.

18. Ketika kejadian Ketua Polis KL dan Ketua JSJ KL turut berada di lokasi menasihatkan orang ramai bertenang dan bersurai.

19. Dalam masa yang sama, Ketua Polis KL turut meminta bantuan FRU lalu mengadakan 'OPS TUTUP' di jalan-jalan utama Bukit Bintang.

20. Kumpulan yang merusuh bersurai jam 0430, di malam malam kejadian 17 orang ditangkap termasuk seorang lelaki Cina yang memegang kayu seperti video tersebar.

21. Malam sebelum pertemuan dengan Ketua Jabatan Sisatan Jenayah, Kuala Lumpur SAC Dato Zainuddin Ahmad, saya turut bertemu Ketua-Ketua NGO dan Peguam OKT.

22. Ketua-Ketua kumpulan NGO yang berhimpun tidak menafikan punca kejadian kes kecurian HP seperti dinyatakan oleh pihak PDRM.

23. Justeru, sekali lagi saya ulangi mereka yang bersuara sumbang sila kemukakan bukti resit pembelian HP jenama Lenovo model S860 yang dibuat OKT dan rakaman CCTV disahkan PDRM.

24. Tanpa bukti resit pembelian seperti didakwa sejak hari pertama kejadian dan rakaman CCTV disahkan PDRM, bermakna maklumat mengenai pergaduhan di Plaza Low Yatt telah diputar belit demi kepentingan sesetengah pihak.

25. Saya tidak berpihak kepada peniaga Cina apatah lagi berpihak tujuh pemuda Melayu, saya cuma tidak mahu masyarakat menghalalkan satu perbuatan jenayah atas nama Melayu.

26. Dalam bahasa mudah, bagi saya salah tetap salah, yang mencuri salah dan yang memukul juga salah.

27. Tujuan saya menjelaskan selepas seminggu kejadian untuk memastikan fakta kejadian sebalik dalam rusuhan di Plaza Low Yatt tidak terus diputar belit hingga rakyat hilang keyakinan kepada PDRM.

28. Saya juga tidak mahu perpaduan kaum yang telah terbina 57 tahun diperjudikan demi sebuah HP berjenama Lenovo.

29. Kuasa membeli ada di tangan kita, jadi usah dipedulikan semua usaha dan tindakan MCA menganjurkan sambutan Aidilfitri atau peniaga Low Yatt laksana kempen turun harga kerana kuasa ada pada kita.

30. Jika pengguna ada kesedaran tentang kuasa yang mereka miliki, saya pecaya kes pengguna ditipu oleh peniaga akan berkurangan.

31. Golongan peniaga yang menipu terdiri dari pelbagai bangsa, bukan saja peniaga Cina, ada juga peniaga Melayu dan India yang suka menipu.

32. Penipuan atau jenayah tidak berkait dengan bangsa, kerana bukan semua Cina penipu dan tidak semua Melayu itu baik.

33. Rakyat Malaysia terutama orang Melayu bersikap prejudis ke atas satu-satu kaum kerana termakan cakap dan mainan orang politik.

34. Orang Melayu takut dengan bayang-bayang sendiri, mereka meraung kerana orang Cina menguasai ekonomi.

35. Namun, orang Melayu tidak mahu bermuhasabah sehingga terlupa siapakah yang memegang kuasa dalam negara.

36. Bukankah kuasa dipegang pemimpin Melayu, jadi kenapa orang Melayu terus merintih di bumi sendiri?

37. Kenapa hanya dua tiga kerat Melayu yang berjaya, siapakah yang memberi peluang sehingga orang Cina menjadi kaya raya kalau bukan pemimpin Melayu itu sendiri?

38. Ironi bukan, kita orang Melayu sendiri yang suka berpecah, pemimpin Melayu kita sendiri yang memberi peluang tetapi orang cina yang salah.

YUSERI YUSOFF (YY)
20 Julai 2015.

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive