Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap akan melaksanakan undang-undang hudud sekalipun ditentang oleh DAP dan PKR, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Sambil menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan Kelantan mahu melaksanakan undang-undang itu, Abdul Hadi berkata, hudud sudah wujud dalam Pas sebelum penubuhan pakatan.
"Ini benda yang wujud terlebih awal daripada pakatan pembangkang. Dengan sebab itu kita tak ada masalah untuk kemukakan laksana hudud," katanya yang ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.
"Kita tidak ada perjanjian dengan DAP dan PKR, mengatakan kita tidak boleh laksana hudud," katanya.
Isu undang-undang hudud menjadi 'duri dalam daging' dalam pakatan pembangkang apabila Pas tetap dengan pendirian mahu melaksanakan hukum itu sementara DAP dan PKR berkeras menolak.
Isu itu kembali panas susulan keputusan kerajaan Kelantan yang diteraju oleh Pas bercadang membawa usul hudud ke Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Susulan itu, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor beberapa kali membuat penegasan bahawa hudud tidak ada tempat dalam dasar pakatan pembangkang. -
UTUSAN