Jawatankuasa Pemilihan Umno hari ini membenarkan Pengerusi Unit Media Baru (UMB), Tun Faisal Ismail Aziz untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam Pemilihan parti itu, 19 Oktober depan.
Perkara itu diumumkan oleh pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada satu sidang media pemilihan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Katanya menurut Fasal 9.5 Perlembagaan Parti, kelayakan hanya diberikan kepada calon yang pernah memegang mana-mana jawatan ahli MT dan Ahli Jawatankuasa Bahagian untuk satu penggal.
Bagaimanapun, jelasnya, Tun Faisal dibenarkan bertanding untuk jawatan ahli MT berdasarkan Fasal 10.15 iaitu bagi langkah kesempurnaan perjalanan parti.
Tambahnya lagi, Tun Faisal merupakan calon yang diketengahkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Sementara itu, Tun Faisal dalam reaksinya berkata secara tidak langsung keputusan membenarkannya bertanding menunjukkan bahawa seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempunyai merit untuk bertanding di peringkat MT berdasarkan sumbangan, pengalaman dan kedudukannya dalam heiraki parti.
“Alhamdulillah, ini membuktikan bahawa Jawatankuasa Pemilihan mengambil kira merit cadangan daripada Pergerakan Pemuda UMNO sekaligus menunjukkan institusi Pemuda UMNO dihormati dan pandangan pemuda khususnya ketua pergerakan itu, YB Khairy Jamaluddin diambil kira,” katanya dalam satu kiriman teks kepada Astro AWANI.
Sebelum ini Tun Faisal dan Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman disahkan tidak layak bertanding bagi jawatan MT UMNO kerana tidak memenuhi syarat minimum pertandingan bagi jawatan itu.
Menurut laporan, kedua-dua mereka hilang kelayakan kerana tidak pernah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) Bahagian yang merupakan syarat kelayakan minimum bertanding jawatan MT. - SUMBER
VIDEO JAWAPAN OLEH AHLI JAWATANKUASA PEMILIHAN MENGAPA TUN FAISAL DIBENAR UNTUK BERTANDING SEMULA:
Untuk pengetahuan semua, dalam usia yang muda , terbukti calon Naib Ketua Pemuda Umno iaitu Khairul Azwan Harun merupakan individu yang mempunyai daya saing yang mantap. Ini dapat dilihat apabila beliau diberikan beberapa amanah penting di Perak.
Antara jawatan yang di sandangnya kini adalah Timbalan Presiden Bola Sepak Perak serta bertindak sebagai Pengurus Pasukan Bola Sepak Liga Perak malah beliau juga merupakan salah seorang peneraju di dalam Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.
Lihat video menarik ini :
Sebagai Ketua Pemuda UMNO / BN negeri, pencapaian BN yang berjaya mempertahankan kerajaan negeri Perak adalah salah satu daripada pencapaian besar anak muda ini menggerak, mengurus dan mentadbir satu organisasi Pemuda UMNO / BN yang besar dan terbukti berjaya, satu kriteria yang sangat penting untuk seseorang yang layak memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. - MIM
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menyangkal tuduhan pencabarnya Syed Rosli Syed Harman Jamallulail yang mendakwa beliau menyalahgunakan jentera Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk berkempen bagi pemilihan UMNO.
Beliau berkata tuduhan itu menunjukkan Syed Rosli tidak faham bahawa Pemuda UMNO dan belia tidak boleh berpisah kerana ramai di kalangan anggota-anggota persatuan belia juga adalah anggota Pemuda UMNO.
"Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya adakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin belia. Mereka ini juga kebanyakannya anggota Pemuda UMNO yang menjadi perwakilan.
"Tuduhan ini tidak betul kerana saya berjumpa dengan pemimpin belia yang kebetulannya anggota Pemuda UMNO (perwakilan) dan berjumpa untuk berbincang isu semasa yang kebetulannya sekarang adalah mengenai perwakilan....jadi ada juga saya terangkan mengenai beberapa perkara mengenai pemilihan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuduhan Syed Rosli yang mengadakan sidang media di Kuala Lumpur pada Sabtu. Khairy berkata Syed Rosli sepatutnya menggunakan bahan lain untuk berkempen seperti kebaikan dan rekod kepimpinan yang pernah beliau lakukan tanpa perlu memburukkan calon lain.
Mengulas mengenai 75 calon yang menawar diri sebagai Exco Pemuda UMNO, Khairy berkata ia bukti parti itu masih relevan dalam membawa aspirasi kerajaan kepada rakyat.
"Apa pun, saya mahu perwakilan memilih calon yang terbaik, yang sedia berkhidmat sepanjang masa, bukan hanya ketika kempen pemilihan parti sahaja," katanya.