Tuesday, December 3, 2013

#PAU2013: "SAYA BERBANGGA ADA NEGARA ISLAM SEPERTI MALAYSIA" - AHLI POLITIK HAMAS

Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal
Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal memberikan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Malaysia di atas sokongan kepimpinan UMNO dan kerajaan Malaysia yang secara berterusan memberikan sokongan dan bantuan terhadap rakyat Palestin.

VIDEO:




Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, di atas jemputan khas kepada Hamas untuk bersama-sama di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013.

"Kami berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama di dalam perhimpunan Agung UMNO ini. Kami juga mengucapkan tahniah kepada UMNO di atas kemenangan pada pilihanraya umum yang lalu.

"Tahniah juga kepada UMNO,kepimpinan kerajaan serta rakyat Malaysia di atas pencapaian cemerlang yang dicapaikan oleh negara ini dan terima kasih di atas segala bantuan, sokongan dan keprihatinan Malaysia yang tidak pernah putus terhadap rakyat Palestin," ujarnya ketika bercakap kepada pemberita di Putra World Trade Center (PWTC) di sini hari ini.

Ini merupakan kali kedua delegasi Hamas dijemput untuk bersama-sama menghadiri perhimpunan agung UMNO, di mana sebelum ini pertubuhan tersebut diwakili Ketua Biro Perhubungan Luar Negara Hamas, Usamah Hamdan pada perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

Sementara itu, beliau berharap agar hubungan antara UMNO dan Hamas akan berterusan di dalam usaha untuk membantu rakyat di negara tersebut yang kini sedang ditindas oleh regim Zionis.

"Alhamdulilah perhubungan antara UMNO dan Hamas semakin baik dan kehadiran kami di sini adalah sebagai isyarat kepada perhubungan baik di antara dua parti ini.

"Apa yang nyata, hubungan antara Malaysia dan juga rakyat Palestin yang terjalin hari ini merupakan satu perhubungan yang tidak ada galang gantinya,"jelasnya.

Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan perkembangan Malaysia di bawah pemerintahan UMNO sebagai tulang belakangnya, di mana pelbagai pencapaian baik dari sudut politik, ekonomi dan juga teknologi yang semakin berkembang.

"Sebagai seorang muslim, kami berbangga dengan adanya negara Islam seperti Malaysia yang mempunyai pencapaian yang begitu cemerlang dari pelbagai sudut, dan kami benar-benar berharap agar kami dapat belajar dan menimba pengalaman dari Malaysia," jelasnya.

Selain itu, beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gaza bari-baru ini dan berharap agar lawatan seperti itu dapat diteruskan bagi membina hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Palestin.

"InsyaAllah, selepas ini kami akan membawa anda melawat Jurusalem dan Al Quds setelah Palestin berjaya mendapat kemerdekaan dan bebas sepenuhnya daripada jajahan dan taklukan Israel,"akhiri beliau. - UMNO Online

No comments:

MY SLIDESHARE UPLOAD

Blog Archive