Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Mohd Ali Baharom mahu Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengundurkan diri dari kabinet.
Beliau turut mengatakan Zahid tidak menjaga maruah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan menyampaikan penghargaan kepada Malaysiakini.
"Saya terkejut juga dengan pemberian anugerah menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) Zahid Hamidi kepada Malaysiakini.
“Itu kami sedih dan rasa marah kepada menteri KDN yang tidak peka, tidak celik dan tidak bijak yang boleh dipanggil bodoh," kata beliau dalam sidang media di Hotel Midah hari ini.
Ali berkata tidak patut seorang menteri kabinet seperti Zahid memberi penghargaan kepada Malaysiakini tidak sampai sehari selepas mengeluarkan berita berhubung
kesibukan Rosmah yang tiada masa untuk hobi, anaranya bermain badminton.
Ali (atas, berbaju kuning) hari ini ditemani gabungan 14 NGO lain di bawah payung Sekratariat Gabungan Sahabat 1Malaysia (SAHABAT).
Malaysiakini mendapat hadiah Kecemerlangan Media Sosial untuk kategori media atas talian dalam Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014 27 Februari lalu.
Bagaimanapun anugerah bukanlah dari Zahid yang hanya hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah.
Anugerah kepada Malaysiakini itu hasil undian awam (80 peratus) dan selebihnya penilaian juri.
Ali yang lebih dikenali sebagai “Ali Tinju” juga mendakwa Zahid telah menunjukkan prestasi buruk sepanjang menerajui KDN sejak tahun lalu.
Kerja separuh jalanAli mendakwa Zahid hanya melakukan kerja setengah jalan termasuk dalam isu membabitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan isu kalimah Allah, kerana tiada pendakwaan dibuat ke atas Mohamad dan paderi Lawrence Andrews.
"Saya ulang sekali lagi mohon jasa baik PM Datuk Seri Najib Razak supaya pecat Zahid Hamidi.
"Beliau buat pelbagai masalah, buat kerja setengah jalan dan tak habiskan kerja beliau. Conotohnya isu Mat Sabu, Dia 'gempak' dalam dewan (perhimpunan agung) Umno tetapi tiada tindakan (susulan)
Ali turut mempertikaikan kenyataan Zahid dalam isu video kontroversi anggota Parlimen DAP Teresa Kok yang disifatkan Ali sebagai 'membahayakan' negara.
"(Dalam) isu Teresa Kok, dia katakan tampar orang tak salah. Ini yang bahaya ini. Harap PM bijak untuk buat penukaran," kata beliau.
Sementara itu seorang pemimpin NGO AKS Ramesh Rao pula mendakwa Malaysiakini didanai oleh badan yang menyokong revolusi 'Arab Spring' di Timur Tengah dan sebahagian dari agenda zionis.
Beliau turut mempertikai pemberian hadiah Kecemerlangan Media Sosial untuk kategori media atas talian dalam Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014 27 Februari lalu.
"Penerima dana zionis tidak layak jadi media portal terbaik. Banyak lagi portal baik di Malaysia ini," kata beliau.
-
SUMBER