Tuesday, April 8, 2014

KEBAIKAN GOOD SERVICE & TAX #GST YANG WAJIB DIKETAHUI


Kebanyakan kritikan pembangkang terhadap Bajet 2014 lebih bersifat politik semata-mata. Antara yang menjadi sasaran ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1April 2015. Pembangkang mahu mengelirukan rakyat kononnya GST menzalimi dan membebankan kehidupan rakyat. Ia sebenarnya adalah usaha pembangkang untuk mewujudkan momentum kebencian rakyat terhadap kerajaan. Pembangkang tidak menghiraukan fakta sebenar GST yang akan dilaksanakan kerajaan mulai April 2015. Ia satu sikap yang tidak bertanggungjawab dan satu usaha mensabotaj pelaksanaannya.

Sepatutnya pembangkang melihat pelaksanaan GST secara holistik dan realistik. Pembangkang juga sepatutnya sedar bahawa ianya akan mula dilaksanakan kira-kira 17 bulan dari sekarang.

Tempoh ini memberi peluang kepada peniaga dan syarikat untuk membuat persediaan, memberi rang kepada rakyat memahaminya di samping kerajaan masih bersedia menerima pandangan mengenainya.

Namun, menyatakan pelaksanaan GST akan menindas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (miskin) dan sederhana adalah satu tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab sedangkan kebaikannya belum dirasai lagi. Nyata sekali bahawa pembangkang cuba memberikan persepsi buruk mengenai pelaksanaan GST.

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu sahaja. Ini berdasarkan kepada GST adalah cukai penggunaan di mana lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar. Orang berada mungkin akan mengguna lebih. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST adalah lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GST adalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.

Pada masa sekarang, pengguna tanpa mengira kelas pendapatan telah membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian mereka. Namun cukai yang dibayar itu terutamanya cukai jualan tidak tercatat di dalam resit kerana ia terselindung di dalam harga bayaran. Apabila GST dilaksanakan beban cukai yang ditanggung akan turun. Ini bermakna dengan pelaksanaan GST kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga. Yang penting ialah apabila GST dilaksanakan pihak peniaga seharusnya menyalurkan penjimatan tersebut melalui penurunan harga.

Kajian yang dijalankan mendapati Indeks Harga Pengguna (HIP) akan mengalami penurunan sebanyak 8-10 peratus. Kita yakin dengan penubuhan jawatankuasa pemantau GST yang ditubuhkan kerajaan nanti dapat memastikan GST dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Kerajaan juga dari masa ke semasa akan menilai impak sosial terhadap rakyat kesan daripada pelaksanaan GST.

Pengguna juga harus faham bahawa GST tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas, pengangkutan awam, tol, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran pasport dan lesen, penggunaan elektrik bagi 200 unit pertama bagi pengguna domestik dan pelbagai barangan asas dan perkhidmatan lain.

GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.

Ini dapat menggalakkan pelaburan, mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing. Pertumbuhan ekonomi negara pula akan mencipta pekerjaan dan meningkat pendapatan. Pelaksanaan GST di 160 negara di dunia membuktikan GST adalah sistem percukaian yang baik, cekap dan adil kerana semua orang membayar cukai berdasarkan penggunaan.

Kesimpulan, GST membantu memperluaskan asas percukaian negara, memastikan negara mempunyai sistem cukai yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan. Agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sudah lama mengingatkan kerajaan bahawa negara ini mempunyai sumber percukaian yang kecil dan tidak dapat bertahan lama untuk jangka masa panjang. Hanya 1.5 juta sahaja pembayar cukai di negara ini, manakala sumber minyak pula tidak akan dapat bertahan lama. - Source

MOHD AYOP ABD RAZID
BPDN, Jabatan Penerangan,
Putrajaya

BOLEH JUGA RUJUK SINI

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive