Para panelis akan mengupas soal sejauh mana kuasa politik yang ada dalam genggaman mahasiswa dan sejauh mana ia mampu mengubah landskap politik negara.
Adakah ruang dan peluang yang diberi selaras dengan pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Wacana Sinar kali ini membawa isu ini untuk dikupas secara kritis dan melihat adakah kuasa politik mahasiswa ini boleh menjadi penentu siapa pemerintah negara untuk dekad seterusnya.
Untuk mengulas isu ini dengan lebih terperinci, Sinar Harian akan menampilkan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faisal Ismail Aziz, penganalisis politik dari UiTM, Prof Dr Azmi Hassan, Timbalan
Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Datuk Jamal dan Presiden Gabungan Majlis Belia Malaysia, Azan Safar.
Wacana kali ini menampilkan moderator yang tidak asing lagi, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya.
Seperti lazimnya, wacana ini akan berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 di sini, jam 2.30 petang.
Program ini anjuran bersama Sinar Harian Online, Astro Awani dan mobTVmy dengan kerjasama Kagum.
Orang ramai yang berminat untuk sama-sama menyertai majlis ilmu ini boleh menghubungi Laila menerusi talian 019-3310211, Fazli (019-2808492) atau Rini (019-3371066) untuk keterangan lanjut - SINAR HARIAN