Monday, September 8, 2014

PEMBANGKANG JANGAN MIMPI NAK MANSUH AKTA HASUTAN 1948 DALAM KADAR SEGERA


Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam masa terdekat walaupun mendapat desakan sesetengah pihak supaya akta tersebut dihapuskan segera, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata akta itu masih penting dalam menjaga keselamatan, keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini memandangkan kerajaan memerlukan masa dan kajian terperinci dalam merangka draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan.

"Memang Perdana Menteri sudah menyatakan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi kerajaan tidak akan memansuhnya sehingga ada akta gantian.

"Setakat ini kita belum merangka draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 walaupun ada pihak mendakwa kita sudah merangkanya dan akan dibentang (di Parlimen) tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar literasi undang-undang "Wanita Bistari Masyarakat Bahagia" di sini hari ini.

Nancy berkata kerajaan menerusi Jabatan Peguam Negara sedang bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk mencari input dan maklum balas daripada masyarakat bagi menghasilkan kandungan yang diperlukan dalam membentuk rang undang-undang itu.

Beliau berkata rang undang-undang itu selaras dengan aspirasi Najib yang menekankan aspek perpaduan dalam kalangan rakyat sekali gus menjadikan rakyat sentiasa menghormati antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dengan pelbagai kesalahan yang semakin berleluasa menerusi media sosial ketika ini, semakin sukar untuk kerajaan menyiapkan rang undang-undang itu dengan segera dan ia merupakan cabaran besar kepada mereka yang terlibat dalam penggubalan akta baharu itu, kata Nancy.

Sementara itu, tentang seminar berkenaan, beliau berkata ia merupakan usaha baik dalam menyedarkan wanita tentang isu rumah tangga, keluarga, peranan setiap individu serta masyarakat apabila dilanda masalah kekeluargaan.

Seminar anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu juga, katanya amat penting dalam mendedahkan wanita tentang saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa kes kegagalan rumah tangga.

DOWNLOAD Akta Hasutan 1948 (Full)

 

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive