Pelayar internet diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa relevan sekiranya mengesan sebarang aktiviti atau kegiatan yang menjurus kepada penyebaran fahaman Syiah di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata media sosial termasuk Facebook kini dilihat menjadi antara medium popular untuk gerakan tertentu menyebarkan fahaman Syiah yang dilarang di negara ini.
"Kita lihat penularan ajaran Syiah agak membimbangkan kerana dulunya dikeluarkan melalui penerbitan seperti makalah dan sebagainya, namun sejak kebelakangan ini ianya lebih menjurus kepada media sosial.
"Justeru sekiranya dilihat di Facebook atau mana-mana laman sosial yang menyiarkan ini (ajaran Syiah), mereka (pelayar internet) perlu membuat laporan atau aduan segera kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Kemerdekaan Mexico Ke-203 di sini, Khamis.
Beliau berkata kementeriannya juga bersedia bekerjasama dengan Jakim untuk memantau aktiviti penyebaran fahaman Syiah agar masyarakat di negara ini tidak mudah terpedaya dengan gerakan yang semakin agresif menarik pengikut melalui media sosial.
"Dan saya harapkan pelayar internet lebih berhati-hati kerana tidak semestinya apa yang dinyatakan dalam media sosial itu benar terutama yang berkaitan dengan ajaran Syiah yang jelas terpesong," katanya. -BERNAMA
Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menggantung dan menamatkan perkhidmatan individu yang terlibat dalam insiden penyiaran kesilapan logo Polis Diraja Malaysia melalui RTM semalam.
Sambil berkata RTM memandang serius kejadian itu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata laporan polis untuk memulihkan imej Jabatan Penyiaran telah dibuat."Ralat dan permohonan maaf telah disiarkan dalam Berita Nasional 12 tengah malam. Surat rasmi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) juga telah dihantar," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau menjelaskan jawatankuasa tata tertib telah bersidang hari ini untuk meneliti tindakan lanjut yang akan dilaksanakan susulan insiden itu.Kenyataan dan tindakan segera yang diambil telah dimuat naik dalam laman sosial jabatan berkenaan, tambahnya. - SUMBER
Selepas seminggu cadangannya supaya ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS cetuskan macam-macam spekulasi, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiba-tiba menyalahkan akhbar kononnya tidak menulis dengan betul apa dimaksudkannya itu.
“Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama."
“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun professional,” kata bekas Mursyidul Am PAS itu dalam reaksi terbarunya berhubung kenyataannya minggu lalu.
Ekoran pandangannya itu, ramai pemimpin dan ahli-ahli PAS berpendapat Nik Aziz seolah-olah memberi ‘signal’ supaya perwakilan dalam muktamar parti yang berlangsung 22 hingga 24 November memilih ulama mengisi jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Mohamad Sabu.
Malah, Pemuda PAS turut menyokong kenyataan Nik Aziz dan ambil kira mesej bekas Menteri Besar Kelantan itu, PAS Besut sudah mencalon Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah bertanding kerusi Timbalan Presiden.
Barangkali menyedari gerakan mahukan ulama mengisi jawatan nombor dua parti itu semakin kuat atau mungkin dinasihati oleh pihak lain, Nik Aziz tiba-tiba menyalahkan akhbar kononnya beliau cakap lain tetapi yang ditulis lain.
Memang tidak pelik Nik Aziz yang selalu ‘flip flop’ dengan kenyataannya sendiri sebelum ini sudah koner baring menerusi reaksi terbaru pada Rabu dengan alasan ‘profesional pun ulama dan ulama juga profesional’.
Namun, sudah terlambat untuk Nik Aziz membetulkan kesilapannya itu kerana dikalangan pemimpin dan ahli-ahli PAS sudah ada yang melihat beliau ‘kurang bisa’ lagi setelah melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun menang pada PRU 13 lalu.
Mungkin kerana itu juga PAS Segamat mencalonkan Datuk Husam Musa bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan nanti.
Umum juga tahu Husam ibarat anak emas Nik Aziz tetapi bekas Exco Kelantan yang dipalitkan dengan macam-macam janji serta projek yang gagal ditunaikan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dilihat semakin hilang pengaruh dalam parti.
Maka tidak hairan tindakan Nik Aziz itu adalah untuk membuka peluang Husam bertanding kerana Husam lebih dilihat sebagai golongan professional bukannya ulama.
Nik Aziz mungkin tidak menyenangi lagi Muhamad atau Mat Sabu yang bukan sahaja tewas di kerusi Parlimen Pendang pada PRU 13 namun turut dikaitkan dengan amalan Syiah.
Setidak-tidaknya sudah pasti Husam akan berentap dengan Mat Sabu dan khabarnya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mungkin dicalonkan bagi kerusi nombor dua itu.
Seperkara lagi yang berlegar-legar dikalangan pemimpin serta ahli-ahli PAS selepas pemilihan lalu adalah teori Mat Sabu hanya memegang jawatan Timbalan Presiden sepenggal sahaja dan pemilihan kali ini tempat itu bakal diganti dengan Husam.
Ikutkan skrip tertentu, ini membolehkan Husam mencabar Datuk Seri Hadi Awang pada pemilihan tiga tahun lagi sekiranya ahli Parlimen Marang itu enggan melepaskan jawatan Presiden.
Ada pihak melihat inilah perancangan puak-puak Anwarinas yang mahu memastikan PAS dikuasai golongan profesional yang tegar menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa depan.
Justeru itu, pemimpin dan ahli-ahli PAS harus sedar dan faham kenapa Nik Aziz tiba-tiba salahkan akhbar kerana kenyataannya terdahulu yang menyokong ulama bagi jawatan timbalan presiden tanpa disedari‘membunuh’ peluang Husam.
Kini, Husam boleh senyum lebar kerana bukan sahaja mendapat pencalonan tetapi Nik Aziz masih tetap mempertahankannya. - Agenda Daily