Perayaan Deepavali yang melambangkan kejayaan cahaya ke atas kegelapan sesungguhnya mencerminkan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum sejak 55 tahun yang lalu. Perjalanan kita dari zaman kemerdekaan kepada salah sebuah negara membangun utama di dunia dan dalam landasan betul ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 telah melihat kita mengatasi pelbagai halangan untuk mencapai objektif kita. Nenek moyang kita, serta generasi yang berikutnya telah bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memerangi kegelapan dan cabaran yang menyelubungi negara kita supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sepanjang perjalanan ini, masyarakat India telah memainkan peranan penting yang sentiasa disanjung dan dihargai oleh semua rakyat Malaysia. Pada kesempatan sempena sambutan Deepavali tahun ini, saya mengambil peluang untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat India di atas segala sumbangan mereka yang tidak berbelah bahagi ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, aman dan makmur.
Walaupun masyarakat India telah terlibat sepenuhnya dalam pembangunan Malaysia sejak kemerdekaan, mereka juga telah berdepan dengan pelbagai cabaran, terutamanya ketika berpindah dan menyesuaikan diri kepada kehidupan di bandar-bandar di Malaysia. Saya sedar akan masalah-masalah tersebut dan inilah sebabnya Kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang khusus untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat India. Sejak tiga setengah tahun ini, kita telah mengambil pelbagai pendekatan yang baru dan inovatif untuk menyelesaikan masalah-masalah legasi di kalangan komuniti India. Ini telah menunjukkan hasil yang nyata dan positif kepada keluarga-keluarga masyarakat India di serata negara. Kerajaan telah memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran utama yang dihadapi dalam pelbagai sektor yang melibatkan komuniti India. Kita sentiasa konsisten dalam menepati janji-janji realistik dan bertanggungjawab yang telah kita buat kepada masyarakat India kerana Kerajaan tidak percaya dengan pendekatan di mana yang kita janji bukan-bukan semata-mata untuk mendapat kuasa dan populariti.
Segala inisiatif dan usaha Kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti India tidak akan berjaya tanpa kepercayaan atau "nambikei" di antara Kerajaan dan rakyat. Melalui kerjasama ini yang berpaksikan persefahaman dan usaha yang gigih, kita telah bersama-sama membawa cahaya harapan kepada ramai individu dan keluarga supaya mereka mendapat kehidupan yang lebih baik dan bahagia.
"Nambikei" yang berterusan di antara Kerajaan dan masyarakat India akan membolehkan Kerajaan untuk terus membawa pembangunan dan kemajuan. Ini adalah terutamanya melalui inisiatif-inisiatif khusus yang akan memastikan bantuan dan perkhidmatan Kerajaan sampai terus kepada setiap individu masyarakat India yang memerlukannya agar mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri. Untuk merealisasikan hasrat kita untuk komuniti India, kita perlu sedar bahawa kita masih mempunyai banyak lagi usaha yang perlu kita lakukan bersama-sama. Saya tidak boleh mengerakkan semua ini bersendirian. Hanya dengan sokongan dan kepercayaan masyarakat India, dan semua masyarakat Malaysia yang lain, boleh kita menjadikan perjalanan transformasi ini sesuatu yang bermakna dan berjaya.
Pada ketika pelbagai usaha transformasi negara mula membuahkan hasil dengan pertumbuhan dan pembangunan negara yang pesat, kita akan memastikan bahawa semua rakyat Malaysia, termasuk daripada masyarakat India, akan dapat meningkatkan pendapatan, dan lebih penting lagi, akan meningkatkan lagi kualiti hidup untuk generasi masa kini serta generasi akan datang. Komitmen ini adalah selaras dengan semangat 1Malaysia di mana tidak ada sesiapa pun di bawah langit Malaysia yang akan ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan negara. Bersempena Deepavali tahun ini, saya mengambil kesempatan ini untuk memberi kepastian kepada masyarakat kaum India di Malaysia bahawa Kerajaan akan menunaikan sepenuhnya harapan dan kepercayaan anda terhadap Kerajaan untuk bersama-sama dengan anda dalam perjalanan ini dan merealisasikan impian dan harapan setiap individu. Saya benar-benar percaya zaman kegemilangan Malaysia masih di hadapan kita dan untuk mengecapi nikmat kemajuan dan kemakmuran tersebut, kita semua mesti bersatu padu di bawah satu visi ke arah melahirkan negara yang adil, saksama dan berjaya.
Akhir kata, saya ingin mengajak rakyat Malaysia sekalian untuk bersama-sama mengucapkan "Deepavali Vaalthukal" dan Selamat Hari Deepavali kepada rakyat Malaysia beragama Hindu. Marilah kita meneruskan tradisi Malaysia yang unik dengan merayakan perayaan pesta cahaya yang bermakna ini bersama-sama dengan saudara dan saudari kita daripada masyarakat Hindu.
Selamat Hari Deepavali.
Source : http://www.putrajaya-online.com/2012/11/amanat-perdana-menteri-sempena.html?m=1
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment