Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata media sosial termasuk Facebook kini dilihat menjadi antara medium popular untuk gerakan tertentu menyebarkan fahaman Syiah yang dilarang di negara ini.
"Kita lihat penularan ajaran Syiah agak membimbangkan kerana dulunya dikeluarkan melalui penerbitan seperti makalah dan sebagainya, namun sejak kebelakangan ini ianya lebih menjurus kepada media sosial.
"Justeru sekiranya dilihat di Facebook atau mana-mana laman sosial yang menyiarkan ini (ajaran Syiah), mereka (pelayar internet) perlu membuat laporan atau aduan segera kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Kemerdekaan Mexico Ke-203 di sini, Khamis.
Beliau berkata kementeriannya juga bersedia bekerjasama dengan Jakim untuk memantau aktiviti penyebaran fahaman Syiah agar masyarakat di negara ini tidak mudah terpedaya dengan gerakan yang semakin agresif menarik pengikut melalui media sosial.
"Dan saya harapkan pelayar internet lebih berhati-hati kerana tidak semestinya apa yang dinyatakan dalam media sosial itu benar terutama yang berkaitan dengan ajaran Syiah yang jelas terpesong," katanya. -BERNAMA