Wednesday, December 4, 2013

INFO PARLIMEN: RANG UNDANG-UNDANG PEMBEKALAN 2014 (PEMBELANJAAN PEMBANGUNAN) LULUS. #PAU2013


Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 Bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bagi tujuan perbelanjaan pembangunan selepas dibahaskan sejak 14 Nov lepas.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Rang Undang-undang memperuntuk RM46.5 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan kepada dua jabatan dan 22 kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Turut menerima peruntukan itu ialah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam juga antara yang menerima peruntukan itu.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Rabu. 

#PAU2013: "SAYAP UMNO JANGAN 'GOYANG' BAWA PERJUANGAN PARTI" - TIMBALAN PRESIDEN


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO memainkan peranan lebih besar, lantang dan berani dalam membawa perjuangan parti serta terus meyakinkan rakyat bahawa UMNO parti tempat mereka bernaung.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketiga-tiga sayap itu yang merupakan tonggak kekuatan parti, memiliki kekuatan masing-masing untuk menggalas harapan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO.

Bagaimanapun, katanya, mereka mesti kembali memahami idealisme dan matlamat perjuangan UMNO yang berjuang bukan sahaja untuk parti tetapi demi orang Melayu dan Bumiputera.

“Kita mesti ingat harapan orang Melayu dan Bumiputera yang amat tinggi kepada UMNO. Orang Melayu dan Bumiputera telah memberikan sokongan padu kepada UMNO dan mereka amat berharap kita dapat membela nasib mereka.

“Bila kita diberi mandat, kita melakukan yang terbaik untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, serta menjamin kaum-kaum lain juga mendapat pembelaan yang adil, ” katanya ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Perhimpunan kali ini yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas dan pemilihan parti pada Oktober.

Muhyiddin dalam ucapannya mengingatkan sayap parti mengenai komitmen, kerjasama dan perpaduan yang harus diperkukuhkan untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14 yang disifatkan lebih mencabar.

“Jangan kita ulangi kesalahan, kesilapan dan kelemahan lampau. Bina kekuatan baharu. Selesaikan sebarang masalah dengan segera supaya Wanita, Pemuda dan Puteri benar-benar wujud sebagai pergerakan yang dihormati,” katanya yang juga mahu ketiga-tiga sayap parti itu untuk berusaha menangani kempen membenci UMNO dengan segera.

Lebih penting, menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO, ketiga-tiga sayap parti perlu menterjemahkan konsep transformasi politik sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik.

“Generasi lama di dalam UMNO telah menyumbang, yang penting ialah sumbangan generasi hari ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya yang menambah UMNO perlu sentiasa mencari pendekatan baharu untuk kekal relevan.

Beliau berkata sebagai pewaris perjuangan UMNO yang memahami aspirasi golongan muda, Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bijak mendekati generasi itu dan mengajak mereka menyertai perjuangan UMNO.

“Pemuda perlu berinteraksi dengan generasi muda termasuk di kampus dan kampung. Mereka juga wajib menjadi jurubicara umat mewakili suara orang muda.

“Lantanglah bersuara, beranilah membuat pendirian, muncullah di semua pentas menjuarai isu rakyat. Biarlah kehadiran Pemuda dan Puteri benar-benar dirasai dan dihargai oleh rakyat,” katanya.

Sementara Pergerakan Wanita sebagai obor perjuangan parti perlu terus cekal dan kental dengan tradisi menawan hati dan budi wanita-wanita termasuk golongan profesional dan agamawan wanita, katanya.

“Kalau Wanita hendak menjadi tulang belakang UMNO, teruskanlah semangat itu. Yang penting Wanita mampu menyahut apa jua cabaran,” kata Muhyiddin yang turut mengiktiraf sumbangan pergerakan itu yang disifatkan sebagai tulang belakang parti. - MediaUMNO

#PAU2013: LAMAN MEDIA YANG KONDUSIF DISEDIAKAN UNTUK BLOGGERS & PRESS BEKERJA @ahmadmaslan @tunfaisal

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berharap wakil-wakil media daripada dalam dan luar negara yang berkampung sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2013 dapat memberikan maklumat yang berguna dan terbaik untuk rakyat.



Berucap ketika merasmikan Laman Media pagi tadi, beliau turut melahirkan penghargaan kepada seluruh warga media yang melaporkan bahan berita serta maklumat sepanjang perhimpunan berkenaan.


“Segala yang dipaparkan tentunya memberi informasi kepada rakyat di luar sana untuk mengetahui senario sepanjang Perhimpunan Agung UMNO ini. Peranan media cukup penting.

“Seperti yang saya selalu sebutkan… MA (Media alternatif), MB (Media bersemuka), MC (media cetak), MD (media digital), dan ME (media elektronik)… Ini semua memainkan peranan penting dan saya rakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih,“ katanya.


Sebanyak 1,724 petugas media dari 118 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger membuat liputan sepanjang perhimpunan itu yang akan berakhir Sabtu ini.

Laman Media diwujudkan di aras dua PWTC dan pelbagai kemudahan disediakan dalam usaha memastikan kelancaran petugas media melaksanakan tugas masing-masing.

Sejurus gimik perasmian, Datuk Ahmad Maslan turut melawat laman media yang menempatkan seluruh warga media. Turut serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Seramai 5,726 anggota perwakilan UMNO dari seluruh negara dijadual menghadiri perhimpunan agung parti itu dan daripada jumlah itu, 2,759 hadir untuk perhimpunan agung, manakala perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing akan disertai 989 anggota perwakilan.


Sebanyak 101 wakil 32 parti dari 28 negara juga telah mengesahkan kehadiran dan sebanyak 80 anggota perwakilan dari 73 Kelab UMNO Luar Negara dan tujuh badan perhubungan negara juga akan hadir.

Pada sebelah petang ini akan diadakan taklimat Presiden, perasmian sayap pada sebelah malam dan esok adalah hari perhimpunan sayap UMNO. Presiden parti, Datuk Seri Najib akan menyampaikan ucapan dasar pada Khamis. - MediaUMNO

MY SLIDESHARE UPLOAD