Thursday, February 20, 2014

#PRKKajang: ULASAN LENGKAP MENGENAI MAKSUD #KajangMove. PASTIKAN BACA! #Kajang

Telah semakin banyak kudis Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang digaruk di depan khalayak ramai, dan semakin besar pula pekung Pakatan Rakyat (PR) yang terdedah kepada umum. Dan dalam proses itu telah berkajang-kajang kertas terpakai mencetak pelbagai pendapat dan pandangan tentang apa yang dalam bahasa Inggeris dirujuk sebagai the Kajang Move", namun masih terlalu banyak soalan yang tidak berjawab.

Ungkapan Inggeris the Kajang Move" itu barangkali lebih tepat jika diterjemahkan dengan ungkapan bahasa Melayu Manipulasi Kajang", bukannya Gerakan Kajang." Ini kerana sesungguhnya sangat banyak manipulasi yang diamalkan oleh PKR dan PR dalam episod Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang sekarang .

Mereka mengirakan episod ini akan menguntungkan mereka, tetapi pada hakikatnya merugikan negara dan rakyat jelata. Mereka memanipulasikan prinsip-prinsip demokrasi khususnya sistem pilihan raya di negara ini. Mereka memanipulasikan kemudahan-kemudahan teknologi komunikasi moden untuk kepentingan propaganda dan retorik-retorik kosong, teori-teori songsang dan dongeng-dongeng politik yang cuba hendak memperbodoh-bodoh masyarakat awam.

Dan dalam proses itu berlaku pula amalan-amalan munafik menuduh pihak-pihak lain melakukan perbuatan-perbuatan songsang yang mereka lakukan sendiri. Antara contoh ialah dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menuduh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengipas semangat perkauman semata-mata kerana Zainuddin berpendapat bahawa PRK Kajang itu akan memberi kesempatan kepada pengundi Cina untuk menjalin kembali kerjasama yang produktif dengan masyarakat Melayu melalui persahabatan yang ikhlas dan perkongsian kuasa melalui Barisan Nasional (BN).

Orang yang tahu siapa Kit Siang dan bagaimana DAP berkempen di Gelang Patah dalam PRU-13 lalu akan tersenyum sinis membaca tuduhan atau dakwaannya itu. Kata bidalan Melayu: Paku dulang paku serpih, mengata orang tetapi awak yang lebih."

Pendeknya Manipulasi Kajang" dan hal-hal yang berkaitannya telah menconteng arang pada wajah demokrasi kita. Maka muncullah pelbagai ragam provokasi, sama ada antara BN dan PR, demikian pula antara puak-puak yang bersaing dalam PKR, khususnya antara puak Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Dan dalam proses itu, terdedahlah kudis-kudis" PKR dan pekung" PR. Ternyata dalam dalam hati kecil masing-masing parti yang menganggotai pakatan itu jauh daripada bersepakat". Ibarat tidur yang sebantal, tetapi mimpi berbeza-beza.

Dilihat dalam konteks Manipulalsi Kajang" semua itu menimbulkan serentetan soalan asas yang perlu ditanyakan dan dijawab. Antara soalan asas dan penting yang seakan-akan sengaja dilupakan ialah: Kenapakah Lee Chin Cheh begitu mudah meletakkan jawatannya sebagai ADUN sebuah negeri kaya yang dikatakan mempunyai surplus berbilion ringgit? Adakah dia begitu idealistik dan mamai dibuai romantisme perjuangan" PKR sehingga rela melepaskan satu jawatan yang menjadi rebutan dan impian orang politik.

Jawatan sebagai ADUN Selangor bukan sahaja memberi pulangan kewangan lumayan, tetapi juga membawa kedudukan sosial yang terpandang dengan pelbagai peluang dalam banyak bidang. Kerana itu adalah menghairankan kenapa bekas ADUN yang bernama Lee Chin Cheh itu begitu mudah melepaskannya.

Selain Chin Cheh yang patut menjadi fokus serangkaian soalan berkaitan Manipulasi Kajang ini ialah seorang individu yang bernama Rafizi Ramli. Dia diuar-uarkan sebagai otak" (the brain) yang merangka dan mencetuskan the Kajang Move itu. Sebelum ini dia dikenali sebagai Pengarah Strategi PKR. Tetapi sejak tercetusnya Manipulasi Kajang, reputasi Rafizi sebagai pakar strategi mulai pudar.

Pelbagai alasan dan hujah dikemukakannya tentang keperluan Manipulasi Kajang telah mendapat sambutan yang berbelah bagi dan menimbulkan kontroversi bukan sahaja antara sebahagian penyokong Pas dengan PKR, malah juga dalam kalangan sesama tokoh-tokoh PKR sendiri.

Antara pendapat Rafizi yang menjadi bahan tertawa ialah kononnya Kerajaan Pusat berura-ura untuk mengambil alih pentadbiran Selangor secara paksa melalui perisytiharan darurat. Untuk mengelakkan supaya ura-ura Kerajaan Pusat" itu jangan sampai berlaku, maka Anwar Ibrahim hendakkah diberi keabsahan politik" (political legitimacy) menjadi ADUN Selangor (dan seterusnya Menteri Besar?) Itulah alasan utama kenapa pilihan kecil Kajang perlu diadakan.

Selain itu, Rafizi juga menuduh kononnya UMNO (atau sesetengah golongan tertentu dalam UMNO) sekarang sedang berusaha untuk merealisasikan doktrin pemerintahan satu kaum" di negara ini.

Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Abdul Khalid, Faekah Hussien menyifatkan pandangan Rafizi itu sebagai terlalu dangkal. Dalam mempertahan teori atau rasionalnya kenapa PRK Kajang perlu diadakan, Rafizi bukan sahaja mengemukakan cerita-cerita dongeng yang sukar diterima akal, malah berdolak dalih mengatakan perkara-perkara yang kontradik.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, ada anggota PKR yang menganggap Rafizi cuba menjelaskan perkara yang mustahil untuk dijelaskan. Tindak tanduknya nampak semakin gelabah sehingga sampai dikeroyok" oleh satu kumpulan dalam kejadian di Pulau Pinang baru-baru ini.

Berikutan semua itu , soalan yang timbul ialah: Adakah pakar strategi PKR ini mempunyai pemikiran yang terlalu simplistik, atau dangkal" menurut istilah Faekah. Atau adakah dia seorang tukang dongeng atau juru khayal yang luar biasa? Sehubungan itu, soalan yang juga relevan ialah: Jika kegelabahan Rafizi ini berpanjangan dan merupakan gambaran daripada satu masalah yang lebih besar, adakah keterlaluan untuk mengatakan bahawa dengan seorang pakar strategi" seperti itu, PKR sudah tertumpang di biduk tiris" atau bahteranya dipandu oleh nakhoda yang sudah kehilangan arah".

Semua itu menimbulkan satu soalan yang lebih besar: Jika Manipulasi Kajang dimulai dengan pelbagai soalan yang tidak terjawab dan sekali gus mengakibatkan PKR menggaruk kudis" di depan khalayak ramai manakala pekung ketidaksepakatan" Pakatan Rakyat semakin terdedah, adakah masalah" atau isu" yang cuba hendak diselesaikan melalui the Kajang Move" akan menghasilkan apa yang mereka harap atau akan mengakibatkan masalah bertambah rumit. Ini mengingatkan saya satu bidalan dalam loghat Minangkabau alah babadak batambah hitam" (Setelah memakai bedak, maka wajah bertambah hitam).

Celoteh-celoteh di atas boleh diperpanjang dengan menanyakan soalan-soalan remeh, umpamanya, bagaimana Anwar akan bertindak jika Nallakurapan benar-benar menjadi calon? Malah di sesetengah tempat di sekitar Lembah Klang, sudah terdengar pula spekulasi-spekulasi nakal, kononnya, Ummi Hafilda turut menawarkan diri untuk menjadi calon. Apakah persiapan orang Anwar menghadapi kemungkinan-kemungkinan ini?

Tetapi soalan yang lebih serius ialah mengenai kemungkinan rintangan yang akan menghalang Anwar menjadi Menteri Besar sekiranya dia menang dalam PRK Kajang itu. Ini termasuklah kerelaan Abdul Khalid berundur diri dan memberi laluan kepada Anwar, persetujuan Pas yang meragukan kesesuaian Anwar menjadi MB Selangor, perkenan Baginda Sultan yang mungkin keberatan menerima orang luar" menjadi MB.

Dan tentu sahaja yang lebih menggerunkan ialah sekiranya rayuan kes liwat Mohd. Syaiful Bukhari Azlan tidak memihak kepada Anwar.

Apakah yang akan terjadi jika berlaku pertembungan keputusan undi pilihan raya yang memihak kepada Anwar dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada Saiful Bukhari? Atau sejauh manakah kesahihan andaian sesetengah pihak bahawa Manipulasi Kajang sengaja dirancang untuk tujuan itu - UTUSAN.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

#PRKKajang: KENAPA PERLU LETAK CALON MELAYU? INI SEBABNYA!!


PRK Kajang merupakan satu pilihanraya kecil yang mungkin paling sinikal dalam sejarah politik Malaysia, berlaku hanya kerana mahu menyelesaikan kemelut dalaman PKR. Tapi dari sudut berbeza ini adalah medan persepsi untuk menampakkan sosok Anwar Ibrahim SEMAKIN HAMPIR menakluk Putrajaya. Kajang adalah sebuah daerah yang berjiran dengan Putrajaya.

Ini bukan analisis rasis tapi untuk menyedarkan pihak yang berkaitan tentang terdapatnya sentimen rasisme yang harus diambil kira dalam menentukan calon paling layak untuk menentang Anwar Ibrahim di PRK N25 Kajang pada 23 Mac nanti. Terdapat info yang mengatakan DS Najib Razak akan meneruskan kouta tradisi kepada MCA jika BN bertanding di PRK Kajang. ADAKAH ITU KEPUTUSAN TERBAIK??

Presiden MCA yang baru dilantik, DS Liow Tiong Lai mungkin akan mempertahankan MCA untuk meletakkan calon mereka bagi membuktikan kaum Cina sudah mula kembali kepada BN di bawah kepimpinannya. Dari satu info sahih Tiong Lai cuma mampu menjanjikan kenaikan undi Cina kepada BN dalam PRK Kajang dalam kadar 30%, berbanding 15% undi Cina yang BN perolehi dalam PRU13. Dapatkah kenaikan 15% undi Cina merubah keputusan PRK Kajang, 30% dari 40% (pengundi Cina keseluruhan) itu cuma dalam kadar 14% undi Cina keseluruhan untuk BN. Seperkara lagi, DAPATKAH KITA MEMPERCAYAI JANJI MCA??

PENGUNDI MELAYU

Seperti di peringkat nasional dalam PRU13 lalu UMNO telah membuktikan peningkatan undi Melayu kepada BN, termasuk juga di Kajang jika diperhatikan pada statistik jumlah undi di peti-peti undi majoriti Melayu di seluruh Kajang.


Dapatkah MCA mengakui hakikat ini.... akur dan mengalah sesekali, dan membuktikan kesungguhan mereka dengan memberi bantuan kempen yang padu kepada calon Melayu dari UMNO dalam PRK Kajang kali ini.

Anwar Ibrahim telah menggerakkan langkah awal di kawasan-kawasan peti undi Melayu walaupun tempoh kempen yang sah belum lagi bermula. Seperti biasa wayang 'plain-folks' akan ditayangkan bagi mempertontonkan kezuhudan peribadi. Nawaitu tersirat adalah kebimbangan Anwar terhadap pengundi Melayu yang mungkin akan menjejaskan jumlah majoriti, sekaligus menempelak kredibilitinya selaku pemimpin nomero uno dalam Pakatan Rakyat.

Dua minggu di Kajang sebelum tarikh kempen rasmi (penamaan calon)
kenapa cuma berlegar di kawasan PDM Melayu??
Anwar sedar jumlah peratusan keluar mengundi dalam PRK akan berkurangan berbanding jumlah pengundi PRU13 lalu, namun persepsi tetap dilihat kepada jumlah majoriti bukan peratusan majoriti. Kerana itulah Anwar terpaksa turun dan 'bersandiwara' habis-habisan di sekitar kawasan Melayu di DUN Kajang bagi memastikan jumlah undi dan majoriti yang akan dimenanginya lebih banyak dari jumlah majoriti calon PKR dalam PRU13 lalu.SATU-SATUNYA PENGHARAPAN ANWAR SEKARANG ADALAH UNDI MELAYU!

BN tidak perlu mensasarkan kemenangan di PRK Kajang, kerajaan negeri tidak akan berubah meskipun berjaya merampas DUN Kajang. Cukuplah BN memasuki gelanggang dengan harapan untuk mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh PKR pada PRU13 lalu... ITU SUDAH CUKUP UNTUK DIISYTIHARKAN SEBAGAI SEBUAH KEMENANGAN. Kemenangan adalah bonus, tapi pengurangan majoriti sudah cukup untuk memijak-mijak maruah seorang lelaki bernama Anwar Ibrahim!

MERAIH UNDI MELAYU


Di era BN masih kukuh pada PRU tahun 1999, calon PAS, Dr Syafie Abu Bakar memenangi majoriti kecil 37 undi mengalahkan calon MCA dari BN. PRU13 lalu calon PKR, Lee Chin Cheh menewaskan calon BN, Lee Ban Seng dengan majoriti 6,824 undi... BN cuma memperolehi 15% undi kaum Cina. DAPATKAH KITA MENGHARAP MAGIS DARI MCA BILA MENENTANG ANWAR IBRAHIM (baca:calon Melayu dari PKR)??

Satu-satunya jalan keluar dari enigma ini adalah meletakkan CALON MELAYU UMNO sebagai calon BN dalam PRK Kajang...itu saja jalan terbaik untuk menghukum Anwar Ibrahim dan PKR. Personaliti calon pula harus diteliti sehabis baik dengan meletakkan seorang pemimpin MUDA, ANAK TEMPATAN, PROFESIONAL ataupun dari kalangan AGAMAWAN. Kriteria-kriteria itu sudah cukup untuk menjunamkan Anwar Ibrahim walaupun bertanding sebagai underdog. Ramai pemimpin muda UMNO tempatan yang pastinya boleh dijulang!

Ura-ura mengatakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa akan turut meletakkan calon mereka, BN mungkin boleh meletakkan proksi calon Cina sebagai calon bebas jika mahu memecahkan undi Cina. Ini kerana jika BN meletakkan calon Cina MCA sudah pasti lebih ramai calon Melayu akan bertanding atas tiket bebas dan akan mengecilkan margin undi Melayu kepada BN, ketika undi Cina kepada BN yang masih boleh dianggap sebagai 'misi mustahil'.

Kesimpulan di sini untuk dipertimbangkan secara serius oleh DS Najib Razak, BN cuma akan bertanding sebagai pelengkap syarat jika meletakkan calon MCA.

Jika BN mahukan sebutir peluru perak untuk menembak mati segala arogan Anwar Ibrahim, calon MELAYU, MUDA, ANAK TEMPATAN, PROFESIONAL/AGAMAWAN adalah keputusan yang tidak akan pernah disesali!! - #BN4Kajang

#JihadEkonomi: SAMPAI BILA LAGI MELAYU MAHU KETINGGALAN?


Entri Sebelum Ini - [KLIK]

"ORANG Melayu masih lemah dari sudut ekonomi. Orang Melayu masih jauh ketinggalan." Ini adalah ungkapan yang sering kita dengar. Barangkali ungkapan ini sudah sampai ke tahap menjemukan.
Kita tidak boleh menafikan bahawa masalah penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu yang lemah adalah kerana mereka lebih cenderung makan gaji daripada berniaga. Tidak ada lain untuk menguasai ekonomi selain membabitkan diri dalam keusahawanan. Walaupun sebahagian besar orang Melayu menguasai Kabinet dalam kerajaan dan jawatan dalam sektor awam, ia bukan dikira penguasaan dalam ekonomi.

Mungkin kerana persekitaran budaya dan sosial orang Melayu, keusahawanan masih dilihat sebagai sesuatu yang asing. Masyarakat Cina sangat memandang tinggi mereka yang berniaga. Orang berniaga dianggap lebih matang daripada yang makan gaji. Kerja makan gaji dianggap sebagai sesuatu yang dilakukan untuk mendapat pengalaman sementara menunggu masa sesuai memulakan perniagaan.


Berlainan dengan situasi masyarakat Melayu menganggap berniaga sebagai sesuatu yang dilakukan untuk menyara hidup sementara mendapat kerja makan gaji. Sudah pastilah matlamat terakhir adalah untuk bekerja dengan kerajaan. Oleh itu, kita biasa melihat jika ada mahasiswa menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan selepas tamat pengajian, orang akan kata 'Tak apa, berniagalah dulu sementara belum dapat kerja.'
Pernahkah kita tertanya bagaimana orang Cina yang sebahagian besarnya datang ke Tanah Melayu sebelum Merdeka boleh berjaya menjadi usahawan kaya raya dan menguasai dunia perniagaan di negara ini sedangkan mereka datang sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang harta?

Apakah ada keajaiban membuatkan mereka berjaya? Mereka juga ada dua kaki dan dua tangan seperti kita. Pada hal, al-Quran mengajar kita bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah nasib mereka sendiri. Kita tidak boleh menafikan bahawa mereka berjaya kerana mereka bekerja keras dan sanggup mengambil risiko membabitkan diri dalam dunia perniagaan.

Senarai peniaga-peniaga Melayu Islam dan produk keluaran mereka boleh diperolehi melalui laman Facebook - Kuasa Pembeli Pengguna Melayu Islam

MY SLIDESHARE UPLOAD