Ungkapan Inggeris the Kajang Move" itu barangkali lebih tepat jika diterjemahkan dengan ungkapan bahasa Melayu Manipulasi Kajang", bukannya Gerakan Kajang." Ini kerana sesungguhnya sangat banyak manipulasi yang diamalkan oleh PKR dan PR dalam episod Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang sekarang .
Mereka mengirakan episod ini akan menguntungkan mereka, tetapi pada hakikatnya merugikan negara dan rakyat jelata. Mereka memanipulasikan prinsip-prinsip demokrasi khususnya sistem pilihan raya di negara ini. Mereka memanipulasikan kemudahan-kemudahan teknologi komunikasi moden untuk kepentingan propaganda dan retorik-retorik kosong, teori-teori songsang dan dongeng-dongeng politik yang cuba hendak memperbodoh-bodoh masyarakat awam.
Dan dalam proses itu berlaku pula amalan-amalan munafik menuduh pihak-pihak lain melakukan perbuatan-perbuatan songsang yang mereka lakukan sendiri. Antara contoh ialah dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menuduh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengipas semangat perkauman semata-mata kerana Zainuddin berpendapat bahawa PRK Kajang itu akan memberi kesempatan kepada pengundi Cina untuk menjalin kembali kerjasama yang produktif dengan masyarakat Melayu melalui persahabatan yang ikhlas dan perkongsian kuasa melalui Barisan Nasional (BN).
Orang yang tahu siapa Kit Siang dan bagaimana DAP berkempen di Gelang Patah dalam PRU-13 lalu akan tersenyum sinis membaca tuduhan atau dakwaannya itu. Kata bidalan Melayu: Paku dulang paku serpih, mengata orang tetapi awak yang lebih."
Pendeknya Manipulasi Kajang" dan hal-hal yang berkaitannya telah menconteng arang pada wajah demokrasi kita. Maka muncullah pelbagai ragam provokasi, sama ada antara BN dan PR, demikian pula antara puak-puak yang bersaing dalam PKR, khususnya antara puak Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Dan dalam proses itu, terdedahlah kudis-kudis" PKR dan pekung" PR. Ternyata dalam dalam hati kecil masing-masing parti yang menganggotai pakatan itu jauh daripada bersepakat". Ibarat tidur yang sebantal, tetapi mimpi berbeza-beza.
Dilihat dalam konteks Manipulalsi Kajang" semua itu menimbulkan serentetan soalan asas yang perlu ditanyakan dan dijawab. Antara soalan asas dan penting yang seakan-akan sengaja dilupakan ialah: Kenapakah Lee Chin Cheh begitu mudah meletakkan jawatannya sebagai ADUN sebuah negeri kaya yang dikatakan mempunyai surplus berbilion ringgit? Adakah dia begitu idealistik dan mamai dibuai romantisme perjuangan" PKR sehingga rela melepaskan satu jawatan yang menjadi rebutan dan impian orang politik.
Jawatan sebagai ADUN Selangor bukan sahaja memberi pulangan kewangan lumayan, tetapi juga membawa kedudukan sosial yang terpandang dengan pelbagai peluang dalam banyak bidang. Kerana itu adalah menghairankan kenapa bekas ADUN yang bernama Lee Chin Cheh itu begitu mudah melepaskannya.
Selain Chin Cheh yang patut menjadi fokus serangkaian soalan berkaitan Manipulasi Kajang ini ialah seorang individu yang bernama Rafizi Ramli. Dia diuar-uarkan sebagai otak" (the brain) yang merangka dan mencetuskan the Kajang Move itu. Sebelum ini dia dikenali sebagai Pengarah Strategi PKR. Tetapi sejak tercetusnya Manipulasi Kajang, reputasi Rafizi sebagai pakar strategi mulai pudar.
Pelbagai alasan dan hujah dikemukakannya tentang keperluan Manipulasi Kajang telah mendapat sambutan yang berbelah bagi dan menimbulkan kontroversi bukan sahaja antara sebahagian penyokong Pas dengan PKR, malah juga dalam kalangan sesama tokoh-tokoh PKR sendiri.
Antara pendapat Rafizi yang menjadi bahan tertawa ialah kononnya Kerajaan Pusat berura-ura untuk mengambil alih pentadbiran Selangor secara paksa melalui perisytiharan darurat. Untuk mengelakkan supaya ura-ura Kerajaan Pusat" itu jangan sampai berlaku, maka Anwar Ibrahim hendakkah diberi keabsahan politik" (political legitimacy) menjadi ADUN Selangor (dan seterusnya Menteri Besar?) Itulah alasan utama kenapa pilihan kecil Kajang perlu diadakan.
Selain itu, Rafizi juga menuduh kononnya UMNO (atau sesetengah golongan tertentu dalam UMNO) sekarang sedang berusaha untuk merealisasikan doktrin pemerintahan satu kaum" di negara ini.
Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Abdul Khalid, Faekah Hussien menyifatkan pandangan Rafizi itu sebagai terlalu dangkal. Dalam mempertahan teori atau rasionalnya kenapa PRK Kajang perlu diadakan, Rafizi bukan sahaja mengemukakan cerita-cerita dongeng yang sukar diterima akal, malah berdolak dalih mengatakan perkara-perkara yang kontradik.
Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, ada anggota PKR yang menganggap Rafizi cuba menjelaskan perkara yang mustahil untuk dijelaskan. Tindak tanduknya nampak semakin gelabah sehingga sampai dikeroyok" oleh satu kumpulan dalam kejadian di Pulau Pinang baru-baru ini.
Berikutan semua itu , soalan yang timbul ialah: Adakah pakar strategi PKR ini mempunyai pemikiran yang terlalu simplistik, atau dangkal" menurut istilah Faekah. Atau adakah dia seorang tukang dongeng atau juru khayal yang luar biasa? Sehubungan itu, soalan yang juga relevan ialah: Jika kegelabahan Rafizi ini berpanjangan dan merupakan gambaran daripada satu masalah yang lebih besar, adakah keterlaluan untuk mengatakan bahawa dengan seorang pakar strategi" seperti itu, PKR sudah tertumpang di biduk tiris" atau bahteranya dipandu oleh nakhoda yang sudah kehilangan arah".
Semua itu menimbulkan satu soalan yang lebih besar: Jika Manipulasi Kajang dimulai dengan pelbagai soalan yang tidak terjawab dan sekali gus mengakibatkan PKR menggaruk kudis" di depan khalayak ramai manakala pekung ketidaksepakatan" Pakatan Rakyat semakin terdedah, adakah masalah" atau isu" yang cuba hendak diselesaikan melalui the Kajang Move" akan menghasilkan apa yang mereka harap atau akan mengakibatkan masalah bertambah rumit. Ini mengingatkan saya satu bidalan dalam loghat Minangkabau alah babadak batambah hitam" (Setelah memakai bedak, maka wajah bertambah hitam).
Celoteh-celoteh di atas boleh diperpanjang dengan menanyakan soalan-soalan remeh, umpamanya, bagaimana Anwar akan bertindak jika Nallakurapan benar-benar menjadi calon? Malah di sesetengah tempat di sekitar Lembah Klang, sudah terdengar pula spekulasi-spekulasi nakal, kononnya, Ummi Hafilda turut menawarkan diri untuk menjadi calon. Apakah persiapan orang Anwar menghadapi kemungkinan-kemungkinan ini?
Tetapi soalan yang lebih serius ialah mengenai kemungkinan rintangan yang akan menghalang Anwar menjadi Menteri Besar sekiranya dia menang dalam PRK Kajang itu. Ini termasuklah kerelaan Abdul Khalid berundur diri dan memberi laluan kepada Anwar, persetujuan Pas yang meragukan kesesuaian Anwar menjadi MB Selangor, perkenan Baginda Sultan yang mungkin keberatan menerima orang luar" menjadi MB.
Dan tentu sahaja yang lebih menggerunkan ialah sekiranya rayuan kes liwat Mohd. Syaiful Bukhari Azlan tidak memihak kepada Anwar.
Apakah yang akan terjadi jika berlaku pertembungan keputusan undi pilihan raya yang memihak kepada Anwar dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada Saiful Bukhari? Atau sejauh manakah kesahihan andaian sesetengah pihak bahawa Manipulasi Kajang sengaja dirancang untuk tujuan itu - UTUSAN.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment