Wednesday, December 4, 2013

#PAU2013: AMANAT TIMBALAN PRESIDEN DIHORMATI, #TransformasiPuteri BAKAL BERI IMPAK KEPADA BELIA @ZahidaZarik


Amanat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap pada perasmian serentak pergerakan sayap malam tadi yang menjurus kepada pendekatan Puteri UMNO untuk memberikan fokus pada golongan muda akan disahut menerusi gerak kerja yang lebih agresif selepas ini.

Ketua Puteri UMNO Negeri Perak, Salbiah Mohamed berkata, pendekatan dan transformasi perlu dibuat oleh Puteri UMNO untuk memastikan golongan muda meyakini bahawa UMNO dan BN adalah landasan yang tepat yang benar-benar akan memastikan kebajikan, hak-hak Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.

“Tidak ada parti lain yang konsisten kejayaan menerajui negara dan parti melainkan UMNO dan BN. Jadi selaku ahli Puteri, kita terpanggil untuk menyahut cabaran Timbalan Presiden UMNO untuk memastikan lebih ramai lagi golongan orang muda dan juga golongan profesional untuk sama-sama memberikan sokongan kepada UMNO dan BN.,

“Pada masa yang sama kita juga akan pastikan parti keramat UMNO ini terus dapat menerajui serta mengekalkan dasar perjuangan kita untuk memartabatkan agama, memperkasakan Melayu dan Bumiputera,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor, Perak.

Sementara itu, EXCO Pergerakan Puteri UMNO, Norrul Huda Marsidin berkata, Puteri UMNO berjaya meningkatkan jumlah keahlian Puteri tetapi pada masa sama masih berjuang untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan profesional muda.

“Puteri perlu mencari formula untuk memastikan profesional muda ini mampu bergiat aktif dalam pergerakan dan pada masa sama meneruskan kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing. Kita perlukan orang muda daripada pelbagai latar belakang dan semua bidang untuk memantapkan Puteri”, ujarnya. - MediaUMNO

RUJUKAN: 

INFOGRAFIK PETIKAN UCAPAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO

INFO PARLIMEN: RANG UNDANG-UNDANG PEMBEKALAN 2014 (PEMBELANJAAN PEMBANGUNAN) LULUS. #PAU2013


Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 Bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bagi tujuan perbelanjaan pembangunan selepas dibahaskan sejak 14 Nov lepas.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Rang Undang-undang memperuntuk RM46.5 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan kepada dua jabatan dan 22 kementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Turut menerima peruntukan itu ialah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam juga antara yang menerima peruntukan itu.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Rabu. 

#PAU2013: "SAYAP UMNO JANGAN 'GOYANG' BAWA PERJUANGAN PARTI" - TIMBALAN PRESIDEN


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO memainkan peranan lebih besar, lantang dan berani dalam membawa perjuangan parti serta terus meyakinkan rakyat bahawa UMNO parti tempat mereka bernaung.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketiga-tiga sayap itu yang merupakan tonggak kekuatan parti, memiliki kekuatan masing-masing untuk menggalas harapan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO.

Bagaimanapun, katanya, mereka mesti kembali memahami idealisme dan matlamat perjuangan UMNO yang berjuang bukan sahaja untuk parti tetapi demi orang Melayu dan Bumiputera.

“Kita mesti ingat harapan orang Melayu dan Bumiputera yang amat tinggi kepada UMNO. Orang Melayu dan Bumiputera telah memberikan sokongan padu kepada UMNO dan mereka amat berharap kita dapat membela nasib mereka.

“Bila kita diberi mandat, kita melakukan yang terbaik untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, serta menjamin kaum-kaum lain juga mendapat pembelaan yang adil, ” katanya ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Perhimpunan kali ini yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas dan pemilihan parti pada Oktober.

Muhyiddin dalam ucapannya mengingatkan sayap parti mengenai komitmen, kerjasama dan perpaduan yang harus diperkukuhkan untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14 yang disifatkan lebih mencabar.

“Jangan kita ulangi kesalahan, kesilapan dan kelemahan lampau. Bina kekuatan baharu. Selesaikan sebarang masalah dengan segera supaya Wanita, Pemuda dan Puteri benar-benar wujud sebagai pergerakan yang dihormati,” katanya yang juga mahu ketiga-tiga sayap parti itu untuk berusaha menangani kempen membenci UMNO dengan segera.

Lebih penting, menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO, ketiga-tiga sayap parti perlu menterjemahkan konsep transformasi politik sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik.

“Generasi lama di dalam UMNO telah menyumbang, yang penting ialah sumbangan generasi hari ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya yang menambah UMNO perlu sentiasa mencari pendekatan baharu untuk kekal relevan.

Beliau berkata sebagai pewaris perjuangan UMNO yang memahami aspirasi golongan muda, Pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bijak mendekati generasi itu dan mengajak mereka menyertai perjuangan UMNO.

“Pemuda perlu berinteraksi dengan generasi muda termasuk di kampus dan kampung. Mereka juga wajib menjadi jurubicara umat mewakili suara orang muda.

“Lantanglah bersuara, beranilah membuat pendirian, muncullah di semua pentas menjuarai isu rakyat. Biarlah kehadiran Pemuda dan Puteri benar-benar dirasai dan dihargai oleh rakyat,” katanya.

Sementara Pergerakan Wanita sebagai obor perjuangan parti perlu terus cekal dan kental dengan tradisi menawan hati dan budi wanita-wanita termasuk golongan profesional dan agamawan wanita, katanya.

“Kalau Wanita hendak menjadi tulang belakang UMNO, teruskanlah semangat itu. Yang penting Wanita mampu menyahut apa jua cabaran,” kata Muhyiddin yang turut mengiktiraf sumbangan pergerakan itu yang disifatkan sebagai tulang belakang parti. - MediaUMNO

MY SLIDESHARE UPLOAD